Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat baru sewa bekas makanan percuma untuk kurangkan penggunaan plastik

Satu khidmat dilancarkan di Singapura baru-baru ini bertujuan menggantikan plastik sekali guna dengan cawan dan bekas yang boleh diguna semula dan disewa secara percuma oleh para pelanggan.

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat baru sewa bekas makanan percuma untuk kurangkan penggunaan plastik

Cawan Revolv. (Gambar: Jacqui Hocking)

Diterbitkan : 23 Jan 2019 11:24AM Dikemas Kini : 23 Jan 2019 11:28AM

SINGAPURA: Satu khidmat dilancarkan di Singapura baru-baru ini bertujuan menggantikan plastik sekali guna dengan cawan dan bekas yang boleh diguna semula dan disewa secara percuma oleh para pelanggan.

Revolv ingin bekerjasama dengan kedai-kedai makanan dan minuman dengan menggantikan perkakas pakai buang untuk makanan yang dibawa pulang seperti cawan styrofoam atau bekas plastik, dengan perkakas yang boleh digunakan semula dan diperbuat oleh keluli tahan karat atau kaca.

Para pelanggan yang membeli secawan kopi untuk dibawa keluar akan membayar deposit untuk cawan guna semula di samping harga minuman tersebut. Mereka akan mendapat deposit mereka kembali apabila memulangkan cawan itu di tempat berdekatan - biasanya sebuah lagi cawangan peserta. Cawan tersebut tidak perlu dicuci.

Syarikat itu memulakan inisiatif itu pada Ahad (20 Jan) di sebuah pesta kehidupan mampan dan menyediakan cawan guna semula untuk sebuah kedai yang menjual minuman organik.

Cawan-cawan itu dipulangkan kepada kedai yang sama atau di sebuah lagi tempat yang dikhaskan di kawasan itu.

"Respons yang diterima rata-rata positif," menurut ketua Revolv Singapura Jonathan Tostevin kepada Mediacorp pada Selasa (22 Jan). "Orang ramai menggemari pengalaman menggunakannya dan apa yang kami lakukan."

Ini dilakukan sedang Singapura mengisytiharkan 2019 sebagai Tahun Menuju ke Arah Sifar Sisa. Pada 2017, Singapura menghasilkan lebih 800,000 tan sisa plastik, dengan hanya enam peratus dikitar semula.

Satu kajian oleh Majlis Sekitaran Singapura yang diterbitkan pada Julai lalu mendapati bahawa Singapura menggunakan 437 juta barangan plastik pakai buang seperti bekas makanan setiap tahun.

Juga penting, menurut Encik Tostevin untuk para pelanggan menikmati faedah menggunakan barangan pakai buang yang diperbuat daripada bahan lebih kuat berbanding tidak stabil.

DI MANA ANDA BOLEH MENDAPATKANNYA?

Oleh kerana Revolv baru saja dilancarkan di Singapura, syarikat itu ingin memastikan bahawa penggunaan bekas-bekas itu "semudah meletakkannya ke dalam tong", menurut Encik Tostevin.

Justeru, menurut beliau syarikat itu akan merintis satu khidmat cawan kopi guna semula dalam masa beberap bulan akan datang di tiga atau empat kafe mesra alam sekitar dalam kawasan "agak terbatas", di mana tempat-tempat memulangkan cawan guna semula terletak berdekatan antara satu sama lain.

Tiong Bahru merupakan salah satu kawasan di mana ini boleh dilaksanakan, meskipun beliau enggan mendedahkan lokasi-lokasinya secara khusus kerana syarikat itu masih sedang mengenal pasti kafe-kafe yang sesuai untuk bekerjasama.

Semasa projek perintis itu, Revolv akan mengkaji respons cawangan dan pelanggan dan sama ada terdapat keperluan untuk mereka semula produk-produknya. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan