Images
  • aedes
    Nyamuk Aedes aegypti dilihat menerusi mikroskop. (Gambar: Mauro Pimentel/AFP)

Kondominium antara kawasan catat peningkatan jumlah tempat pembiakan nyamuk

SINGAPURA: Sedang jumlah jangkitan denggi di negara ini terus bertambah melampaui 20,000 kes, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mendapati jumlah jentik-jentik nyamuk Aedes yang dikesan di rumah dan koridor rumah, meningkat lima kali ganda semasa tempoh "circuit breaker".

Kondominium privet juga tidak terkecuali.

NEA menyatakan kawasan kondominium adalah antara tapak-tapak yang menyaksikan peningkatan jumlah tempat pembiakan nyamuk.

Ia mungkin disebabkan oleh kerja-kerja penyenggaraan yang berkurangan akibat sekatan-sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan.

Beberapa pengurus kondominium mengatakan mereka telah mengaturkan proses semburan ubat penghapus nyamuk dengan bangunan-bangunan berdekatan, demi memastikan agar usaha tersebut lebih berkesan.

Satu lagi keprihatinan adalah adanya lebih banyak unit-unit flat atau kondominium yang kosong semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Memandangkan Singapura sudah beralih ke Fasa Kedua pembukaan semula ekonomi negara, kerja-kerja penyenggaraan di beberapa kawasan kini kembali seperti biasa.

Namun, pihak berkuasa dan syarikat-syarikat pengurusan kondominium menggesa para penghuni supaya memainkan peranan masing-masing dalam memastikan rumah mereka bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk. 

- CNA/AI/tq

Top