Images
  • court
    Gambar fail tukul kayu. (Gambar: AFP)

Khazarruddin Basha dipenjara 14 bulan kerana miliki heroin, serang pegawai polis

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 32 tahun dipenjara selama 14 bulan hari ini (10 Nov) kerana memiliki 0.01 gram dadah heroin. Dia juga menyerang dua pegawai polis dalam percubaan untuk mengelak pemberkasan.

Khazarruddin Basha Karimal Basa memecah masuk ke dalam sebuah unit kosong di Blok 168 Boon Lay Drive sekitar 10.15 pagi pada 19 Jun tahun ini, dengan niat untuk mencuri kipas siling.

Dia kemudiannya ditemui oleh seorang pegawai Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) semasa memeriksa blok berkenaan, yang dikosongkan dan dijadualkan untuk dirobohkan.

Pegawai HDB tersebut dengan pantas mengunci Khazarruddin dalam unit tersebut yang terletak di tingkat tujuh dan menghubungi pihak polis, menurut Timbalan Pendakwa Raya Derek Ee.

Dua pegawai polis yang tiba di tempat kejadian, Sarjan Gunaseelan Ravesandran dan Chia Shun Zheng, terjumpa beg berwarna hitam di lantai dan mendapati bilik air terkunci.

Semasa menimbangkan langkah seterusnya yang patut diambil, Khazarruddin meluru keluar dari bilik air secara mendadak. Sarjan Chia menangkapnya dan pergelutan berlaku.

Sarjan Gunaseelan kemudiannya menembak taser ke arah Khazarruddin. Salah satu jarum terkena bahagian perutnya dan dua lagi di bahagian belakang. Namun begitu, mahkamah diberitahu bahawa Khazarruddin mampu untuk berdiri dan terus menumbuk Sarjan Chia.

Khazarruddin kemudiannya berjaya diberkas. Pegawai polis memeriksanya dan menemukan satu straw yang mengandungi serbuk dalam saku kiri seluarnya, yang kemudiannya disahkan mengandungi 0.01 gram dadah heroin.

Kedua-dua pegawai polis diberikan cuti sakit akibat kecederaan yang mereka alami, menurut pihak pendakwa raya.

Bagi kesalahan menyerang pegawai awam yang sedang menjalankan tugas mereka, Khazarruddin boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda atau dirotan. 

- CNA/FA/fa

Top