Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Komen online pesalah Orchard Towers dihukum ringan atas dasar kaum 'tidak berasas': Faishal Ibrahim

Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata di Parlimen pada Rabu (4 Nov) bahawa catatan media sosial yang mendakwa bahawa para pesalah dalam kes pergaduhan membawa maut di Orchard Towers dikenakan hukuman ringan atas sebab kaum mereka, adalah "tidak berasas langsung dan sangat tidak bertanggungjawab".

Anggaran Waktu Membaca:
Komen online pesalah Orchard Towers dihukum ringan atas dasar kaum 'tidak berasas': Faishal Ibrahim

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 05 Nov 2020 12:01PM Dikemas Kini : 05 Nov 2020 12:03PM

SINGAPURA: Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata di Parlimen pada Rabu (4 Nov) bahawa catatan media sosial yang mendakwa bahawa para pesalah dalam kes pergaduhan membawa maut di Orchard Towers dikenakan hukuman ringan atas sebab kaum mereka, adalah "tidak berasas langsung dan sangat tidak bertanggungjawab".

Menteri Negara bagi Ehwal dalam Negeri itu menambah bahawa para pesalah yang terbabit dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

Beliau memberi jawapan kepada soalan tambahan yang diajukan oleh Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim, yang bertanya tentang pandangan beliau mengenai hukuman yang dijatuhkan dalam kes pembunuhan di Orchard Towers.

Encik Zhulkarnain juga bertanya jika hukuman itu adalah sejajar dengan garis panduan duluan dan penjatuhan hukuman.

Mengulangi perkara-perkara yang diketengahkan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan baru-baru ini, Dr Faishal menekankan bahawa sistem keadilan jenayah tidak memberi layanan istimewa berdasarkan kaum, agama, status sosio-ekonomi atau pencapaian pendidikan.

Sebaliknya, tuduhan dan hukuman mengambil kira aspek boleh disalahkan dan pembabitan setiap orang tertuduh.

Menjelaskan satu persatu proses menjatuhkan hukuman mati bagi kesalahan seperti membunuh, menculik dan menyeludup jumlah dadah yang besar, Dr Faishal berkata tuduhan bagi kesalahan jenayah lebih kecil mungkin dikenakan terhadap suspek dahulu.

Jika beberapa orang tertuduh terlibat dalam kes yang sama, mereka semua akan menghadapi tuduhan kesalahan jenayah lebih kecil yang sama dan akan ditahan reman sehingga siasatan lanjut dijalankan.

Susulan itu, agensi penguatkuasaan undang-undang akan mengemukakan saranan kepada AGC dan pihak pendakwa akan mengkaji semula bukti dan fakta kes dan mempertimbangkan peranan khusus bagi setiap tertuduh sebelum menentukan tindakan sewajarnya.

"Tindakan boleh diambil untuk meneruskan dengan hukuman gantung, memohon untuk mengurangkan dakwaan atau dakwaan lebih ringan atau menggugurkan dakwaan," kata Dr Faishal sambil menambah dakwaan pernah dikurangkan dalam kes-kes sebelum ini seperti kes pembunuhan Downtown East pada 2010 dan kes pembunuhan Pandan Loop pada 2014.

Dalam kes Orchard Towers, kesemua tujuh individu pada asalnya didakwa atas pembunuhan Satheesh Noel Gobidass, 31 tahun pada 2 Julai tahun lalu.

AGC menyatakan dalam kenyataannya bahawa tuduhan terhadap enam daripada orang-orang tertuduh dikurangkan selepas siasatan menyeluruh mendapati bahawa mereka tidak secara langsung terlibat menyebabkan kematian Satheesh.

Tan Sen Yang, 28 tahun, ialah satu-satunya orang yang berdepan tuduhan membunuh bagi kematian Satheesh.

Empat daripada tujuh individu tertuduh dalam kes berprofil tinggi itu - Ang Da Yuan, Natalie Siow, Joel Tan dan Chan Jia Xing - sudah pun didakwa. Chan, yang terbaru didakwa, dibebaskan setelah diberikan amaran bersyarat selama setahun.

Berita tentang hukuman yang dikenakan terhadap Chan pada minggu lalu mencetuskan beberapa catatan media sosial yang menggambarkan bahawa mahkamah mengenakan hukuman kepada para pesalah atas dasar kaum mereka, dengan hukuman lebih berat diberikan jika mereka merupakan anggota kaum minoriti.

Kurang seminggu selepas kenyataan pertamanya, AGC mengeluarkan penjelasan lanjut mengenai sebab-sebab empat individu yang terbabit dalam kes berprofil tinggi itu diberikan hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka.

Di Parlimen, Dr Faishal juga membangkitkan kes serangan beramai-ramai yang menyebabkan seorang lelaki terbunuh di St James Power Station pada 2017, yang mana para pesalahnya adalah Melayu, bagi menunjukkan bahawa para pesalah dalam kes baru-baru ini juga ditangani secara serupa.

"Secara keseluruhan, dakwaan ke atas para pesalah dalam kes ini mencerminkan rancangan awal untuk menyerang mendiang, kebersalahan dan pelibatan masing-masing, dan hukuman yang dikenakan adalah konsisten dengan tanda aras penjatuhan hukuman," tambahnya.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan