Images
  • qr code file
    (Gambar hiasan: Pixabay)

Kios digital bantu pelanggan beli barang dapur sepanjang hari

SINGAPURA: Kedai-kedai runcit sedang mencuba kios digital yang membolehkan pelanggan membeli barang dapur sepanjang hari.

Projek rintis selama setahun itu dilancarkan Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Negara (MND), Sim Ann, dan Menteri Negara bagi Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Low Yen Ling di Bukit Gombak hari ini (25 Nov).

Ia sebahagian daripada usaha Jawatankuasa Pendigitalan dan Pemulihan Kejiranan (HDRC) dan bertujuan membantu perniagaan kecil-kecilan mendakapi pendigitalan serta menambahkan pendapatan.

Kedai runcit Guan Meat Enterprise misalnya menempatkan tujuh kios digital di dua lokasi di Bukit Gombak. Empat lagi kios diletakkan Kee Guan Huat Supermarket di estet perumahan Clementi.

Pada bila-bila masa sahaja, penduduk boleh memilih untuk membeli daripada 150 barangan seperti makanan tin dan kering mahupun barangan dapur.

Pengguna hanya perlu mendaftarkan diri bagi sebuah akaun dan mengimbas kod QR.

Harga sewa bagi setiap kiosk ialah sekitar S$200 sebulan.

Peniaga juga boleh menerima data tentang penjualan mereka dan pilihan pelanggan kerana kios itu dapat menjejaki bekalan dalam masa nyata.

Inisiatif ini membantu kedai kejiranan sedemikian meneroka model baru perniagaan tanpa menyewa kedai fizikal.

"Dengan maklumat dan kemampuan itu ia akan membantu peniaga menukar dan meluaskan tawaran mereka. Malah dengan menjadi lebih celik digital serta menarik pelanggan muda dapat membantu mereka bersaing lebih baik dengan pasar raya besar," kongsi Menteri Negara MTI, Low Yen Ling.

- CNA/RU/ih

Top