Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khaw: S'pura setuju tangguh HSR 'atas semangat kerjasama 2 hala'

Singapura mempunyai pilihan menolak permohonan Malaysia untuk menangguhkan Projek HSR dan mendapatkan pampasan daripada Malaysia, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan hari ini (1 Okt), namun memilih "huraian alternatif", "atas semangat kerjasama dua hala".

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Oct 2018 04:28PM Dikemas Kini : 01 Oct 2018 09:23PM

SINGAPURA: Singapura mempunyai pilihan menolak permohonan Malaysia untuk menangguhkan Projek Kereta Api Laju (HSR), mengambil tindakan undang-undang bagi memperjuangkan hak negara dan mendapatkan pampasan daripada Malaysia, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan hari ini (1 Okt).

Namun, Singapura memilih "huraian alternatif" bagi menangani masalah itu, "atas semangat kerjasama dua hala", terutama sekali memandangkan Malaysia memberi jaminan bahawa ia ingin meneruskan projek HSR, meskipun perlu menangguhkannya, tambah Encik Khaw dalam sesi parlimen hari ini (1 Okt).

Kedua-dua negara secara rasmi bersetuju untuk menangguhkan pembinaan HSR pada 5 September, selepas pentadbiran baru Malaysia, melalui utusannya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, membuat permohonan rasmi kepada Singapura untuk menangguhkan projek itu selama tiga atau empat tahun. HSR sebelum ini dijangka mula beroperasi pada 31 Disember 2026. Namun selepas memutuskan untuk menangguhkannya, ia dijangka beroperasi pada 1 Januari 2031.

Encik Khaw berkata bahawa tindakan untuk menolak permohonan itu sesuai dengan perjanjian dua hala yang dimeterai kedua-dua negara pada Disember 2016. "Selepas itu, jika dan apabila Malaysia bersedia untuk menjalankan projek seumpama itu, perjanjian dua hala baru akan dibincangkan," katanya.

Pembinaan HSR ditangguhkan sehingga 31 Mei 2020 - dua tahun selepas terbentuknya Kerajaan Malaysia yang baru. Encik Khaw berkata bahawa selepas dua tahun itu, anggaran kos yang ditetapkan buat masa ini berkemungkinan tidak lagi relevan, dan ini akan menjejas kejayaan serta perniagaan dalam projek ini".

"Tempoh penangguhan lebih lama juga akan menjejas pelan-pelan pembangunan bagi Daerah Tasik Jurong, yang akan menempatkan terminal HSR Singapura dan banyak lagi pembangunan pengangkutan, komersil, perumahan dan rekreasi," kata Encik Khaw.

Beliau menambah, Malaysia sudah membuat permohonan supaya, sepanjang projek ditangguhkan, kedua-dua negara membincangkan cara-cara untuk mengurangkan kos projek HSR. Encik Khaw mengatakan bahawa Singapura terbuka kepada perbincangan seperti itu, namun ia tidak mempunyai sebarang kewajipan untuk secara automatik menerima sebarang cadangan yang diusulkan.

Bagaimanapun, beliau berkata bahawa Singapura akan menilai sebarang cadangan Malaysia "dengan teliti dan secara objektif".

PENANGGUHAN JEJAS PELBAGAI PIHAK BERKEPENTINGAN

Menjawab pertanyaan-pertanyaan para Anggota Parlimen, Encik Khaw mengatakan bahawa Singapura perlu menanggung kos sepanjang projek ditangguhkan. Kos ini, katanya, bersifat 'abortif' - iaitu tidak boleh dikira bagi projek HSR itu apabila ia disambung semula.

"Kami perlu membayar kos seperti yang ditetapkan dalam perjanjian kepada para kontraktor kerana membatalkan kontrak dan dengan hati-hati menghentikan operasi sepanjang tempoh penangguhan," katanya. "Misalnya, kerja-kerja penggalian yang sudah dijalankan tidak boleh dihentikan secara serta-merta. Operasi itu perlu dihentikan secara bertahap-tahap dan selamat.

"Kawasan yang digali perlu ditutup kembali dengan selamat di samping memastikan kerja-kerja penggalian dapat diteruskan sebaik sahaja projek kembali dijalankan. Ini juga membabitkan kos."

Malaysia bersetuju untuk membayar kos tersebut, iaitu sebanyak S$15 juta, sebelum hujung Januari tahun depan, katanya. Selepas kerja-kerja yang dijalankan sudah dihentikan secara bertahap-tahap, tiada kerja-kerja baru projek HSR akan dijalankan sepanjang tempoh penangguhan.

Beliau menambah, penangguhan projek juga menjejas pelbagai pihak berkepentingan lain, termasuk syarikat prasarana Singapura SG HSR. Encik Khaw mengatakan bahawa syarikat itu, yang merupakan anak syarikat milik penuh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), sudah menggajikan ramai kakitangan yang menjalankan projek tersebut.

Kakitangan-kakitangan ini, katanya, akan ditawarkan perkerjaan alternatif dalam LTA.

SG HSR dan LTA, tambah beliau, juga sudah memaklumkan semua kontraktor mereka tentang penangguhan projek, dan menghubungi mereka untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.  

Sumber : CNA/AQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan