Images
  • sukma irama poster
    (Gambar: Wadah Seni Entertainment)

Konsert Sukma Irama Layar Perak iktiraf bakat di sebalik lagu-lagu filem Melayu klasik

SINGAPURA: Tahukah anda lagu Gurindam Jiwa dalam filem dengan judul sama lakonan Nordin Ahmad sebenarnya dinyanyikan oleh penyanyi latar, R.Ismail?

Sebuah konsert khas untuk mengiktiraf bakat-bakat di belakang tabir lagu-lagu filem Melayu klasik tahun 1950-an dan 60-an akan diadakan pada Sabtu ini (14 Sep).

Diberi nama konsert Sukma Irama Layar Perak, ia dianjurkan Wadah Seni Entertainment sempena Pesta Warga Emas yang berlangsung antara 5 hingga 29 September.

Menurut Penerbit Kreatif Konsert Sukma Irama Layar Perak, Siti Aminah Ismail: "Konsert ini adalah sempena menjunjung budi para penyanyi latar filem, penulis lirik dan penggubah lagu-lagu tersebut.

"Selama ini kalau kita kenal lagu Gurindam Jiwa, ada dalam kalangan kita yang memikirkan ia merupakan nyanyian Nordin Ahmad atau Latifah Omar. Tetapi kita tidak tahu bahawa penyanyi latar tersebut adalah seperti R.Ismail, Rafeah Buang, Rahimah Simen, Jamaliah Syarif dan ramai lagi."

Konsert selama 80 minit itu yang diiringi Orkestra Melayu Singapura bakal menyaksikan gabungan beberapa artis dalam dan luar negara seperti Yusni Hamid, Elfee R Ismail, Kamaliah Latif, Eddy Ali, Chacha Salleh dan Rudy Djoe.

Sebanyak 15 lagu akan didendangkan kesemuanya, termasuk lagu-lagu duet romantis filem-filem Melayu klasik dan moden.

"Untuk anak-anak muda mungkin dengan konsert ini mereka akan mula meminati lagu-lagu daripada filem. Sebenarnya lagu filem itu berbeza dari lagu Melayu asli. Lagu-lagu filem senikatanya, kemerduannya dalam lagu ada cerita," kata penyanyi dari Malaysia, Yusni Hamid.

Sebuah segmen penghormatan bagi biduan R.Ismail dan biduanita Momo Latiff menjadi kemuncak konsert tersebut.

Konsert Sukma Irama Layar Perak akan berlangsung di Dewan Konsert SOTA pada Sabtu ini (14 Sep).

Tiket boleh didapatkan menerusi laman SISTIC pada harga $8 untuk warga emas dan harga $12 bagi penonton lain.

- BERITAmediacorp/tq

Top