Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat 'baby shower' makin jadi trend, dapat permintaan tinggi dari ibu muda

Kemampuan untuk berbelanja lebih dan kemudahan khidmat yang disediakan antara sebab utama mendorong golongan ibu bapa muda mendapatkan khidmat 'baby shower'.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kemampuan untuk berbelanja lebih dan kemudahan khidmat yang disediakan antara sebab utama mendorong golongan ibu bapa muda mendapatkan khidmat 'baby shower'.

Adakah kebiasaan yang datang dari Barat ini, yang semakin menjadi satu trend, bakal menggantikan peranan adat melenggang perut?

BERITAMediacorp meninjau daya tarikan majlis 'baby shower' khusus bagi pasangan muda dan apa kata sebuah syarikat penyedia khidmat ini mengenai trend baby shower.

(Khidmat yang disediakan ini termasuk katering dan dekor buaian bagi si bayi)

'BABY SHOWER' GANTIKAN ADAT LENGGANG PERUT?

Perniagaan 'Baby Shower' ini bermula apabila Cik Suhaila Sarip mendapati tidak ada khidmat yang serupa di Singapura.

Majlis baby shower asal dari negara barat ini diadakan bagi meraikan bakal ibu yang mengandung sulung dan beliau ingin mendedahkan jantina bayi kepada keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Namun, di Singapura majlis juga kadangkala diadakan selepas bayi dilahirkan.

Trend ini secara tidak langsung menggambarkan seolah-olah majlis baby shower mengambil alih peranan adat melenggang perut yang mempunyai pengaruh adat Hindu dan dikatakan ada unsur bertentangan dengan Islam. Manakala baby shower pula lebih dilihat sebagai majlis yang boleh diubah suai mengikut budaya negara masing-masing.

Menurut ahli akademik veteran Dr Kamsiah Abdullah, yang kini seorang pensyarah sambilan di Jabatan Bahasa dan Budaya NIE, trend yang dilihat ini mungkin sesuatu yang mengikut perkembangan terkini.

"Satu penyesuaian keadaan kita yang baru, yang hendak melahirkan kegembiraan kita mungkin dengan cara yang baru.

"Dan ada juga yang menyatakan 'baby shower' ini adalah untuk meraikan ibunya juga, sebab apa, ibu sudah menderitalah, susah payah melahirkan selama sembilan bulan jadi nak kasi mereka kegembiraan, jadi mereka kasi hadiah untuk ibu dan untuk anak," kongsi Dr Kamsiah kepada BERITAMediacorp.

IBU MUDA SANGGUP BELANJA $6,000 BAGI BABY SHOWER

Meskipun masih agak baru di sini, permintaan bagi khidmat menganjurkan majlis tersebut semakin meningkat, juga dari masyarakat Melayu.

Bagi Cik Suhaila dan suami misalnya, sejak mereka mulakan perniagaan lapan tahun lalu, hasil perniagaan meningkat hampir 200% setiap tahun.

Jumlah tempahan yang diterima pula, sebanyak 12 majlis baby shower pada setiap bulan.

Ini walaupun pakej asas yang ditawarkan bermula dari $2,000 dan boleh mencecah sehingga $6,000 - termasuk khidmat 'mak andam' bagi si ibu dan sesi penggambaran bagi bayi selepas dilahirkan.

Salah seorang pelanggan yang kami temui berkongsi beliau dan suaminya "sanggup" berbelanja lebih bagi khidmat baby shower kerana bagi menyambut anak pertama mereka.

"Kami rasa bersyukur dan berbesar hati...kenapa tidak untuk kami membelanjakan jumlah ini untuk dia, sedangkan kita boleh berbelanja untuk benda lain," ujar Cik Nur Nadirah Idris, 26 tahun.

Bagi penyedia khidmat baby shower, Cik Suhaimi Md Kasim, akur trend ini semakin ketara memandang kepada permintaan yang meningkat di kalangan ibu muda, sehinggakan terkadang beliau perlu menolak permintaan mereka:

"Sebelum ini hampir semua kerja-kerja yang kita ambil, kita boleh buat tapi sekarang ada dua ataupun tiga kerja sebulan yang di mana kita harus tolak sebab takut terlampau banyak untuk kita buat,"

ADAT TETAP HARUS DIKEKAL, DISESUAI IKUT PEREDARAN ZAMAN

Lagipun, para jemputan lazimnya terdiri daripada kaum wanita dan majlis diadakan sebagai kenangan manis si ibu menimang cahaya mata.

Meskipun demikian, Dr Kamsiah mengesyorkan agar adat yang lama terus dikekalkan dan jika boleh disesuaikan dengan yang baru contohnya majlis diadakan dalam suasana seperti kenduri bacaan doa untuk keselamatan ibu dan anaknya.

Yang pasti, adat dan budaya itu sentiasa berubah disesuaikan mengikut peredaran zaman dan konteks masyarakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan