Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kian ramai sedari manfaat berdwibahasa; bukti program lestari bahasa berhasil

Di tengah-tengah kebimbangan bahasa Inggeris mungkin melunturkan penguasaan bahasa Melayu, sebenarnya semakin banyak keluarga yang bertutur menggunakan bahasa ibunda di rumah.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Di tengah-tengah kebimbangan bahasa Inggeris mungkin melunturkan penguasaan bahasa Melayu, sebenarnya semakin banyak keluarga yang bertutur menggunakan bahasa ibunda di rumah.

Ini terbukti menerusi dapatan memberangsangkan tinjauan-tinjauan kedwibahasaan yang dijalankan Kementerian Pendidikan (MOE), yang didedahkan oleh Menteri Pendidikan Ong Ye Kung semasa majlis pelancaran Bulan Bahasa 2018 siang tadi (1 Sep).

Kempen Bulan Bahasa 2018 dilancarkan tengah hari tadi oleh Encik Ong selaku tetamu terhormat bersama Pengerusi Bulan Bahasa dan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) yang baru dan yang terdahulu.

Ini termasuk Pengerusi Bulan Bahasa 2018 Rahayu Mahzam, Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, mantan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Masagos Zulkifli, Pengerusi Bulan Bahasa 2015 Zaqy Mohamad dan pengerusi pertama kempen Bulan Bahasa Sidek Sanif.

Pelancaran Bulan Bahasa 2018 (Gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAmediacorp)

Simboliknya, majlis pelancaran kali ini adalah bersempena ulang tahun ke-30 kempen Bulan Bahasa dan diadakan di Wisma Geylang Serai (WSG), yang menjadi hab warisan dan budaya masyarakat Melayu.

MENINGKAT HAMPIR 10% DALAM TEMPOH 2 DEKAD

Semasa menyampaikan ucapannya, Encik Ong berkata jumlah keluarga Singapura yang berdwibahasa dalam bahasa Inggeris dan bahasa ibunda di rumah meningkat hampir 10 peratus dalam tempoh 20 tahun - dari 83 peratus pada 1997 kepada 90 peratus pada tahun lalu.

Dapatan satu tinjauan berasingan pula menunjukkan, penduduk yang berupaya bertutur menggunakan dua atau lebih bahasa juga meningkat - dari 70 peratus pada 2010 kepada 73 peratus pada 2015.

Encik Ong menambah keupayaan berdwibahasa itu meningkat selari kerana semakin ramai yang menyedari manfaatnya.

Menteri Pendidikan, Ong Ye Kung. 

Berbesar hati dengan kemajuan itu, Encik Ong menambah MOE akan melakukan lebih banyak usaha untuk menyokong kedwibahasaan.

"Para pelajar cepat menyerap (ilmu) dan bersikap berani semasa usia masih kecil. Oleh itu pembelajaran sebaiknya perlu bermula awal," ujar Encik Ong.

BERI PELUANG PELAJAR KEMBANGKAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU

Bersetuju dengan tahap kesedaran yang kian meningkat terhadap pentingnya keupayaan berdwibahasa, Cik Rahayu menekankan ini adalah realiti kehidupan masa kini yang perlu diterima.

"Kita perlu faham dan mendakapi situasi ini. Ini bukan sesuatu yang kurang baik. Hanya dengan kita faham bahawa ini adalah situasi kita, bagaimana kita mahu memperbaikinya, kita boleh mengadakan mesej yang lebih khusus dan kena pada sasarannya," Cik Rahayu memberitahu BERITAmediacorp.

Beliau juga menggesa masyarakat supaya menghargai usaha anak-anak muda untuk berbahasa Melayu.

Ini termasuk tidak menganggap mereka yang bertutur dalam bahasa Inggeris bersama rakan-rakan mereka sebagai tidak mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang baik.

Pengerusi Bulan Bahasa 2018, Rahayu Mahzam.

"Pengalaman saya dengan Rakan-Rakan Bahasa sebenarnya mereka amat baik sekali bertutur bahasa Melayu. Jadi perlu berikan mereka peluang untuk terus mengembangkan penggunaan bahasa Melayu. Semoga pada masa-masa akan datang kita tak canggunglah. Berbahasa Inggeris dengan baik berbahasa Melayu juga dengan baik," tambah beliau.

Salah satu contoh ialah seorang pelajar darjah lima dari Sekolah Rendah Innova, Aaliyah Rihanna Mohamed Izhar, yang juga salah seorang daripada hampir 300 Rakan Bahasa 2018. Beliau fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan cukup hebat berbahasa Melayu.

"Di rumah saya selalunya berbicara dalam bahasa Melayu. Saya bangga dapat berbicara dalam bahasa Melayu kerana itulah bahasa ibunda kita," beliau memberitahu BERITAmediacorp.

Rakan Bahasa, Aaliyah Rihanna Mohamed Izhar.

PROGRAM GALAK PELESTARIAN BAHASA SUDAH BUAHKAN HASIL

Bagi Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, keupayaan berdwibahasa dengan baik mencerminkan bahawa program-program menggalak pelestarian bahasa sudah membuahkan hasil.

"Bukan saja kepada masyarakat kita tetapi di peringkat nasional di mana kita mahu melihatnya sebagai satu jati diri warga Singapura. Mereka walaupun berkeupayaan, mempunyai pendidikan yang lebih tinggi tetapi mereka tidak melupakan budaya, bahasa dan kesusasteraan ibunda mereka," Dr Faishal memberitahu BERITAmediacorp.

Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Profesor Madya Faishal Ibrahim.

Di majlis pelancaran tadi, pelbagai kegiatan dan persembahan turut disajikan. Ini termasuk paparan video istimewa sempena ulang tahun ke-30 Bulan Bahasa.

Video itu menyingkap sejarah dan perjalanan kempen Bulan Bahasa. Ia antara lain mengumpulkan mutiara-mutiara kata daripada para perintis, pemimpin, Duta-Duta Bahasa serta Rakan-Rakan Bahasa yang sudi berkongsi pengalaman dan kisah mereka.

JADI DUTA BAHASA JUGA PELUANG UNTUK PERBAIKI BAHASA

Selain itu, tiga Duta Bahasa 2018 dilantik secara rasmi tadi. Mereka adalah pelakon dan pengacara Farhana M Noor, penyanyi dan penulis lagu Bakti Khair serta cef selebriti Shahrizal Salleh, atau lebih dikenali sebagai Cef Bob.

"Media sosial saya sekarang banyak budak-budak kecil atau remaja-remaja yang ikuti saya jadi saya sebagai Duta Bahasa pun saya harus ada tanggungjawab untuk berbahasa dalam bahasa Melayu," Cef Bob memberitahu BERITAmediacorp.

Duta Bahasa, Shahrizal Salleh.

Beliau yang merupakan cef pertama dilantik sebagai Duta Bahasa sempat berseloroh tentang tanggungjawab barunya itu.

"Ibu saya Cikgu Melayu, bila saya beritahu ibu saya, (yang) saya dilantik Duta Bahasa dia cakap ‘wah tabik, bahasa Melayu kau kucar-kacir kau jadi duta bahasa’," katanya sambil tertawa.

Nyata bagi Cef Bob, pelantikan ini juga memberi peluang kepada beliau untuk memperbaiki penguasaan bahasa Melayu.

"Saya sebagai Duta Bahasa pun saya boleh belajar juga bahasa Melayu."

Tahun ini, kalendar acara Bulan Bahasa menyelitkan 94 program oleh 51 rakan kerja.

Kegiatan-kegiatan Bulan Bahasa 2018 yang sudah dimulakan sejak 18 Ogos lalu akan berlangsung sehingga 14 Oktober.  

LAPORAN BERKAITAN: 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan