Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keutamaan Pemerintah untuk pastikan pejalan kaki selamat, tegas Lam Pin Min

Keutamaan pemerintah adalah untuk mengembalikan keselamatan pejalan kaki di laluan jalan kaki, kada Dr Lam Pin Min pada Selasa (12 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Keutamaan Pemerintah untuk pastikan pejalan kaki selamat, tegas Lam Pin Min

(Gambar: Najeer Yusof/TODAY)

Diterbitkan : 13 Nov 2019 10:17AM Dikemas Kini : 13 Nov 2019 10:20AM

SINGAPURA: Keutamaan pemerintah adalah untuk mengembalikan keselamatan pejalan kaki di laluan jalan kaki, kada Dr Lam Pin Min pada Selasa (12 Nov).

Menteri Negara Kanan Pengangkutan itu, yang juga Anggota Parlimen (AP) SMC Sengkang West menegaskan sedemikian kepada para wartawan selepas mengadakan sesi dialog di Kelab Masyarakat Anchorvale yang dihadiri lebih 300 orang, kebanyakannya pekerja penghantaran makanan.

Apabila ditanya tentang pesanannya kepada mereka yang memiliki alat mobiliti peribadi (PMD) yang tidak lagi boleh menggunakannya disebabkan oleh larangan itu, Dr Lam berkata: "Kami faham bahawa dengan pengumuman mengenai larangan ini, tentu ada yang terjejas. Namun keutamaan kami adalah untuk mengembalikan keselamatan para pejalan kaki di laluan jalan kaki. Saya rasa inilah sebab utama mengapa kami lakukannya."

"Kami tidak mahukan situasi di mana jika kami tidak melakukan sesuatu dan (ia boleh menyebabkan) satu lagi kematian di laluan jalan kaki. Saya rasa ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali," tambah beliau.

Dr Lam menegaskan, larangan ke atas e-skuter adalah satu "keputusan sukar" bagi Pemerintah yang "sentiasa meyakini mobiliti aktif".

"Malangnya, sepanjang setahun atau beberapa bulan kebelakangan ini, situasi tidak bertambah baik dan kita melihat banyak kecederaan dan kemalangan," kata beliau.

DIALOG JADI TEGANG

Sesi dialog pada Selasa diadakan seminggu setelah penggunaan e-skuter diharamkan di laluan jalan kaki. Ia adalah sesi terbaru menyusuli siri sesi bertemu penduduk (MTP) yang dihadiri para pekerja penghantaran makanan yang ingin bertemu dengan para menteri seperti Encik Desmond Lee dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Meskipun bermula dengan tenang, ketegangan semasa sesi dialog memuncak dan beberapa peserta kelihatan meninggikan suara terhadap Dr Lam di akhir sesi. Apabila dialog berakhir, turut kedengaran beberapa pekerja menjerit-jerit di luar dewan.

Sebilangan penghantar makanan memberitahu Mediacorp bahawa suasana di dalam dewan penuh dengan "perasaan marah".

"Beliau tidak menjawab soalan dan hanya mengulangi perkara yang sama," kata Encik Faris Yeo, 34 tahun, seorang penghantar makanan sepenuh masa GrabFood selama setahun.

Beliau meninggalkan sesi itu lebih awal kerana "tiada gunanya" untuk beliau terus menghadirinya. Beberapa orang lain turut meninggalkan dewan sebelum sesi dialog berakhir.

"Beliau ketepikan pandangan kami. Beliau tidak dapat memberikan jawapan," kata Cik Serene Tan, 39 tahun, juga seorang penghantar makanan sepenuh masa.

"Kami tidak mahu menjadi musuh rakyat Singapura," tambahnya. "Beliau hanya perlu mendidik rakyat agar kami semua dapat hidup dengan harmoni."

Para pengguna e-skuter yang ditemui Mediacorp sebelum sesi tersebut berkata mereka disasarkan secara tidak adil oleh orang ramai.

Encik Mohd Azri, 25 tahun, berkata beliau juga pernah menyaksikan sesetengah pejalan kaki berjalan di laluan berbasikal dan menghalang pergerakan basikal dan PMD.

"Pejalan kaki juga harus dipersalahkan," tambah beliau.

Beliau juga hampa dengan larangan yang diumumkan secara mendadak, memandangkan ramai pengguna PMD mematuhi peraturan Pemerintah untuk menggantikan alat mereka dengan yang peranti yang mematuhi piawai keselamatan UL2272 dan mematuhi had kelajuan.

"Saya rasa ia tidak adil ... Kini kita menjadi penjenayah ... Pemerintah perlu tunjukkan lebih ketelusan," kata beliau.

Pekerja penghantar makanan sepenuh masa GrabFood, Alam Mohd Nor, 54 tahun, berkata larangan itu menjejas tanggungjawabnya sebagai pencari nafkah tunggal dalam keluarganya. Ditanya apa langkah yang akan diambilnya, beliau setakat berkata akan menunggu dan melihat perkembangan selanjutnya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan