Images

Khidmat perbankan digital DBS kembali normal, gangguan bukan kerana serangan siber

SINGAPURA: DBS Bank pada Khamis (25 Nov) menyatakan perkhidmatan perbankan digitalnya kembali normal selepas gangguan dua hari yang "tidak boleh diterima".

DBS juga memberi jaminan kepada pelanggannya bahawa sistem bank tersebut "masih selamat" dan bukan sasaran serangan siber.

"Walaupun perkhidmatan perbankan digital kami sudah kembali normal, namun ketidakupayaan untuk mengakses perkhidmatan penting sepanjang tempoh masa yang panjang tidak boleh diterima," kata bank itu dalam satu catatan Facebook.

Log masuk pelanggan dan aktiviti transaksi sudah kembali ke tahap "perniagaan seperti biasa" sejak pagi Khamis, tambahnya.

"Kami akan terus memantau dan menyemak insiden minggu ini dan sedang mengambil langkah untuk mencegahnya daripada berulang lagi pada masa hadapan."

"Sekali lagi, kami maklum betapa teruknya gangguan itu," kata bank tersebut.

"Kami memohon maaf atas kesulitan dan kebimbangan yang timbul."

Gangguan pada perkhidmatan perbankan digital DBS dan POSB pertama kali dilaporkan pada pagi Selasa, dengan pelanggan melaporkan mereka tidak dapat mengakses perkhidmatan online bank tersebut.

Isu itu berulang lagi pada pagi Rabu selepas perkhidmatan dipulihkan.

Pada Rabu malam, bank itu menyatakan perkhidmatan perbankan digitalnya "kembali normal", tetapi sesetengah pelanggan masih melaporkan tidak dapat mengakses perkhidmatan online.

Dalam kemas kini di Facebooknya pada Khamis, DBS menyatakan pelanggan yang tidak dapat log masuk atau melakukan transaksi tertentu harus cuba menghidupkan semula peranti mereka.

Pelanggan yang menggunakan perbankan Internet juga harus mengosongkan cache pelayar mereka sebelum log masuk semula, kata bank itu.

"MASALAH SERVER KAWALAN AKSES"

Menurut DBS gangguan perkhidmatan itu "disebabkan oleh masalah dengan server kawalan akses kami".

Ia juga memberi jaminan kepada pelanggan bahawa "deposit dan wang mereka selamat dan terjamin".

Pada petang Rabu, pengurus negara DBS untuk Singapura Shee Tse Koon dalam satu video di laman web bank tersebut dan pelbagai halaman media sosial memohon maaf atas gangguan berkenaan.

Beliau berkata bank itu telah mengenal pasti masalah dengan server kawalan aksesnya pada Selasa dan bekerja "sepanjang masa" dengan penyedia kejuruteraan pihak ketiga untuk menyelesaikan isu itu.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan ia akan mempertimbangkan "tindakan penyeliaan yang sesuai" selepas siasatan DBS terhadap gangguan itu. 

- CNA/SU/tq

Top