Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat gentian di timur S'pura akan dipulihkan sepenuhnya Jumaat pagi: NetLink Trust

Khidmat gentian bagi sekitar 10,000 pengguna yang terjejas akibat gangguan di bahagian timur Singapura pada Rabu (14 Nov) dijangka dipulihkan sepenuhnya menjelang pagi esok (16 Nov). 

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat gentian di timur S'pura akan dipulihkan sepenuhnya Jumaat pagi: NetLink Trust

(Gambar: NetLink Trust)

Diterbitkan : 15 Nov 2018 10:43PM Dikemas Kini : 15 Nov 2018 10:45PM

SINGAPURA: Khidmat gentian bagi sekitar 10,000 pengguna yang terjejas akibat gangguan di bahagian timur Singapura pada Rabu (14 Nov) dijangka dipulihkan sepenuhnya menjelang pagi esok (16 Nov). Demikian menurut NetLink Trust, pembangun rangkaian jalur lebar gentian yang memberi perkembangan terkini petang tadi (15 Nov).

Sebelum ini, NetLink Trust menyatakan bahawa khidmat gentian akan dipulihkan secara bertahap-tahap menjelang lewat tengah hari Khamis (15 Nov).

"Kerja-kerja pemulihan sedang dijalankan dan kebanyakan kabel sudahpun dipulihkan," menurut NetLink Trust pada pukul 7.00 malam, Khamis (15 Nov).

"Kami difahamkan bahawa beberapa penyedia khidmat telekom masih lagi mengalami gangguan dan kami sedang bekerjasama dengan mereka untuk menangani isu tersebut," tambahnya.

Sekitar 10,000 pengguna di Pasir Ris, Tampines, Changi dan Loyang mengalami gangguan pada khidmat jalur lebar pada Rabu (14 Nov), mulai kira-kira 2.50 petang. Para pelanggan StarHub, Singtel, M1 dan MyRepublic terjejas akibat gangguan tersebut.

Gangguan itu disebabkan oleh kontraktor yang memotong sejumlah kabel gentian ketika menjalankan kerja-kerja binaan di Tampines Avenue 9 bagi pihak ketiga. 

NetLink Trust menambah bahawa ia "memandang serius gangguan khidmat seumpama itu yang disebabkan oleh pihak ketiga" dan sedang menyiasat insiden tersebut. Tindakan sewajarnya terhadap kontraktor itu akan diambil, tambahnya.

Awal hari ini, StarHub, Singtel, M1 dan MyRepublic memuat naik catatan di laman Facebook masing-masing bagi menyatakan bahawa khidmat jalur lebar hampir pulih sepenuhnya.

Sebagai "tanda muhibah dan penghargaan", StarHub menyatakan semua pelanggan yang terjejas diberikan rebat S$10 untuk bil mereka bagi bulan Disember.

M1 dan Singtel menyatakan bahawa bayaran data tempatan telefon bimbit mereka akan dikecualikan semasa gangguan khidmat tersebut.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan