Images
  • STB (1)
    Ketua Eksekutif STB Lionel Yeo akan meletakkan jawatan pada 31 Mei ini. (Gambar: MCI)

Ketua STB Lionel Yeo letak jawatan hujung Mei ini

SINGAPURA: Ketua Eksekutif Lembaga Pelancongan Singapura (STB) Lionel Yeo meletakkan jawatan pada 31 Mei ini untuk menyertai sektor privet selepas 22 tahun berkhidmat dalam sektor awam, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) hari ini (14 Mei).

"Bagi pihak Kementerian Perdagangan dan Perusahaan, saya ingin melahirkan penghargaan kepada Lionel atas sumbangan pentingnya kepada STB dan sektor pelancongan sepanjang enam tahun lalu," kata Setiausaha Tetap MTI Loh Khum Yean.

"Di bawah kepimpinan Lionel, STB bekerjasama rapat dengan sektor pelancongan untuk mengukuhkan nilai pelanggan kami dan tawaran produk yang membantu Singapura mencatat prestasi pelancongan yang kukuh secara konsisten. Saya mengucapkan yang terbaik baginya."

Encik Yeo yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif STB pada 1 Jun 2012 memimpin STB dan sektor pelancongan untuk mencatat jumlah rekod yang tinggi dari segi pendapatan dan bilangan pelancong ke sini, menurut MTI dalam satu kenyataan media. Beliau menerajui penubuhan jenama sepadu Singapura yang baru, Passion Made Possible, yang dilancarkan pada Ogos 2017.

Kementerian itu selanjutnya menyatakan bahawa Encik Yeo juga melancarkan beberapa projek seperti Singapore: Inside Out yang bertujuan memberi suntikan segar kepada persepsi antarabangsa terhadap Singapura dengan memaparkan bakat kreatifnya dan juga Design Orchard yang menampilkan bakat reka bentuk Singapura di Orchard Road.

Timbalan Ketua Eksekutif STB Melissa Ow akan dilantik sebagai Pemangku Ketua Eksekutif mulai 1 Jun ini sementara menanti pelantikan Ketua Eksekutif yang baru, tambah MTI. 

- CNA/SM/sm

Top