Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua SDP Chee Soon Juan jual kentang lecek 'Chee-sy' S$100 untuk kumpul derma

Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan berusaha mengumpul dana menerusi satu kaedah lain daripada lain - dengan menyarungkan kain pelindung atau apron dan membuat kentang lecek untuk dijual.

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua SDP Chee Soon Juan jual kentang lecek 'Chee-sy' S$100 untuk kumpul derma

Ketua SDP Chee Soon Juan mempromosikan kentang lecek 'Chee-sy' beliau dalam sebuah video di Facebook. (Gambar: Chee Soon Juan/Facebook)

Diterbitkan : 31 Jul 2020 02:08PM Dikemas Kini : 31 Jul 2020 02:09PM

SINGAPURA: Ketua Parti Demokratik Singapura (SDP) Chee Soon Juan berusaha mengumpul dana menerusi satu kaedah lain daripada lain - dengan menyarungkan kain pelindung atau apron dan membuat kentang lecek untuk dijual.

Dr Chee mengakui bahawa kentang lecek 'Chee-sy' beliau - berharga S$100 setiap satu bagi tempahan sepanjang hujung minggu ini - adalah "kentang lecek paling mahal yang pernah anda pernah rasa".

Bagaimanapun, kata beliau, semua kutipan jualan akan disalurkan untuk membiayai kempen akar umbi partinya di Bukit Batok - kawasan undi satu kerusi di mana beliau tewas semasa bertanding dalam Pilihan Raya Umum baru-baru ini.

Jualan tersebut diadakan mulai Jumaat (31 Jul) sehingga Ahad, umum Dr Chee dalam satu video yang dimuat naik ke Facebook beliau pada Selasa.

Dana itu antara lain akan digunakan untuk mencetak risalah, menganjurkan acara serta kegiatan di samping bertemu penduduk, tambah Dr Chee.

Menjawab pertanyaan Mediacorp tentang berapa banyak tempahan yang diterimanya, SDP menyatakan sambutannya rancak malah ada yang sudah membuat tempahan sebelum acara itu berlangsung hari ini.

Dalam videonya di Facebook, Dr Chee berkata: "Saya tahu bahawa ini akan menjadi kentang lecek termahal yang pernah anda makan. Tetapi saya ingin meyakinkan anda bahawa setiap dolar yang saya kumpul dari usaha ini akan disalurkan untuk membangun dan menjalankan kempen akar umbi Bukit Batok selama beberapa tahun akan datang."

"Saya tahu anda boleh mendapatkan kentang lecek lebih enak dari tukang masak sebenar pada harga lebih rendah. Tetapi saya berharap dengan kerja keras saya dan kemurahan hati anda, kita boleh mula mengumpulkan dana untuk kerja SDP di Bukit Batok,” tambahnya.

Pada Pilihan Raya Umum 2020, Setiausaha Agung SDP berusia 58 tahun itu menerima 45.2 peratus undi di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Bukit Batok, menentang Encik Murali Pillai daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Ini adalah peratusan undi tertinggi yang diperolehi Dr Chee sejak beliau memasuki arena politik pada 1992.

Beliau sebelum ini pernah cuba menganjurkan satu acara berjalan kaki sekeliling Singapura untuk mengumpulkan dana sebelum Pilihan Raya Umum tetapi polis menolak permohonannya.

Polis menyatakan permohonan Dr Chee ditolak disebabkan peraturan jarak selamat semasa fasa kedua selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 di Singapura. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan