Images
  • xtraordinary main
    Satu pameran menampilkan 26 lukisan artis-artis tempatan dan Hong Kong dinajurkan buat pertama kalinya. (Gambar-Gambar: Syawal Yusoff) 

Konsert, pameran seni bagi raikan masyarakat inklusif bakal diadakan hujung minggu ini

SINGAPURA: Dua acara seni bagi meraikan masyarakat yang inklusif bakal mewarnai hujung minggu ini (8 dan 9 Nov).

Konsert terbesar bagi menggalak dan meraikan sikap inklusif, Extra●Ordinary Celebration kembali tahun ini dengan lebih 900 peserta tanah air dan serantau mengambil bahagian.

Buat julung-julung kalinya juga, satu pameran menampilkan 26 lukisan artis-artis tempatan dan Hong Kong turut dianjurkan.

Kedua-dua acara ini dianjurkan oleh badan amal yang menyokong usaha golongan bekeperluan khas, iaitu Extra●Ordinary People dan Bank UOB.

4 KONSERT PERCUMA DIANJURKAN DI NUS

Konsert Extra●Ordinary Celebration yang dianjurkan buat pertama kalinya tahun lalu kembali lagi dengan sajian persembahan yang cukup bertenaga dengan beraneka jenis persembahan muzik, tarian dan alat muzik.

Jika tahun lalu, hanya satu sahaja konsert dianjurkan selama sehari, tahun ini pula, para penonton boleh menghadiri empat sesi konsert berlainan yang dijadualkan selama dua hari.

Persembahan-persembahan tahun ini juga menampilkan para peserta dari pelbagai lapisan usia dari Hong Kong dan Filipina buat pertama kalinya.

Bagi memupuk sikap inklusif dari usia muda, semua persembahan terdiri daripada gabungan peserta dari sekolah khas dan sekolah-sekolah arus utama.

Persembahan-persembahan silang bahasa dan budaya juga bakal dipersembahkan. Antara sekolah-sekolah yang bakal mempersembahkan nyanyian dan seni Melayu termasuk:

- Sekolah Lighthouse dan Sekolah Marymount Convent dengan nyanyian koir lagu-lagu rakyat (Rasa Sayang, Geylang Sipaku Geylang, Chan Mali)
- Sekolah APSN Tanglin dan ITE Kolej Tengah dengan persembahan pencak silat

Berlangsung di Dewan Pusat Kebudayaan NUS, antara barisan tetamu terhormat yang bakal menyerikan majlis adalah Presiden Halimah Yacob, Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga Sam Tan, Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan dan Menteri Kedua Pendidikan Indranee Rajah.

Untuk maklumat mengenai pembelian tiket, sila kunjungi laman Facebook Extra●Ordinary People di https://www.facebook.com/extraordinarypeoplesg/

PAMERAN SENI TAMPIL PELUKIS ISTIMEWA S'PURA & HK

Mulai Khamis (7 Nov), satu pameran seni akan diadakan di lobi Hotel Park Royal di Beach Road.

Bertajuk Extra●Ordinary Creation: Living Cities, para pengunjung berpeluang 'mencuci mata' menikmati sentuhan kreatif 23 pelukis dari Singapura dan Hong Kong - termasuk golongan yang berkeperluan khas.

Lukisan-lukisan yang ditampilkan pula mencerminkan interpretasi para pelukis ini tentang pengertian bandar.

Menurut pengasas bersama Extra●Ordinary People, Cik Wee Wei Ling, "Menerusi acara ini, kami dapat mendekatkan seni dengan masyarakat dan menyebarkan mesej inklusif menerusi seni."

Lantas, daripada ratusan lukisan yang diterima pihak penganjur dari Singapura dan Hong Kong, karya Ayu Widuri Roslan dari Sekolah APSN Tanglin, berjaya menambat hati.

Remaja berusia 14 tahun dan kurang daya intelek itu sudah mula melukis sejak berusia 3 tahun lagi.


Bertajuk 'Meneroka', karyanya ini dilukis ketika beliau menuntut di APSN Chaoyang, dua tahun lalu dan disiapkan dalam masa beberapa jam sahaja.

Anak sulung daripada dua beradik itu juga bercita-cita untuk menjadi seorang pelukis pada suatu hari nanti.


"Saya rasa gembira dan bangga. Saya suka melukis. Saya suka melihat tempat-tempat cantik," kata Ayu, kakak kepada seorang adik lelaki berusia 10 tahun.
Kehadiran artis-artis istimewa dari Hong Kong seperti Encik So Tat Shing yang kurang daya pendengaran, memberi peluang kepada bakat-bakat setempat menimba pengalaman daripada pelukis mapan.


Lukisannya bertajuk 'Matahari terbit di ufuk gelombang bergelora' pernah memenangi anugerah di sebuah pertandingan di Hong Kong.

Meskipun bukan muka baru dalam bidang pelukisan, pengalamannya di Singapura bertambah manis kerana ia merupakan kali pertama ia dipamerkan di sini.

"Peluang ini adalah baik bagi pelukis-pelukis Hong Kong dan Singapura untuk berkongsi karya kami dan mempelajari dari satu sama lain. Saya berharap anak muda dapat menikmati dan mempelajari lebih lagi mengenai budaya lukisan Cina dan Barat," kata Encik So, 68 tahun yang sudah berkecimpung dalam bidang seni sejak berusia 21 tahun.

Pameran ini berlangsung sehingga 8 Disember di Hotel Park Royal di Beach Road. 

- BERITAmediacorp/na

Top