Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khutbah Jumaat seru masyarakat Islam lindungi ilmu agama dari kesesatan

Khutbah Solat Jumaat mengingatkan para jemaah supaya hanya menimba ilmu "daripada mereka yang betul didikannya", sedang masyarakat baru-baru ini digemparkan dengan laporan mengenai seorang lelaki yang dikatakan mendakwa dirinya adalah seorang Nabi dan mengamalkan nikah batin.

Anggaran Waktu Membaca:
Khutbah Jumaat seru masyarakat Islam lindungi ilmu agama dari kesesatan

Gambar fail bangunan MUIS. (Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura/Facebook)

SINGAPURA: Khutbah Solat Jumaat yang dikeluarkan Pejabat Mufti hari ini (13 Nov) mengingatkan para jemaah supaya hanya menimba ilmu "daripada mereka yang betul didikannya", sedang masyarakat baru-baru ini digemparkan dengan laporan mengenai seorang lelaki yang dikatakan mendakwa dirinya adalah seorang Nabi dan mengamalkan nikah batin.

Teks khutbah malah menarik perhatian kepada tanda-tanda ajaran songsang:

"Antara tanda ajaran yang meragukan adalah apabila seorang guru tidak memiliki sebarang pentauliahan. Kelas-kelas agama yang dikendalikannya pula berjalan secara bersembunyi."

Kitab alZuhd Imam Ahmad pula menjadi sandaran dengan Umar bin Abdul Aziz ditukil sebagai berkata: “Jika engkau melihat sesuatu kaum yang berbisik-bisik (berbicara rahsia) tentang agama mereka, tanpa membawa orang ramai (dalam perbincangan), maka ketahuilah bahawa dasar mereka adalah sesat.”

Straits Times pada 9 Nov melaporkan bahawa seorang bekas tukang urut dalam lingkungan usia 50-an tahun, dipercayai mengadakan kelas agama di rumah-rumah, sebuah pejabat di Jalan Sultan dan kini, di sebuah restoran miliknya berdekatan kawasan bandar.

Antara ajaran yang dikatakan disampaikan lelaki itu termasuk, membeli 4D dan Toto supaya wang dari perjudian itu boleh digunakan untuk membantu masyarakat Muslim. Dia juga dilaporkan mempunyai lima isteri menerusi 'nikah batin'.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sudahpun mengesahkan bahawa lelaki berkenaan tidak disenaraikan dalam Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Badan penguasa Islam itu akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya kerana mengadakan kelas agama tanpa berdaftar dengan MUIS, adalah satu kesalahan.

Pejabat Mufti dalam khutbahnya juga menegaskan sekali lagi bahawa "mengaku boleh berbicara dengan Allah atau Nabinya, atau menghalalkan perkara yang terang-terang tidak dibenarkan agama, sama ada nikah secara batin, atau perjudian, keganasan dan kezaliman" adalah satu "penyelewengan".

Teks Khutbah turut menyebut ayat ke-7 surah al-Anbiya yang wajar dijadikan panduan sekiranya berdepan pertembungan dalam ilmu yang dipelajari.

Ayat dalam surah itu berbunyi: "Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelum kamu (Muhammad), melainkan beberapa orang-laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui.”

Ini antara lain membawa maksud, seseorang haruslah meminta pendapat dan buah fikiran para asatizah (mereka yang bertauliah) apabila ragu-ragu tentang sesuatu.

"Ingatlah saudara, Rasulullah (s.a.w.) sentiasa berpesan agar segala ajaran dan pengamalan agama perlu berlandaskan tunjuk ajar Baginda (s.a.w.). Oleh itu, sangat penting kita memperolehi ilmu agama yang muktabar, yang diajarkan hanya oleh mereka yang betul didikannya dan bertauliah," tambah Pejabat Mufti dalam khutbahnya.

GESAAN TENTANG PENYEBARAN MAKLUMAT

Dalam pada itu, Khutbah Jumaat juga menyeru jemaah agar berhati-hati ketika menyebarkan maklumat dan berbicara sesama mereka.

Ini, seperti tertulis dalam teks khutbah, "seharusnya menjadi garis pandu ketika menerima berita yang belum lagi jelas kesahihannya".

"Ingatlah, lidah kita mudah berbicara, jari-jemari kita senang menulis, namun kesan dan bahayanya berpanjangan dan berkekalan, dari dunia ke akhirat. Allah (s.w.t.) memerhatikan setiap yang kita lakukan dan bicarakan," menurut khutbah.

Jemaah turut digesa supaya bergerak bersama sebagai satu masyarakat, saling membantu dan menasihati satu sama lain - agar terpelihara diri daripada anasir-anasir tidak sihat.

Anda boleh membaca teks penuh khutbah di pautan ini

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan