Images
  • police award2
    Encik Khairil Anwar Tahir diberi Anugerah Semanagat Kemasyarakatan Awam oleh DAC Julius Lim. (Gambar: SPF)

Khairil Anwar Tahir terima anugerah polis bantu tahan lelaki dengan tukul besi

SINGAPURA: Encik Khairil Anwar Tahir sedang menunggang motosikalnya di Bedok North Road pada Rabu (27 Nov) apabila beliau melihat seorang lelaki warga senja mengetuk kenderaan-kenderaan yang lalu di situ menggunakan tukul besi.

Dalam video yang dimuat naik di media sosial pula, lelaki berusia 66 tahun itu dilihat berjalan di tengah-tengah jalan dengan berkaki ayam sambil mengetuk kenderaan yang sedang lalu di situ.

Menurut polis kejadian itu berlaku pada 4.00 petang di Bedok North Road.


Melihat insiden tersebut, Encik Khairil Anwar berhenti di tepi jalan dan bergegas membantu para pegawai polis menahannya.

Atas bantuannya itu, Encik Khairil Anwar diberi Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam di Divisyen Polis Bedok hari ini (2 Dis).


DAC Julius Lim dengan Encik Khairil Anwar Tahir, dan para pegawai polis yang memberkas suspek (dari kiri): SGT Lee Wei Liang, SGT Wong Cheuk Kay, Konstabel Khas SGT Quinnlan Zaini Hassan. (Gambar: SPF)

Encik Khairil berkongsi dengan BERITAmediacorp: "Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya adalah bagaimana untuk menempatkan lelaki itu di tempat yang selamat.

"Saya harap dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk menjadi proaktif dan menghulurkan bantuan jika boleh. Sebagai contoh, dengan menghubungi polis dan memberi maklumat yang diperlukan."

Komander Divisyen Polis Bedok, Timbalan Penolong Pesuruhjaya Polis (DAC) Julius Lim berkata: "Encik Khairil mempamerkan keberanian dan tanggungjawab sivik apabila membantu menahan lelaki berkenaan bagi memulihkan ketenteraman awam.

"Contoh yang dipaparkan beliau mengingatkan kita bahawa menegakkan undang-undang bukan sahaja melibatkan Pasukan Polis Singapura (SPF), tetapi rakyat Singapura juga, yang tampil bekerjasama dan berganding bahu dengan para pegawai polis demi keselamatan masyarakat kita."

Lelaki warga senja itu didakwa sehari selepas insiden itu (28 Nov) atas tuduhan membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain. 

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/im

Top