Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kisah-kisah inspirasi terus dikongsi, meski kempen #InspirasiSG sudah berakhir lebih sebulan

Sudah sebulan sejak kempen #InspirasiSG berakhir, namun ramai yang masih mengongsi kisah-kisah individu yang menjadi sumber inspirasi di lelaman media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Kisah-kisah inspirasi terus dikongsi, meski kempen #InspirasiSG sudah berakhir lebih sebulan

(Gambar: Mendaki/Facebook)

SINGAPURA: Sudah sebulan sejak kempen #InspirasiSG berakhir, namun ramai yang masih mengongsi kisah-kisah individu yang menjadi sumber inspirasi di lelaman media sosial.

"Teruskanlah usaha murni untuk mengiktiraf kejayaan dan sumbangan insan-insan di sekeliling kita demi membakar semangat satu sama lain untuk mencapai kecemerlangan," kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, menerusi catatan di laman Facebooknya hari ini (21 Ogos).

Kempen #InspirasiSG dilancarkan oleh gerakan M³ - iaitu gabungan MUIS, MENDAKI dan MESRA - bagi mencungkil kisah-kisah inspirasi yang luar biasa dari anggota masyarakat yang mungkin kelihatan biasa-biasa sahaja.

Tahap penyertaan dan sambutan terhadap kempen itu sangat memberangsangkan, dengan lebih 300 orang termasuk artis-artis tempatan turut mengiktiraf individu-individu yang diangkat menjadi peran contoh sepanjang tempoh kempen itu berlangsung.

Kisah-kisah inspirasi itu mencerminkan nilai-nilai yang membina Masyarakat Gemilang, kata Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air.

Malah, kempen #InspirasiSG dilancarkan untuk memperkukuhkan lagi visi tersebut.

Dalam video yang dimuat naik oleh Encik Masagos bagi mengimbas kembali perjalanan kempen itu, beliau menarik perhatian bahawa "walaupun masyarakat kita kecil, kitalah yang paling banyak melakukan kerja sukarela di Singapura".

Semasa menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan 2019 pada Ahad (18 Ogos), Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut mengiktiraf sumbangan masyarakat Melayu kepada pembangunan dan kejayaan Singapura sepanjang tempoh berdekad-dekad lamanya, selain memuji pencapaian dan kemajuan masyarakat terutamanya dalam bidang pendidikan.

"Beliau akur bahawa identiti tersendiri masyarakat kita didorong nilai-nilai murni seperti keperibadian, kemahiran dan kewarganegaraan yang kukuh.

"Justeru kita menjadi warga Singapura yang membina dan menyumbang dengan bermakna," kata Encik Masagos.

Menerusi kempen#InspirasiSG, Encik Masagos dan M³ berharap untuk mendorong lebih ramai anggota masyarakat supaya terus menyumbang kepada kemaslahatan Singapura sambil membudayakan cogan kata kempen itu, "Hidup berbakti, ikhlas berbudi".

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan