Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kod Tata Amalan POFMA bagi iklan politik online akan bantu rakyat buat pilihan bermaklumat: S Iswaran

Kod Tata Amalan bagi Ketelusan Iklan Politik Online akan menjadikan iklan-iklan sedemikian lebih telus, mempertanggungjawabkan pengiklan dan membolehkan rakyat membuat pilihan bermaklumat, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran pada Isnin (6 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Kod Tata Amalan POFMA bagi iklan politik online akan bantu rakyat buat pilihan bermaklumat: S Iswaran

Encik S Iswaran di Parlimen pada 6 Jan 2020

Diterbitkan : 06 Jan 2020 07:22PM Dikemas Kini : 06 Jan 2020 07:25PM

SINGAPURA: Kod Tata Amalan bagi Ketelusan Iklan Politik Online akan menjadikan iklan-iklan sedemikian lebih telus, mempertanggungjawabkan pengiklan dan membolehkan rakyat membuat pilihan bermaklumat, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran pada Isnin (6 Jan).

Encik Iswaran berkata demikian di Parlimen semasa menjawab Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja Sylvia Lim, yang meminta penjelasan sebab di sebalik kewajipan yang diletakkan ke atas iklan digital dan perantara Internet di bawah Kod itu.

Diperkenalkan sebagai sebahagian daripada Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) pada Oktober tahun lalu, Kod tersebut mensyaratkan perantara yang ditetapkan harus memastikan bahawa semua iklan politik online membawa notis yang mendedahkan orang atau pertubuhan yang meletakkan atau membiayai iklan tersebut.

Syarat-syarat lain ke atas pengantara termasuk mengekalkan pangkalan data untuk iklan-iklan sedemikian dan menyediakan saluran bagi orang awam untuk melaporkan iklan tidak telus.

"Hari ini, alat pengiklanan digital digunakan secara meluas di wadah-wadah media sosial. Tambahan pula, iklan digital menyasarkan secara terperinci kumpulan tertentu menggunakan pelbagai petunjuk," kata Encik Iswaran.

"Kami percaya bahawa warga Singapura perlu tahu, dan sememangnya rakyat ingin tahu, siapa yang menyokong iklan politik yang mereka lihat online."

Kod itu digubal selepas rundingan bersama pengantara dan merujuk kepada langkah-langkah yang diambil negara lain, tambah Encik Iswaran.

Ini termasuk Kod Amalan Kesatuan Eropah berhubung Maklumat Mengelirukan serta langkah ketelusan dalam iklan politik di Perancis dan Kanada.

Syarat-syarat Kod tersebut menerima perhatian setelah Google enggan menyiarkan iklan politik oleh Parti Demokratik Singapura (SDP) pada Disember.

Pengerusi SDP Paul Tambyah menulis kepada Google, yang menjawab bahawa ia tidak akan "menerima iklan yang dikawal oleh Kod Tatalaku bagi Ketelusan Iklan Politik Online".

Dalam soalan tambahan, Cik Lim menyoal keperluan Pejabat POFMA mendapat akses kepada pangkalan data, kerana ia merangkumi maklumat seperti jumlah yang dibayar untuk iklan itu, keterangan mengenai niat iklan dan penonton sasaran serta penonton yang dicapai.

Walaupun pengantara dikehendaki untuk menyimpan maklumat tersebut, "ini tidak bermakna Pejabat POFMA harus mempunyai akses kepada maklumat ini," kata Encik Iswaran.

"Maklumat itu mesti disediakan supaya, jika tindakan diperlukan, maklumat yang relevan boleh diperolehi."

Namun Cik Lim berhujah bahawa Kod itu akan menjadi "satu cara yang baik untuk membongkar strategi pilihan raya pencabar politik parti yang memerintah", kerana Kod itu tidak menghalang Pejabat POFMA daripada melihat iklan tanpa kepalsuan atau dakwaan kepalsuan.

Encik Iswaran menjawab: "Google tidak mengambil (iklan politik), Twitter tidak mengambilnya - dan terdapat dasar global untuk tidak mengambil iklan politik - dan Facebook membuat pendedahan penuh. Lebih daripada pendedahan yang kita syaratkan melalui Kod ini. "

"Saya tidak pasti bagaimana ini memberi kami maklumat risikan lebih luas... Saya rasa anggota dewan mungkin keliru," katanya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan