Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kisah suami isteri yang kedua-duanya terkena COVID-19; si isteri 53 hari duduk di hospital

Mungkin ini kisah ‘Romeo dan Juliet’ tersendiri bagi pasangan suami isteri Muhammad Jawad dan Natasha Bakhtiar.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Mungkin ini kisah ‘Romeo dan Juliet’ tersendiri bagi pasangan suami isteri Muhammad Jawad dan Natasha Bakhtiar.

Bayangkan, kedua-dua mereka sama-sama disahkan positif COVID-19 pada hari yang sama. Mereka sama-sama diusung ke hospital dalam ambulans yang sama. Di hospital pun mereka tidak berpisah dan ditempatkan dalam bilik wad yang sama.

Kemudian dalam satu babak “gembira dan sedih”, mereka terpisah selama beberapa minggu apabila si suami disahkan bebas virus itu. Si isteri pula terus memikul beban COVID-19 dan terpaksa duduk selama 53 hari kesemuanya di hospital.

(Gambar-gambar: Muhd Jawad)

Akhirnya, ibarat suratan cukup puitis, Cik Natasha dapat pulang ke rumah hampir bertepatan waktu berbuka puasa terakhir dan ketika takbir Syawal hampir mula bergema. Itulah perjalanan suami isteri muda itu - perjalanan unik yang mengeratkan lagi ikatan kasih sayang antara mereka.

Perjalanan penuh cabaran yang berakhir dengan mereka dapat menyambut Hari Raya bersama-sama.

Ini kisah mereka.

BAGAIMANA PASANGAN INI TERKENA COVID-19?

Encik Jawad dan Cik Natasha menjalani ujian COVID-19 pada 30 Mac - dua hari selepas sepupu mereka disahkan positif.

"Awalnya saya sakit selama seminggu. Saya fikir hanya sakit biasa. Tetapi selepas itu sepupu saya disahkan positif. Saya dan suami pun memutuskan untuk menjalani ujian kerana kami memang rapat dan selalu berkumpul dengan sepupu lain," cerita Cik Natasha.

Cik Natasha bersama sepupunya, Cik Indra.

Sepupu mereka, Cik Siti Nur Indra Jalal, 26 tahun, disahkan positif COVID-19 pada 28 Mac. Cik Natasha dan suami bersama seorang lagi sepupu bertemu dengan Cik Indra untuk makan bersama-sama pada 19 Mac - iaitu sebelum tempoh 'circuit breaker'.

Keempat-empat mereka akhirnya disahkan positif COVID-19 dalam tempoh kurang dua minggu. Namun tidak dapat dipastikan bagaimana Cik Indra dijangkiti COVID-19.

ALAMI SIMPTOM COVID-19 LUAR BIASA, IAITU CIRIT-BIRIT

Kalau lazimnya kita sering mendengar pesakit COVID-19 mengalami gejala demam dan batuk-batuk, lain pula bagi Cik Natasha.

Anak tunggal berusia 24 tahun itu mengalami cirit-birit - satu simptom COVID-19 yang umumnya jarang dialami para pesakit COVID-19. Rasa sakitnya pula lebih teruk daripada biasa kerana beliau mempunyai masalah kesihatan lain.

"Saya ada endometriosis. Bila terkena cirit-birit, otot-otot saya mengecut. Jadi terlebih sakit," terang Cik Natasha.

Suaminya pula hilang deria rasa dan bau, selain mengalami demam dan batuk-batuk.

"Jujur kerana saya tiada ada masalah kesihatan, COVID-19 itu seperti demam panas biasa sahaja," tambah Encik Jawad, seorang jurutera projek berusia 25 tahun.

UJIAN SWAB SAKIT!

Semasa baru-baru dimasukkan ke hospital, pasangan ini seringkali sama-sama menjalani ujian swab.

Ujian tersebut pada awalnya 'biasa-biasa sahaja' bagi Cik Natasha tetapi bukan bagi suaminya.

"Untuk saya ia begitu menyakitkan. Saya seperti tersedak setiap kali kapas kesat panjang dimasukkan ke dalam hidung," cerita Encik Jawad.

(Gambar: AFP)

(Gambar fail: AFP)

Pesakit COVID-19 perlu menjalani ujian tersebut setiap empat hari sehinggalah mereka diuji negatif. Cik Natasha tidak mengeluh tentang ujian swab itu tetapi beliau pengsan pada satu ketika, sebaik sahaja menjalani ujian berkenaan.

"Tidak pasti apa punca beliau pengsan tetapi apa yang kami tahu, ada pendarahan akibat ujian swab itu," tambah Encik Jawad.

PENGAJIAN TERJEJAS KERANA TERKURUNG DALAM HOSPITAL

Encik Jawad dan Cik Natasha dirawat selama dua hari di NCID sebelum mereka dipindahkan ke Hospital Mount Alvernia.

Meski bersyukur 'ada teman', pengajian ijazah kedua-dua mereka terjejas. Encik Jawad dan Cik Natasha sebenarnya sedang melanjutkan pendidikan di peringkat ijazah sarjana muda.

Semasa 'terkurung' dalam hospital, masing-masing seharusnya menyelesaikan ujian modul terakhir dan projek akhir tahun.

"WiFi dalam bilik hospital tidak begitu bagus. Setiap kali perlu muat turun kuliah, perlu gunakan khidmat 4G. Jadi saya bertanya dengan pihak sekolah jika saya boleh tangguhkan peperiksaan bagi modul terakhir," terang Cik Natasha. Beliau seorang mahasiswa Universiti La Trobe di bawah kendalian PSB Academy.

Encik Jawad juga menangguhkan penyerahan projek akhir tahunnya. Tetapi dari katil hospital, beliau masih perlu menduduki dua peperiksaan secara online. Encik Jawad mengikuti program sarjana muda di Institut Pengurusan Singapura.

Selain mengulang kaji dalam bilik wad, pasangan itu mengaku berasa begitu bosan.

Senarai topik yang perlu Cik Natasha ulang kaji.

"Saya tidak tahu nak buat apa. Saya terus-menerus mencari cerita untuk ditonton. Kadang kala saya FaceTime dengan Indra tetapi kita tidak berbual," ujar Cik Natasha.

"Yang bagusnya, sepanjang saya dan suami bersama, kita tidak pernah gaduh."

"Masa bersama di dalam bilik wad itu memang membuat kami lebih rapat. Saya juga selesa kerana tidak perlu sebilik dengan seseorang tidak dikenali dalam wad," tambah Encik Jawad.

SUAMI PULANG DULU, ISTERI LEGA MESKI SEDIH

Setelah lebih sebulan terkurung, pada 4 Mei, Encik Jawad dibenarkan pulang selepas dua kali diuji negatif. Malangnya isteri beliau masih belum bebas COVID-19.

"Kami berdua gembira dan sedih pada masa yang sama. Bagi isteri saya, dia lega kerana saya dapat kembali bekerja. Terkurung dalam hospital, kami takut kalau-kalau saya hilang pekerjaan. Pada masa yang sama, saya meninggalkannya sendirian - sesuatu yang tidak mudah untuk dilakukan," rintih Encik Jawad.

Apabila dibenarkan pulang, Encik Jawad segera menyelesaikan projek akhir tahunnya "sepanjang 15 muka surat" dan kembali bekerja seminggu kemudian.

Mujur Cik Natasha tidak sendirian. Selepas 'ditinggalkan' suami, sepupunya, Cik Indra, dapat berpindah ke bilik yang sama untuk bersamanya.

CIK NATASHA YANG TERAKHIR TINGGALKAN HOSPITAL

Sekitar 10 hari kemudian, pada 15 Mei, Cik Indra akhirnya disahkan bebas COVID-19 selepas menjalani lebih 10 ujian swab.

"Masa saya dibenarkan pulang, kita melalak. Natasha perlu berseorangan selepas itu," kata Cik Indra.

Cik Indra dibenarkan pulang pada Ramadan.

Seorang lagi sepupu mereka yang terkena COVID-19 hanya dirawat di hospital selama sekitar 20 hari dan menjadi yang pertama untuk meninggalkan hospital.

Jadi dengan dua sepupu dan suaminya sudah pulih, Cik Natasha kesunyian dan hampir putus asa.

"Saya sempat menaruh harapan dapat menyambut malam Lailatul Qadar bersama keluarga pada 10 hari terakhir Ramadan. Tapi ujian dapati saya positif. Saya menghitung hari kepada ujian swab pada dua hari sebelum Raya selepas itu," kata Cik Natasha.

KELUAR HOSPITAL BEBERAPA JAM SEBELUM TAKBIR RAYA

Mujur, penantian Cik Natasha berakhir juga. Hasil ujian swab didapati negatif dua hari sebelum Raya. Ujian kedua yang dijalani pada hari selanjutnya juga negatif.

Menariknya, kalau biasanya pesakit yang bebas COVID-19 dibenarkan pulang sehari selepas mendapat hasil ujian swab mereka, Cik Natasha dibenarkan pulang sebaik sahaja mendapat keputusan itu.

"Semasa saya dapat panggilan, saya gembira dapat sambut Raya pertama dengan keluarga. Sekali pihak hospital katakan saya dibenarkan pulang pada saat itu juga," ujar Cik Natasha.

Instastory Cik Indra pada hari Cik Natasha dibenarkan pulang. 

"Saya terus telefon Jawad dan suruh dia mengambil saya daripada hospital. Tapi saya dah rancang tidak mahu bilang ibu dah ayah saya kerana nak buat kejutan. Bila saya dah sampai di rumah, saya terus peluk mereka. Tak sangka saya boleh balik pada hari itu, hari sebelum Hari Raya."

Cik Natasha tiba di rumah pada sekitar waktu berbuka puasa. Keseluruhannya beliau tinggal di hospital selama53 hari!

"Seperenam tahun 2020 bagi saya 'hilang'," seloroh Cik Natasha.

RAYA TAHUN INI SEDERHANA

Yang pasti, Cik Natasha dan suami serta dua sepupunya bersyukur dapat kembali ke pangkuan keluarga meski sambutan tahun ini cukup luar biasa bagi mereka.

"Hari Raya tahun ini amat sederhana bagi keluarga saya. Kita tidak membuat persiapan apa-apa. Sebaliknya kita mengambil masa ini untuk meluangkan masa bersama menonton televisyen," kongsi Cik Indra.

Cik Natasha dan Encik Jawad pula tidak dapat beraya bersama ibu bapa mereka.

"Ayah saya bekerja syif pagi pada Raya pertama sementara ibu saya bekerja sebagai jururawat dalam wad COVID di sebuah hospital. Semua tidak dapat bersama," jelas Cik Natasha.

Sungguhpun demikian, beliau tidak melepaskan peluang untuk bertemu secara maya dengan Cik Indra dan sepupunya.

"Nasihat saya kepada orang yang tidak dapat beraya tahun ini, adalah ini semua hanya sementara. Yang paling penting adalah keselamatan kita dan kesihatan kita," kata Cik Indra. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan