Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khaw Boon Wan dibenarkan keluar hospital

Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan berkata hari ini (8 Mac) bahawa beliau dibenarkan pulang dari hospital, seminggu selepas menjalani pembedahan akibat keretakan lengan.

Anggaran Waktu Membaca:
Khaw Boon Wan dibenarkan keluar hospital

Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Penyelaras bagi Prasarana, Khaw Boon Wan. (Gambar: Khaw Boon Wan/Facebook)

Diterbitkan : 08 Mar 2019 06:03PM Dikemas Kini : 08 Mar 2019 06:11PM

SINGAPURA: Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan berkata hari ini (8 Mac) bahawa beliau dibenarkan pulang dari hospital, seminggu selepas menjalani pembedahan akibat keretakan lengan.

Menulis di laman Facebooknya, Encik Khaw yang juga adalah Menteri Penyelaras bagi Prasarana berkata: "Saya akan pulang hari ini!"

Pada 1 Mac, beliau memuat naik catatan yang menyifatkan pembedahan selama tiga jam yang dijalaninya sebagai "bukan sesuatu peristiwa menarik".

Sebelum ini, Menteri Khaw berkata beliau mengalami keretakan pada bahagian lengannya akibat satu "kemalangan di rumah". Beliau menyifatkan insiden itu sebagai "satu peringatan kepada semua warga tua supaya jangan terus lompat dari katil".

Memberi perkembangan terkini mengenai keadaannya hari ini (8 Mac), Encik Khaw turut menyentuh mengenai kemajuan Singapura dalam bidang perubatan.

"Setelah dimasukkan ke hospital sebanyak lima kali, saya sudah dapat merasakan kemajuan dalam khidmat perubatan kami sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Pada mulanya, kami menghantar para doktor kami ke pusat-pusat global untuk dilatih.

"Kemudian, kami mula melihat para doktor asing yang datang ke sini untuk dilatih. Selepas itu, kami mula membuat pelaburan dalam perubatan R&D dan perubatan terjemahan sedang kami berusaha untuk menyumbang teknik, peralatan dan ubat-ubatan baru," katanya.

Encik Khaw berkata semasa beliau berada di hospital baru-baru ini, beliau menguji sejenis peralatan pemantau jantung yang dikenali sebagai Spyder, oleh Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS).

"Spyder adalah sejenis alat pemantau jantung kecil yang dicipta oleh seorang pakar kardiologi, Dr Philip Wong," katanya, sambil menambah bahawa alat itu disediakan di lebih 30 negara.

Sepanjang Encik Khaw mengambil cuti sakit, Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan dilantik sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan bagi rundingan dua hala antara Singapura dengan Malaysia.

Menteri Negara Kanan Dr Lam Pin Min dan Dr Janil Puthucheary, serta Setiausaha Parlimen Kanan Baey Yam Keng, sedang membantu Dr Balakrishnan berhubung perkara pengangkutan lain.

Para Anggota Parlimen (AP) Sembawang juga mengambil alih tugas Encik Khaw sedang beliau beransur pulih daripada keretakan lengan itu, yang menurut menteri tersebut akan mengambil masa selama "beberapa minggu".

Pada Khamis (8 Mac), Encik Khaw menulis di laman Facebooknya bagi meminta maaf kerana tidak dapat menyertai perbahasan Jawatankuasa Peruntukan di Parlimen tahun ini. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan