Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khutbah Jumaat doakan keamanan di dunia termasuk di Timur Tengah

Semua masjid di Singapura hari ini (8 Dis) mendoakan agar dikembalikan ketenangan, kedamaian dan keamanan di dunia khususnya daerah-daerah yang menyaksikan pergolakan dan cabaran.

Anggaran Waktu Membaca:
Khutbah Jumaat doakan keamanan di dunia termasuk di Timur Tengah

Jemaah di Masjid Maarof. (Gambar: BERITAMediacorp)

SINGAPURA: Semua masjid di Singapura hari ini (8 Dis) mendoakan agar dikembalikan ketenangan, kedamaian dan keamanan di dunia khususnya daerah-daerah yang menyaksikan pergolakan dan cabaran.

Ini menyusuli kemelut di Timur Tengah setelah Amerika Syarikat mengisytiharkan Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel yang mencetuskan kemarahan dan keganasan di wilayah tersebut.

Menurut inti khutbah Jumaat itu lagi, orang ramai diajak berdoa agar warga Palestin dilindungi daripada sebarang kesulitan.

Khutbah yang disiapkan Pejabat Mufti itu turut mengharapkan agar konflik dan ketegangan di Palestin dapat dihuraikan dengan aman.

Berikut adalah bahagian teks khutbah MUIS itu bertajuk Doa Bagi Keamanan di Timur Tengah Tengah yang disampaikan di masjid seluruh negara:

Saudara yang dirahmati Allah, kita kini menyaksikan pelbagai ketegangan dan konflik berlaku di pelbagai sudut dunia termasuk di daerah Timur Tengah. Marilah pada saat-saat mustajab ini, kita rendahkan hati kita untuk memohon dan berdoa kepada Allah s.w.t.

Ya Allah, Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pemelihara, Dengan rendah hati kami memohon kepadaMu, kembalikan ketenangan, kedamaian dan keamanan kepada dunia ini khususnya daerah-daerah yang menyaksikan pergolakkan dan cabaran. Wahai Tuhan yang Maha Pelindung, lindungilah kami, negara kami serta saudara-mara seinsan kami di dunia ini termasuklah mereka di Palestine daripada sebarang kesulitan. Kurniakanlah petunjuk, bimbingan serta hidayahMu agar sebarang konflik dan ketegangan dapat dihuraikan dengan aman. Limpahkanlah kasih sayangMu kepada hamba-hambaMu yang memerlukan bantuan. Ringankanlah cabaran hamba-hambaMu yang berdepan rintangan. Ya Hayyum ya Qayyum tunaikanlah harapan kami agar kembali dan berterusan keamanan dan kesejahteraan pada kehidupan semua insan. - Khutbah MUIS

Tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengisytiharkan Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel dan merancang untuk memindahkan kedutaan Amerika Syarikat di sana menjana kritikan dari pelbagai pemimpin dunia.

Singapura menyatakan "sebarang tindakan terburu-buru dan sepihak untuk mengubah status Baitulmakdis akan menjejas kemajuan bagi huraian damai masalah Timur Tengah dan Palestin," dedah Kementerian Ehwal Luar semalam (7 Dis).

Sementara itu, di wilayah Palestin sendiri, sekurang-kurangnya 31 rakyat Palestin tercedera selepas terbabit dalam pertempuran dengan tentera Israel.

Pergerakan Hamas pula, menyeru untuk adakan Intifada ketiga atas tindakan Presiden Amerika Syarikat itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan