Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kontrak S$356 juta diberi bina terowong antara stesen MRT Aviation Park dengan Loyang

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah menganugerahkan kontrak bernilai S$356 juta bagi reka bentuk dan kerja-kerja membina terowong antara stesen MRT Aviation Park dengan Loyang di Laluan Rentas Pulau.

Anggaran Waktu Membaca:
Kontrak S$356 juta diberi bina terowong antara stesen MRT Aviation Park dengan Loyang

Gambaran artis bagi Stesen MRT Aviation Park (Gambar: LTA)

Diterbitkan : 08 Mar 2021 01:56PM Dikemas Kini : 08 Mar 2021 02:00PM

SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah menganugerahkan kontrak bernilai S$356 juta bagi reka bentuk dan kerja-kerja membina terowong antara stesen MRT Aviation Park dengan Loyang di Laluan Rentas Pulau.

Fasa pertama Laluan Rentas Pulau dijangka memulakan khidmat penumpang pada 2030 dengan 12 stesen, memenuhi keperluan kawasan-kawasan perumahan dan perindustrian seperti Loyang, Tampines, Pasir Ris, Defu, Hougang, Serangoon North dan Ang Mo Kio, kata LTA pada Isnin (8 Mac).

Kontrak bagi terowong antara stesen MRT Aviation Park dengan stesen Loyang yang akan datang diberikan kepada usaha sama Taisei Corporation dan cawangan China State Construction Engineering Corporation di Singapura, umum LTA dalam kenyataan medianya.

Kerja pembinaan terowong sepanjang 3.2 kilometer itu dijangka bermula pada suku kedua tahun ini.

Menurut LTA syarikat-syarikat tersebut "mempunyai rekod presatasi dalam menyediakan perkhidmatan reka bentuk dan membina projek kereta api termasuk stesen kereta api dan terowong di dalam dan luar negeri".

Taisei Corporation kini terlibat dalam pembinaan stesen dan terowong Marina Bay di Laluan Thomson-East Coast.

Sementara itu, cawangan China State Construction Engineering Corporation di Singapura sedang terlibat dalam pembinaan stesen Keppel dan Cantonment bagi fasa keenam Laluan Circle, serta terowong bagi Lanjutan North East Line Extension.

Apabila siap, Laluan Rentas Pulau akan menjadi laluan MRT kelapan Singapura. Sepanjang lebih 50 kilometer, ia juga akan menjadi landasan bawah tanah terpanjang Singapura.

Laluan Rentas Pulau "akan memenuhi keperluan pembangunan sedia ada dan akan datang di koridor timur, barat dan timur laut, yang menghubungkan hab-hab utama seperti Daerah Tasik Jurong Lake, Daerah Digital Punggol dan kawasan Changi", tambah LTA.

Laluan itu dijangka boleh menampung sekurang-kurangnya 600,000 penumpang setiap hari pada tahun-tahun awalnya, dan tumbuh menjadi lebih daripada sejuta dalam jangka masa panjang.

Hampir separuh stesennya akan berfungsi sebagai pusat pertukaran dengan laluan kereta api lain, "menjadikannya lebih mudah dan senang untuk menukar khidmat di rangkaian kereta api", tambah LTA.

Laluan Rentas Pulau akan dibina dalam tiga fasa. Fasa pertama, merangkumi 12 stesen sepanjang 29 kilometer, akan bermula dari Aviation Park ke Bright Hill.

LTA menyatakan lebih 100,000 isi rumah akan meraih manfaat daripada stesen-stesen baru itu. Kawasan riadah seperti Taman Changi Beach dan Taman Bishan-Ang Mo Kio akan lebih mudah dikunjungi dengan menggunakan pengangkutan awam.

Kajian mengenai perincian fasa kedua dan ketiga laluan itu sedang dijalankan, tambah LTA.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan