Images
  • SANA profile
    Klien SANA, Zulkifli Atan (kiri) bersama Abdul Rahman Abdul Majeed (kanan). (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Kisah 2 bekas penagih dadah dibantu oleh Pusat Step-Up@Taman Jurong

SINGAPURA: Encik Abdul Rahman Abdul Majeed sudah bebas daripada dadah sejak setahun lalu. Namun beliau akur bukan mudah untuk membebaskan diri daripada dibelenggu dengan masalah berkaitan dadah.

Oleh itu, beliau amat berterima kasih kepada para kaunselor di Pusat Step-Up@Taman Jurong yang tidak jemu-jemu mendampingi dirinya sepanjang usaha untuk kekal bebas dadah.

"Dia banyak tolong saya. Dia carikan saya kerja, dia bantu saya carikan saya kad EZ-Link untuk pengangkutan, untuk cari kerja, itulah saya bersyukur kepada dia.
Dia kasi saya macam perangsang. Jadi daripada perangsang itu kita akan ubah dengan kita punya diri," cerita Encik Abdul Rahman tentang pelbagai bantuan yang diterimanya.

Pusat Step-Up@Taman Jurong dikendalikan oleh Persatuan Antinarkotik Singapura (SANA). Buat masa ini, SANA sedang membantu Encik Abdul Rahman untuk mendapatkan pekerjaan.


Meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesulitan, Encik Abdul Rahman enggan berputus asa demi membuka lembaran baru dalam hidupnya.

Lebih penting lagi, segala bimbingan yang diberikan pusat tersebut mengubah jiwa dan pandangan hidupnya:

"Tanpa ubah diri kita, kita tak akan pakai akal kita. Dah tak bergerak kan? Kita akan tak tahu apa kita akan buat. Saya juga cakap dengan dia, tak kan kita nak masuk balik?"

DULU KLIEN, SEKARANG AJAK KLIEN LAIN KE SANA PULA

Seorang lagi klien yang berjaya dibantu Pusat Step-Up@Taman Jurong ialah Encik Zulkifli Atan yang sudah bebas dadah sejak 10 tahun lalu.

Sejak mengikuti pelbagai program dan khidmat di pusat tersebut awal tahun ini, beliau mendapat pelbagai kaunseling dan sokongan dari rakan senasib, serta merasakan "perubahan" pada dirinya.


Malah beliau menganjak setapak kedepan dengan menjadi 'penyumbang' pula dan bukan setakat 'peserta kaunseling'. Sejak beberapa bulan lalu, Encik Zulkifli berjaya memujuk enam kenalannya supaya sama-sama mendapatkan bantuan di pusat tersebut.

Beliau juga memastikan mereka tidak 'ponteng' dan komited menghadiri sesi-sesi kumpulan sokongan. Jika tidak, beliau sendiri yang akan mengetuk pintu rumah mereka.

"Bagi saya ini satu tanggungjawab bagi setiap individu untuk bantu yang lain supaya jangan mengikut jejak langkah kami. Kita adalah seperti 'role model' bagi mereka. Kalau boleh jangan ikut jejak langkah yang kita telah lalui," kata Encik Zulkifli.

Lelaki berusia 47 tahun itu berkata beliau nampak sendiri perubahan pada dirinya setelah mengikuti sesi kaunseling dan melibatkan diri dengan SANA.

Malahan, Encik Zulkifli menambah bahawa pandangan hidupnya kini lebih luas sejak menyertai program SANA.

"Bila saya sertai SANA, para ahli SANA macam sukarelawan, mereka akan bagi kita idea dan mereka beri kita satu sokongan macam mana nak ubah untuk beri balik kepada masyarakat," ujar beliau.


SATU-SATUNYA KLIEN TAK PERNAH PONTENG

Kaunselor SANA, Hariz Husaini, yang mengendalikan kes Encik Zulkifli turut memuji semangat 'juang' kliennya itu.

"Encik Zulkifli sudah datang ke pusat di Taman Jurong ini lebih 20 kali sejak ia dibuka. Dialah satu-satunya klien yang tidak pernah ponteng temu janjinya dengan SANA," kata Encik Hariz.

Malah, Encik Zulkifli merupakan antara segelintir klien SANA yang menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi SANA.

Beliau yang berbakat dalam bidang muzik, mengajarkannya kepada para klien lain di SANA. Ini dilakukan sebagai salah satu strategi menangani masalah (coping strategies).

Encik Zulkifli juga menggunakan muzik sebagai satu saluran untuk menyebarkan mesej anti-dadah kepada masyarakat.

Setakat ini, SANA mempunyai 19 kaunselor sukarelawan di Pusat Step-Up@Taman Jurong. Namun, pada masa akan datang, mungkin jumlah itu tidak mencukupi.


SANA berharap ia akan dapat membangunkan rangkaian sukarelawan yang lebih mantap dengan menggembleng tenaga para klien mereka yang sudahpun meraih manfaat daripada program dan khidmat yang ditawarkan.

"Saya berharap yang kakitangan SANA, para kaunselor kami dengan kita punya klien semua jadi satu kumpulan, satu keluarga yang besar. Biar kita boleh tolong semua sebagai satu masyarakat," kata Encik Hariz. 

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/nk

Top