Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kini ada 8 kelompok aktif COVID-19 di S’pura, kelompok terbesar dikaitkan jururawat TTSH

Kini ada lapan kelompok COVID-19 aktif di Singapura, dengan yang terbesar dikaitkan dengan seorang jururawat Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dengan sembilan kes, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Anggaran Waktu Membaca:
Kini ada 8 kelompok aktif COVID-19 di S’pura, kelompok terbesar dikaitkan jururawat TTSH

Hospital Tan Tock Seng. (Gambar: Petikan dari Google Maps)

Diterbitkan : 30 Apr 2021 01:46AM Dikemas Kini : 30 Apr 2021 01:48AM

SINGAPURA: Kini ada lapan kelompok COVID-19 aktif di Singapura, dengan yang terbesar dikaitkan dengan seorang jururawat Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dengan sembilan kes, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Kelompok kedua terbesar dengan lapan kes terkait dengan pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang ditugaskan di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi. Tujuh daripada kes itu adalah anggota keluarganya, termasuk seorang budak lelaki berusia tiga tahun. Mereka semua sudah dikuarantin.

Kanak-kanak lelaki itu adalah anak saudara pegawai ICA tersebut. Dia terakhir bersekolah pada 22 April, menurut MOH pada Khamis (29 Apr).

"Kesemua lapan mereka berkumpul untuk makan pada 25 April, di mana jangkitan mungkin berlaku," dedah MOH.

Pada Khamis (29 Apr) seramai 16 kes dalam masyarakat dilaporkan, iaitu antara 35 jangkitan baru COVID-19 di negara ini. Ini juga jumlah jangkitan dalam masyarakat yang tertinggi di Singapura sejak 11 Julai tahun lalu, apabila 24 kes masyarakat dilaporkan.

KELOMPOK HOSPITAL

Lapan kes lain dalam masyarakat terkait dengan Kes 62541, seorang jururawat di TTSH.

Mereka termasuk seorang doktor, pelatih pembantu kesihatan dan enam pesakit. Kesemua mereka berasal dari Ward 9D di mana Kes 62541 bekerja, kecuali seorang pesakit yang berpindah dari Ward 7D. Ward 7D kini dikepung, selain Ward 9D.

"Ujian untuk kakitangan dan pesakit yang berada di kedua-dua wad masih dijalankan. Semua kontak rapat kes, termasuk pesakit, pelawat dan kakitangan yang telah berada di wad yang terjejas, juga akan dikenakan kuarantin," menurut MOH.

Tiada pelawat yang dibenarkan masuk ke hospital kecuali bagi pesakit yang kritikal.

"Kes elektif akan ditangguhkan kecuali untuk kes yang mendesak, dan kes A&E yang tidak mengancam nyawa akan dilencongkan ke hospital lain," tambah MOH.

KES MASYARAKAT TANPA KAITAN

Baki kes masyarakat, yang tidak terkait dengan kes lain, adalah seorang wanita Vietnam berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pembersih. Dia digajikan oleh Octo Jet Building Maintenance Services dan ditugaskan di sebuah kemudahan penjagaan masyarakat di Tuas South.

Dikenal pasti sebagai kes 62553, MOH menyatakan wanita itu memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE), termasuk pelitup N95, pelindung muka, gaun dan sarung tangan di tempat kerja.

"Dia juga secara kadang kalanya membantu di sebuah gerai makanan di The Summit yang terletak di kampus Bukit Timah Universiti Nasional Singapura," menurut kementerian itu.

Dia tidak bergejala dan dikesan apabila diswab pada 26 April sebagai sebahagian daripada ujian rutin yang dijadual. Hasil ujiannya terkumpul untuknya kembali positif COVID-19 pada keesokan harinya, dan dia dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit.

Ujian individu dilakukan pada 27 April dan hasil ujiannya kembali positif jangkitan COVID-19. Ujiannya yang lebih awal menerusi ujian rutin berdaftar - yang terakhir pada 14 April - semuanya negatif bagi jangkitan COVID-19.

"Hasil ujian serologinya kembali positif tetapi kami menilai bahawa ini mungkin jangkitan baru-baru ini," jelas MOH.

Dia menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 27 Januari dan dos kedua pada 19 Februari.

"Vaksin COVID-19 berkesan dalam mencegah penyakit bergejala bagi kebanyakan mereka yang divaksin, tetapi ada kemungkinan individu yang divaksin akan dijangkiti," tambah KKM.

Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat meningkat daripada 10 pada minggu sebelumnya kepada 28 pada minggu yang lalu. Kes tanpa kaitan dalam masyarakat juga meningkat dari lima kes pada minggu sebelumnya kepada tujuh kes pada minggu lalu.

"Kami akan terus memantau perangkaan ini, serta kes-kes yang dikesan melalui program pengawasan kami," menurut MOH.

19 KES IMPORT

Seramai 19 kes import baru dicatat dan dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah setiba mereka di Singapura. Mereka termasuk dua warga Singapura dan sembilan penduduk tetap yang pulang dari India dan Korea Selatan. Tiga adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari India dan Sri Lanka.

Baki lima jangkitan import melibatkan pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India, Indonesia dan Filipina. Salah seorang dari mereka, yang tiba dari Filipina, adalah pembantu rumah. Lagi 20 kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah keseluruhan pemulihan seramai 60,738, menurut MOH.

Seramai 110 kes masih berada di hospital, yang kebanyakannya stabil atau beransur pulih, dan tiada yang berada di unit jagaan rapi.

Sementara itu lagi 243 kes diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat. Sehingga Khamis, Singapura melaporkan sejumlah 61,121 kes COVID-19.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan