Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khutbah Jumaat S'pura: Cinta terhadap keamanan dan kedamaian, kekuatan luar biasa kekang perpecahan

Teruslah menzahirkan sifat rahmah sesama insan dan menyantuni mereka di sekeliling agar kebesaran anugerah kedamaian dapat terus dihayati.

Anggaran Waktu Membaca:
Khutbah Jumaat S'pura: Cinta terhadap keamanan dan kedamaian, kekuatan luar biasa kekang perpecahan

(Gambar: Jorge Silva/Reuters)

SINGAPURA: Teruslah menzahirkan sifat rahmah sesama insan dan menyantuni mereka di sekeliling agar kebesaran anugerah kedamaian dapat terus dihayati.

Demikian seruan khutbah Jumaat yang dilaungkan di kesemua masjid serata Singapura hari ini (22 Mac). Ia menyentuh tema 'Menghargai Nikmat Keamanan' menyusuli tragedi pengganasan terhadap dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, genap seminggu lalu.

Khutbah itu mengingatkan para jemaah akan dua nikmat utama yang dikurniakan dalam Islam - keamanan dan kedamaian. Kedua-dua anugerah itu cukup penting malah bernilai tinggi namun kurang dihargai kebesarannya sehinggalah ia luput daripada kehidupan manusia dan perlu dicari ganti, bunyi teks khutbah yang disediakan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) itu.

"Inilah kuasa yang lebih besar dari semua tembakan dan letupan – kuasa memaafkan orang tatkala mereka menyakiti kehidupan kita. Kuasa kekal tenang dan damai tatkala hati bergelora dengan kesedihan dan
kemarahan," menurut khutbah tersebut.

Ia turut menukil Imam Al-Razi dalam kitabnya Tafsir al-Kabir yang menyatakan bahawa menurut sebahagian ulama, merasa aman adalah lebih baik daripada memperolehi hidup sihat. Ini kerana dengan keamanan, manusia dapat meraih kesejahteraan jasmani, rohani serta emosi yang menyeluruh.

Sepanjang seminggu lalu, setiap warga sejagat yang menghargai keamanan dan menghormati kesucian agama turut berduka dengan insiden serangan pengganas ke atas masjid-masjid Al-Noor serta Linwood di bandar Christchurch, New Zealand.

Sebanyak 50 jiwa terkorban dalam kejadian tembakan itu pada Jumaat (15 Mac) - kebanyakannya pendatang atau pelarian dari Pakistan, India, Malaysia, Indonesia, Turki, Somalia, Afghanistan dan Bangladesh.

Para wakil berbilang agama di Singapura serta ekspatriat New Zealand ke sini juga menziarahi masjid-masjid bagi sama-sama melahirkan perpaduan. Di negara-negara lain pula, penduduk berdiri di luar masjid untuk mengawasi para jemaah sedang mereka menunaikan ibadah solat Jumaat.

Nyata, tragedi di New Zealand membuktikan bahawa fitrah mereka yang mencintai keamanan serta kedamaian berpotensi menumpaskan kebencian dan nafsu amarah sekaligus mengekang perpecahan.

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan