Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Kita tidak boleh biarkan mobiliti sosial jadi bertambah sulit," kata PM Lee

Mobiliti sosial lebih penting daripada ketidaksamarataan dan Singapura tidak boleh membiarkan mobiliti sosial menjadi bertambah sulit, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di satu sesi dialog masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Oct 2018 07:36AM Dikemas Kini : 23 Oct 2018 09:29PM

SINGAPURA: Mobiliti sosial lebih penting daripada ketidaksamarataan dan Singapura tidak boleh membiarkan mobiliti sosial menjadi bertambah sulit, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di satu sesi dialog masyarakat.

PM Lee berkata demikian semasa dialog pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan yang diadakan di Kelab Masyarakat Ci Yuan pada 14 Oktober.

Dalam ucapannya, PM Lee menekankan betapa pentingnya tidak membiarkan rakyat Singapura yang berpendapatan rendah ketinggalan.

"Cara anda berpakaian, cara anda bertutur, apa yang anda makan dan di mana anda bercuti. Anda membuat perbandingan dan kemudian anda rasa, saya boleh menunjukkan lebih sedikit (bahawa) saya lebih baik daripada anda. Saya rasa kita harus menangani perkara ini," tambah beliau.

PM Lee berkata demikian semasa berucap kepada sekitar 350 pemimpin akar umbi mengenai keprihatinan mereka terhadap isu-isu yang dibangkitkan dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan, termasuk Pakej Generasi Merdeka dan perumahan.

PM Lee menambah bahawa Singapura mesti memastikan agar apabila negara semakin maju, golongan berpendapatan rendah juga tidak ketinggalan.

Gambar PM Lee Hsien Loong bersama AP GRC Ang Mo Kio, Darryl David, semasa dialog pasca Rapat Hari Kebangsaan. (Gambar: MCI)

Gambar PM Lee Hsien Loong bersama AP GRC Ang Mo Kio, Darryl David, semasa dialog pasca Rapat Hari Kebangsaan. (Gambar: MCI)

"Kita mempunyai sistem meritokrasi tetapi kita harus berusaha untuk membawa setiap rakyat Singapura ke titik permulaan yang baik bagi memberi semua rakyat peluang yang adil untuk mencapai kejayaan dan bersaing, tanpa mengira sama ada anda daripada keluarga yang mewah atau miskin, dan sama ada ibu bapa anda mempunyai kelebihan ataupun tidak," kata beliau.

PM Lee kemudian menarik perhatian bahawa inilah sebabnya Pemerintah terus memastikan agar semua kanak-kanak diberikan pendidikan prasekolah yang baik untuk mereka mempunyai peluang yang adil dan begitu juga pelbagai jenis flat Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) disediakan di bandar yang sama supaya rakyat Singapura daripada pelbagai pendapatan keluarga boleh tinggal di kawasan yang sama dan saling berinteraksi antara satu sama lain.

"Ini adalah dasar-dasar pemerintah yang penting bagi melindungi mobiliti dan perpaduan sosial. Namun seperti dasar-dasar pemerintah, sikap sosial juga sama pentingnya," kata PM Lee.

Beliau berkata para keluarga berpendapatan rendah tidak seharusnya merasakan diri mereka didiskriminasikan, manakala mereka yang lebih berjaya dan dilahirkan dalam keluarga yang mewah pula tidak seharusnya menunjuk-nunjukkan kemewahan mereka.

Gambar PM Lee Hsien Loong dan para pemimpin akar umbi. (Gambar: MCI)

Gambar PM Lee Hsien Loong dan para pemimpin akar umbi. (Gambar: MCI)

PM Lee turut menarik perhatian bahawa ketidaksamarataan dan kelemahan mobiliti sosial merupakan ancaman terhadap matlamat Pemerintah untuk memperbaiki taraf hidup setiap individu di Singapura.

Beliau memuji rancangan dokumentari Mediacorp, Regardless of Class yang disampaikan oleh Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan merangkap Pengangkutan Dr Janil Puthucheary, sebagai satu program yang "dengan jelas menunjukkan pelbagai lapisan masyarakat di Singapura hari ini dan pandangan seorang individu terhadap seseorang daripada kumpulan sosial yang berbeza."

"Ketidaksamarataan wujud di mana-mana sahaja. Dalam setiap masyarakat, tentunya ada ketidaksamarataan dan tiada satu masyarakat pun yang mempunyai paras ketidaksamarataan yang serupa," tambah beliau.

PM Lee bagaimanapun berkata Pemerintah Singapura sudah berusaha untuk mengurangkan ketidaksamarataan dan "meningkatkan paras dasar" bagi memastikan agar negara ini menjadi sebuah masyarakat yang adil dan saksama.

Beliau menerangkan bahawa ia dilakukan menerusi "perumahan, pendidikan dan jagaan kesihatan yang bermutu tinggi dan dimampui" serta sistem cukai yang dilaksanakan secara bertahap-tahap.

Dalam ucapan pembukaannya, PM Lee juga menarik perhatian kepada usaha Pemerintah untuk menangani isu-isu yang menjadi keprihatinan rakyat Singapura seperti keutuhan pengangkutan awam, perumahan awam yang dimampui, akses kepada jagaan kesihatan serta pendidikan prasekolah. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan