Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat perbankan digital DBS 'kembali pulih' susuli gangguan 2 hari

Khidmat perbankan digital DBS dan POSB "kembali normal" setelah mengalami gangguan selama dua hari, menurut DBS dalam kemas kini berhubung isu tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Khidmat perbankan digital DBS dan POSB "kembali normal" setelah mengalami gangguan selama dua hari, menurut DBS dalam kemas kini berhubung isu tersebut.

"Kami sedang memantau situasi ini dengan teliti bagi memastikan kesemua khidmat berjalan lancar," menurut bank itu di Facebook dan Twitter selepas pukul 11.00 malam pada Rabu (24 Nov).

Setakat pagi Khamis (25 Nov), aduan mengenai gangguan DBS dan POSB di laman Downdetector sudah merosot dengan ketara selepas banyak aduan dibuat 24 jam lalu. Namun, laman itu masih menerima lebih 60 aduan berhubung DBS pada pukul 9.40 pagi.

Sebilangan pengguna yang menulis komen di laman Facebook DBS melaporkan khidmat-khidmat perbankan masih tidak boleh diakses dan pihak bank menasihatkan mereka supaya mengaktifkan semula peranti mereka.

Pemeriksaan oleh Mediacorp pada pukul 9.20 pagi mendapati log masuk ke laman perbankan Internet DBS boleh dilakukan dan urus niaga juga boleh dijalankan seperti biasa.

Gangguan itu bermula pada pagi Selasa, dengan isu-isu yang dialami berulang lagi pada pagi Rabu setelah ia dipulihkan, menurut DBS.

Pada petang Rabu, Ketua Perbankan Singapura DBS Shee Tse Koon memohon maaf atas gangguan itu menerusi satu video di laman bank tersebut dan beberapa laman media sosial.

DBS melanjutkan waktu operasi bagi kesemua cawangannya pada Rabu bagi membolehkan para pelanggan mengakses khidmat perbankannya.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan ia akan menimbangkan "tindakan penyeliaan yang sesuai" menyusuli siasatan DBS terhadap gangguan tersebut.

Mediacorp sudah menghubungi DBS untuk mendapatkan komen lanjut.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan