Khaw Boon Wan diberi cuti sakit panjang akibat keretakan lengan
Menteri Penyelaras bagi Prasarana merangkap Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan diberi cuti sakit panjang selepas mengalami keretakan pada bahagian lengannya, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada hari ini (25 Feb).
SINGAPURA: Menteri Penyelaras bagi Prasarana merangkap Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan diberi cuti sakit panjang selepas mengalami keretakan pada bahagian lengannya, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada hari ini (25 Feb).
Encik Khaw mengalami kecederaan pada bahagian lengan kirinya akibat terjatuh pada minggu lalu. Beliau kini dimasukkan ke hospital dan sedang dirawat, menurut kenyataan itu.
Encik Khaw akan menyambung semula tugasnya apabila beliau beransur pulih - "mungkin dalam tempoh beberapa minggu akan datang," tambahnya.
Menteri itu akan menjalani pembedahan pada lewat minggu ini.
Mediacorp sudah meminta perincian lanjut daripada Kementerian Pengangkutan, termasuk mengenai bila Encik Khaw terjatuh.
PMO menyatakan bahawa Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dilantik sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan bagi rundingan dua hala antara Singapura dengan Malaysia.
"Ini bagi memastikan agar rundingan yang sedang berlangsung dengan Malaysia berhubung beberapa perkara pengangkutan akan terus diselaraskan dengan baik," menurut kenyataan itu.
Menteri Negara Kanan Lam Pin Min dan Janil Puthucheary, serta Setiausaha Parlimen Kanan Baey Yam Keng, akan membantu Dr Balakrishnan berhubung perkara pengangkutan lain serta perbahasan Jawatankuasa Peruntukan, menurut kenyataan itu lagi.
Singapura dan Malaysia terlibat dalam pertikaian berhubung prosedur pendaratan baru yang diperkenalkan oleh Singapura bagi Lapangan Terbang Seletar, yang menurut Malaysia akan menghambat pembinaan bangunan-bangunan tinggi di Pasir Gudang, yang terletak di bahagian utara dari lapangan terbang itu.
Singapura bagaimanapun tidak bersetuju dengan Malaysia.
Lagi satu pertikaian berhubung isu maritim tercetus oleh keputusan sepihak Malaysia untuk melanjutkan had pelabuhan Johor Bahru pada Oktober lalu, serta pencerobohan kapal-kapal milik kerajaan Malaysia di kawasan perairan Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.