Images
  • bersih kubur
    Khidmat membersihkan kubur menerusi kaedah online mendapat sambutan menggalakkan. (Gambar: BERITAmediacorp) 

Khidmat bersihkan kubur menerusi WhatsApp terima sambutan menggalakkan

BERITAmediacorp: Khidmat membersihkan kubur bukanlah baru tetapi ia kini jauh lebih mudah dan anda boleh dapatkan menerusi kiriman WhatsApp sahaja.

Permintaannya boleh dikatakan luar biasa. Bagi syarikat Pusara Care.sg, yang baru dua bulan ditubuhkan, ia bahkan sudah menerima sekitar 2,000 tempahan sejauh ini.

"Secara purata, pada luar waktu perayaan, kita menerima antara 20 hingga 30 tempahan setiap hari. Apabila masa perayaan, ia melonjak lebih tinggi. Kita menyaksikan antara 40 hingga 60 permintaan dalam satu hari sahaja," kongsi Pengarah Eksekutif Pusara Care.sg, Ustaz Fizar Zainal.


Perniagaannya itu sekarang menggajikan 12 kakitangan pembersih kubur - semuanya rakyat tempatan. Sebilangan daripada mereka hilang pekerjaan disebabkan krisis COVID-19.

MENGAPA PELANGGAN TIDAK RAGU-RAGU?

Untuk membuat tempahan bagi khidmat membersihkan kubur, pelanggan hanya perlu mengirimkan butiran nama Almarhum/Almarhumah, nombor blok dan lot kubur kepada Pusara Care.sg.

Caranya begitu ringkas tetapi bagaimana ia mendapatkan kepercayaan pelanggan sedangkan khidmat itu tidak disediakan "di depan mata"?

Menjawab, Ustaz Fizar menjelaskan bahawa mendapatkan kepercayaan para pelanggan sememangnya tidak mudah kerana menyediakan khidmat tersebut menerusi wadah 'online' masih baru.


Maka itulah, ia melakar strategi tersendiri dengan menerapkan konsep runcit yang biasa kita dengar - 'pakai dulu, bayar kemudian'.

"Apa yang kita terapkan adalah perhubungan. Kita sangat jelas. Dan kita tidak minta bayaran terlebih dahulu. Setelah kami sediakan, kami kirimkan bukti yang kubur sudah dikemaskan dan dibersihkan," terang Ustaz Fizar.

Sejauh ini katanya, 98 peratus pelanggan membuat bayaran tepat pada masanya.

HARGA KHIDMAT DARI S$30

Buat masa ini, Pusara Care.sg menawarkan dua pilihan utama bagi khidmat membersihkan kubur. 

Pada harga S$30, rumput pada kubur anggota keluarga pelanggan akan dipotong. Sebarang masalah seperti keperluan menukar tanah juga akan dilaporkan kepada pelanggan.

Tambahan S$4 akan dikenakan jika pelanggan ingin kain putih pada batu nisan disalin.


Pada harga S$50 pula, seramik dapur kubur akan turut dicuci, selain rumput dipotong dan kain batu nisan disalin. 

Dengan perniagaan yang rancak sekarang, Ustaz Fizar melahirkan harapan untuk terus mengembangkan usahanya.

"Saya yakin perihal pusara akan berterusan. Dan khidmat ini lebih mudah untuk orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan luar membantu mereka dalam urusan pembersihan," tambah Ustaz Fizar.

"Kami juga harap dapat menyediakan peluang pekerjaan bagi rakyat Singapura lagi-lagi ramai masih lagi mencari pekerjaan saat ini."

PENIAGA KECIL SEDIKIT TERJEJAS

Selain syarikat-syarikat, ada juga penyedia khidmat kecil-kecilan seperti Encik Rohaizat Roza. Beliau dan bapanya berdua sahaja berganding mahu menguruskan khidmat pembersihan kubur.


Sama seperti Pusara Care.sg, pemuda berusia 32 tahun itu menerima tempahan menerusi WhatsApp. Beliau merupakan antara penyedia khidmat yang dibenarkan pihak berkuasa untuk membersihkan kubur semasa tempoh 'circuit breaker'.

Encik Rohaizat berkata, lebih 300 tempahan kesemuanya sudah beliau terima sepanjang tempoh tiga bulan lalu.

Malangnya, sejak 'circuit breaker' dilonggarkan, perniagaan beliau sedikit terjejas oleh persaingan yang ada, meskipun menjelang Hari Raya Haji.

"Semasa 'circuit breaker', pihak berkuasa tidak membenarkan sesiapa atau mana-mana kontraktor untuk buat kerja-kerja bersihkan kubur. Jadi selepas 'circuit breaker' berakhir, pihak luar dan kontraktor lain kembali bekerja seperti biasa. Itu yang menjejas kita sedikit kerana sudah tidak banyak orang," kata Encik Rohaizat.

INGIN MEMPERLUAS KHIDMAT MESKI PERMINTAAN BERKURANGAN

Encik Rohaizat sebelum ini bekerja sebagai seorang penyelaras keselamatan di tapak-tapak binaan. Dengan banyak projek ditangguhkan, beliau belum kembali bekerja sepenuh masa.

Lantaran itu, beliau merancang untuk terus menyediakan khidmat membersihkan kubur buat masa ini. 

Khidmatnya kini sudahpun diluaskan. Syarikat kecil beliau yang dipanggil R8 Services turut menerima tempahan membersihkan bagi kubur agama lain, seperti kubur Kristian. 


(Gambar: Izat Rohaizat/Facebook)

"Ramai mencari Alhamdulillah. Kalau diizinkan insya Allah saya akan teruskan dengan khidmat yang apa saya ada sekarang," ujar beliau.

Encik Rohaizat juga merancang untuk membangunkan lelaman web untuk memasarkan khidmat yang ditawarkannya.

Harga khidmat membersihkan kubur oleh Encik Rohaizat adalah S$30. Tambahan S$20 akan dikenakan untuk meletakkan bunga ke pusara orang tersayang.

Kos bagi membersihkan dan mencuci dapur-dapur kubur pula adalah S$70.  

- BERITAmediacorp/aq

Top