Images
  • masjid an-nur
    Dewan solat Masjid An-Nur. (Gambar fail: TODAY) 

Khutbah Jumaat minggu ini ajak umat Islam hayati makna sebenar Ramadan

SINGAPURA: Diam tak diam, sudah seminggu umat Islam sedunia menunaikan ibadah puasa di rumah sahaja pada Ramadan kali ini. Pengalaman melalui bulan suci kali ini sememangnya berbeza.

Sungguhpun demikian, Ramadan masih boleh disemarakkan dengan kesedaran dan penghayatan sebenar.

Ini dijelaskan dengan lebih terperinci lagi dalam khutbah Jumaat bertajuk "Bulan Memperhalusi Jiwa" yang dikongsikan di laman Pejabat Mufti hari ini (1 Mei).

ISIKAN RAMADAN DENGAN IBADAH

Dalam khutbah tersebut, Pejabat Mufti mengingatkan masyarakat Islam setempat bahawa ibadah bukan setakat amalan-amalan yang ditetapkan oleh hukum, waktu dan cara pelaksanaannya.


"Dalam masa kita melaksanakan kewajipan berpuasa di dalam Ramadan ini, janganlah sampai kita terlepas pandang, menyangka seolah-olah hanya lapar dan haus itu sahaja ibadah kita...

"...atau solat tarawih dan witir sahaja, atau bersahur dan berbuka sahaja, atau berqiyamullail sahaja, atau bertadarus membaca al-Quran itu sahaja ibadah kita," jelas Pejabat Mufti.

Sebaliknya, keseluruhan Ramadan adalah medan ibadah. Menjalani kehidupan seharian yang diselarikan dengan apa yang dikehendaki dan diizinkan Yang Maha Esa juga satu bentuk ibadah.

Ini termasuklah bekerja, berniaga, menuntut ilmu, berumahtangga, menguruskan keluarga, menjaga keselamatan awam dan membantu orang susah.

"Semuanya adalah sebahagian daripada ibadah kita kepada Allah s.w.t. jika dilakukan sesuai peraturan dan dengan niat yang ikhlas serta jiwa yang murni," menurut khutbah Pejabat Mufti MUIS.


Gambar fail.

Khutbah itu turut menyebut ayat 7-10 Surah al-Shams untuk memperjelaskan bagaimana manusia diilhamkan jalan yang membawanya kepada kejahatan dan ketakwaan tetapi berjayalah mereka yang dapat "membersihkan jiwa".

JANGAN BIARKAN JIWA GERSANG DENGAN KEBAKHILAN

Dalam pada itu, khutbah Jumaat minggu ini turut mengajak seluruh masyarakat Islam supaya jangan membiarkan jiwa terus "gersang dengan kebakhilan dan sifat mementingkan diri sendiri".

Lebih tepat lagi, orang ramai digalak supaya mengindahkan bulan penuh rahmat ini dengan menghulurkan keihsanan demi meringankan kesempitan golongan yang memerlukan.

Khutbah Jumaat berakhir dengan seruan Pejabat Mufti untuk menyemarakkan Ramadan dengan kesedaran dan penghayatan sebenar.

"Masih banyak ruang dalam bulan Ramadan ini untuk kita mekarkan dengan kesegaran. Semoga Allah s.w.t mengurniakan taufikNya untuk mampu kita mengecapi kemanisan iman, keharuman syukur dan keluhuran ibadah sepanjang Ramadan ini."

Anda boleh membaca teks penuh Khutbah Jumaat menerusi pautan ini.  

- BERITAmediacorp/aq

Top