Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Klinik jangka permintaan meningkat bagi ujian COVID-19, sedang S'pura sambung semula lebih banyak kegiatan

Para penyedia khidmat jagaan kesihatan dan Klinik Doktor Swasta (GP) bersiap sedia menghadapi permintaan yang dijangka akan meningkat bagi ujian COVID-19, sedang Singapura menyambung semula lebih banyak kegiatan negara melangkah ke Fasa 3 pembukaan semula ekonomi negara pada 28 Disember.

Anggaran Waktu Membaca:
Klinik jangka permintaan meningkat bagi ujian COVID-19, sedang S'pura sambung semula lebih banyak kegiatan

(Gambar: Desmond Lee/Facebook)

Diterbitkan : 18 Dec 2020 09:43AM Dikemas Kini : 18 Dec 2020 09:50AM

SINGAPURA: Para penyedia khidmat jagaan kesihatan dan Klinik Doktor Swasta (GP) bersiap sedia menghadapi permintaan yang dijangka akan meningkat bagi ujian COVID-19, sedang Singapura menyambung semula lebih banyak kegiatan negara melangkah ke Fasa 3 pembukaan semula ekonomi negara pada 28 Disember.

Fullerton Health, yang menyediakan ujian COVID-19 di tujuh kliniknya dan juga untuk acara-acara seperti konsert dan pertarungan seni mempertahankan diri campuran (MMA), menyatakan pihaknya menjangkakan lebih banyak permintaan untuk menjalankan ujian bagi acara-acara sedemikian dan apabila ramai orang kembali ke tempat kerja.

Buat masa ini, ujian perintis sedang dijalankan bagi acara sukan, persembahan dan mesyuarat MICE yang melibatkan sehingga beratus-ratus orang di mana para peserta diperlukan menjalani ujian. Kelab malam dan KTV juga akan melancarkan ujian perintis bulan depan di mana para pelanggan dikehendaki menjalani ujian sebelum memasuki premis-premis seumpama itu.

"TIADA INSENTIF" BAGI UJIAN SECARA SUKARELA

Walaupun para doktor menjangkakan peningkatan pada jumlah permintaan untuk ujian virus korona, klinik-klinik yang dihubungi Mediacorp menyatakan bahawa tiada peningkatan pada permintaan untuk menjalani ujian secara sukarela sejak 1 Desember. Ketika itulah pihak berkuasa menggugurkan keperluan untuk meminta kelulusan bagi ujian COVID-19.

Dr John Cheng, ketua rawatan asas di Healthway Medical Group, berkata bahawa sekitar 30 peratus daripada semua ujian swab PCR yang dijalankan di kliniknya adalah untuk perjalanan ke luar negara, sementara baki 70 peratus adalah pesakit yang mengalami gejala COVID-19 seperti demam dan batuk.

Ini tidak berubah setelah ujian sukarela dimulakan, katanya, sambil menambah bahawa orang ramai mungkin akan tampil hanya apabila terdapat kaedah ujian yang kurang invasif. Kumpulan Healthway itu mempunyai 38 klinik yang menawarkan ujian.

"Buat masa ini, selagi seseorang tidak sihat, masih kurang insentif untuk mereka membayar kos bagi ujian swab secara sukarela," kata Dr Cheng.

Buat masa ini ujian PCR ditawarkan pada harga sekitar S$200, sementara kebanyakan ujian ART adalah antara S$50 hingga S$80, menurut senarai penyedia ujian yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

PERMINTAAN DIJANGKA MENINGKAT PADA FASA 3

"Sungguhpun demikian, kami menjangkakan sesetengah individu akan meminta ujian ini dalam masa beberapa minggu mendatang sedang kita bersiap sedia untuk melangkah ke Fasa 3 yang akan menyaksikan penyambungan semula kegiatan ekonomi dan masyarakat pada skala yang lebih luas serta perjalanan ke luar negara atas urusan niaga dan percutian," menurut Dr Cheng.

Beliau turut mendedahkan bahawa Healthway sedang bekerjasama dengan rakan-rakannya untuk menjangkakan lonjakan pada permintaan bagi ujian ART, terutama sekali untuk tujuan pemeriksaan pra-acara.

Encik Yong Yih Ming, pengurus besar Raffles Medical Group, berkata pihaknya juga sedang mempertingkatkan kemampuan ujiannya untuk memudahkan Singapura dibuka semula. Kumpulan itu juga sudah melancarkan aplikasi Raffles Connect untuk memudahkan pelanggan membuat janji temu bagi ujian COVID-19, membuat pembayaran dan menerima hasil ujian PCR.

Pelaburan pada kemampuan makmal juga dibuat untuk "meningkatkan kapasiti ujian harian kepada antara 8,000 hingga 10,000 ujian," jelas beliau.

Dr Faizal Kassim, pengarah perubatan bahagian jagaan asas Fullerton Health, berkata klinik-kliniknya turut menyaksikan lebih banyak permintaan untuk ujian ART, sementara sebahagian kecil menjalani ujian serologi yang memenuhi keperluan bagi perjalanan tertentu. Tanah besar China, misalnya, mewajibkan para pelawat untuk menjalani ujian serologi sebelum melakukan penerbangan.

Ujian serologi berupaya mengesan antibodi menggunakan sampel darah. Ia bagaimanapun bukan diagnosis untuk COVID-19 tetapi untuk mengesan pendedahan atau jangkitan masa lalu.

Senarai penyedia ujian COVID-19 di Singapura boleh didapatkan melalui laman MOH.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan