Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua WP gesa 'semakan menyeluruh' terhadap gaji sara hidup rakyat S'pura susuli 'pengajaran berguna' COVID-19

Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh menggesa "semakan menyeluruh dijalankan bagi menentukan gaji untuk menyara hidup di Singapura" bagi rakyat negara ini menyusuli pengumuman Belanjawan Kesepakatan pada Isnin (6 Apr) sebagai respons terhadap pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua WP gesa 'semakan menyeluruh' terhadap gaji sara hidup rakyat S'pura susuli 'pengajaran berguna' COVID-19

Para anggota pasukan pembersihan dalaman pesawat dari SATS melakukan kerja pembasmian kuman di dalam Airbus A350 SIA.

Diterbitkan : 07 Apr 2020 02:03PM Dikemas Kini : 07 Apr 2020 02:07PM

SINGAPURA: Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh menggesa "semakan menyeluruh dijalankan bagi menentukan gaji untuk menyara hidup di Singapura" bagi rakyat negara ini menyusuli pengumuman Belanjawan Kesepakatan pada Isnin (6 Apr) sebagai respons terhadap pandemik COVID-19.

Semasa berucap di Parlimen, Encik Singh dan Anggota Parlimen WP yang lain menyuarakan sokongan terhadap Belanjawan itu, namun mereka menggesa Pemerintah supaya mengkaji kesan jangka panjang pandemik COVID-19 menjangkaui tempoh sembilan bulan akan datang.

Pandemik COVID-19 mendedahkan sektor-sektor
yang mungkin boleh dikendalikan oleh lebih ramai pekerja Singapura pada masa akan datang"untuk mengukuhkan daya tahan dan mencapai matlamat peringkat negara," kata Encik Singh.

"Semakan menyeluruh berhubung apakah gaji sara hidup yang wajar di Singapura bagi rakyat tempatan yang boleh mengendalikan prasarana kritikal dan memastikan nadi negara ini kekal berdenyut, adalah wajar dan tepat pada masanya, sepertimana kita mengukuhkan keselamatan makanan dan rantaian bekalan kritikal."

Encik Singh juga menarik perhatian bagaimana "tenaga kerja pembersihan" di Singapura harus menerima pengiktirafan dan sokongan yang sewajarnya.

"Singapura terhutang budi kepada mereka sewaktu masa mencabar ini dan sudah tiba masanya pekerja yang menjaga kebersihan Singapura dibayar gaji yang lebih wajar, dengan rakyat Singapura bersedia untuk memainkan peranan mereka juga," kata beliau.

"Bukan itu saja. Mereka juga wajar dihormati sedang mereka cuba menyara kehidupan mereka sambil membentuk masyarakat progresif yang kita inginkan. Barulah kita boleh katakan bahawa kita adalah sebuah masyarakat yang akan memastikan bahawa tiada seorang pun yang ketinggalan."

Sambil akur dengan laporan media pada Isnin, Encik Singh berkata taraf kehidupan sesetengah pekerja asing "mencemari Singapura dan rakyat negara ini".

"Selagi kita tidak bertindak dengan pantas dalam masa beberapa hari, bulan dan tahun mendatang, kesan ini tidak akan hilang. Dan ia akan menghakis nurani masyarakat, merosakkan perpaduan dan kesepakatan negara."

GALAK SIKAP TANGGUNGJAWAB MAJIKAN

AP Sylvia Lim juga meminta penjelasan berkenaan Skim Bantuan Pekerjaan yang akan memanfaatkan pekerja secara langsung, memandangkan imbangan gaji dibayar kepada majikan dan bukan pekerja.

Beliau menarik perhatian bahawa Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat sudah menggesa para majikan yang meraih manfaat daripada skim itu supaya terus mengekalkan tenaga kerja masing-masing.

Namun, Cik Lim berkata banyak majikan menyuruh kakitangan mereka mengambil cuti tanpa gaji atau memotong gaji sebelum skim tersebut diumumkan.

Akur dengan "pilihan sukar" yang perlu dibuat oleh para majikan, Cik Lim menarik perhatian bahawa DPM Heng dalam ucapannya berkata beliau berharap syarikat-syarikat yang menerima sokongan akan menggunakan sumber-sumber secara berhemat dan bertanggungjawab dan pemerintah "tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sebarang tindakan yang menyalahgunakan sumber-sumber tersebut".

IMBANGI BELANJAWAN PENGGAL SETERUSNYA PEMERINTAH

Encik Singh juga bertanya bagaimana Pemerintah akan mengimbangi Belanjawan dalam penggal seterusnya jika daya tahan "akan menjadi satu isu jangka panjang" yang berlarutan sehingga lima tahun dan memerlukan penyusunan semula ekonomi.

"Perlukah kita mengambil langkah mengetatkan perbelanjaan untuk mengimbangi Belanjawan? Mampukah kita mengetatkan lagi perbelanjaan?"

"Adakah kita perlu mengambil pendirian berbeza terhadap rizab, pendanaan hutang dan defisit?"

Menarik perhatian bahawa sebuah Pemerintah yang mengeluarkan rizab dalam tahun pertama penggalnya tidak pernah berlaku, beliau menekankan bahawa ini mungkin berlaku jika sokongan tambahan terus diumumkan pada bulan-bulan akan datang.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan