Images
  • pap 3
    (Gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

Konvensyen PAP: Pendidikan kunci mobiliti sosial kurangkan strata sosial dalam masyarakat

SINGAPURA: Pendidikan adalah kunci mobiliti sosial bagi mengurangkan kesan strata sosial dalam masyarakat.

Ini bagi memastikan hasil kemajuan dibahagi sama rata sedang Singapura terus berkembang maju.

Demikian menurut aktivis Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Pensyarah Kanan Dr Wan Rizal Wan Zakariah di Anugerah dan Konvensyen PAP65 hari ini (10 Nov).
Beliau menyentuh tentang pendidikan ketika mengimbas kenangan membesar di kampung di bahagian timur Singapura sehingga berjaya meraih ijazah doktor falsafah dan kini seorang pensyarah kanan di Politeknik Republic.

MESTI BUKA PELUANG KEPADA SEMUA RAKYAT

Akur akan perbezaan sekitaran dan teknologi pada zaman ini, Dr Wan Rizal menekankan pentingnya Singapura kekal terbuka dan pantas dalam pendekatannya kepada generasi baru dalam dunia yang kompleks dan dinamik kini.

Lantaran itu beliau berkata Singapura mesti terus menjadi negara yang membuka peluang kepada semua rakyat dalam arus kemajuan Singapura.


"Tidak semestinya mereka yang lulusan universiti atau dari aliran ekspres, akan lebih berjaya daripada lulusan ITE atau dari aliran normal. Dalam ekonomi kita, setiap rakyat mempunyai peranan masing-masing dalam masyarakat.
"Ianya tergantung kepada usaha dan daya kreativiti masing-masing, dalam apa saja bidang. Yang penting, mereka perlu rajin dalam mencari akan peluang-peluang yang sedia ada," kata Dr Wan Rizal semasa berucap dalam Bahasa Melayu.

PENDIDIKAN S'PURA DI "LANDASAN BETUL"

Malah beliau juga yakin pendidikan di Singapura berada di "landasan yang betul" dengan menekankan kepada nilai dan pendidikan awal kanak-kanak dan kurang memberi tekanan kepada gred sebagai asas yang penting.

Menggalak kelonggaran di tempat kerja, menyediakan kursus bagi meningkatkan kemahiran dan memacu minat pelajar dewasa juga adalah penting, kata Dr Wan Rizal.

Maka itu, semangat untuk berjaya bergantung kepada individu tetapi laluan yang berbilang perlu diwujudkan bagi semua rakyat.

"Janganlah kita malapkan visi, misi dan kewajipan kita untuk terus memberi wadah dan ruang serta peluang untuk semua lapisan masyarakat," kata beliau.

- BERITAmediacorp/IM/ha

Top