Images
  • pulau bukom shell
    (Gambar: AFP)

Ketua pegawai kapal minyak dalam kes curi minyak Shell S$3.5 juta, dipenjara

SINGAPURA: Ketua pegawai sebuah kapal tangki minyak yang terlibat menerima minyak dicuri dari loji penyulingan Shell di Pulau Bukom bernilai AS$2.6 juta (S$3.5 juta), dijatuhi hukuman penjara dua tahun setengah pada Khamis (11 Jul).

Warga Vietnam Dang Van Hanh, 38 tahun, adalah individu pertama yang mengaku bersalah dalam kes penyelewengan "yang belum pernah terjadi sebelumnya" melibatkan dua sindiket membabitkan pekerja Shell.

Dang membantu menyambut sekitar 5,600 tan metrik minyak yang dicuri pada empat kejadian antara 31 Julai 2016 hingga 7 Januari 2018.

Dia ditangkap sewaktu melakukan kesalahan tersebut dalam satu operasi polis pada 7 Januari 2018, yang membawa kepada penangkapan beberapa suspek merata Singapura.

Pihak pendakwa berkata penyelewengan yang dilakukan adalah "pada skala yang tiada bandingan", dengan lapan bekas kakitangan Shell didakwa selain beberapa individu lain yang terlibat.

Dang mengaku bersalah ke atas dua dakwaan menerima barang curi dengan dua lagi dakwaan dipertimbangkan.

Ketika itu, dia adalah ketua pegawai Prime South, kapal Vietnam milik Prime Shipping Corporation, yang menerima jumlah banyak minyak yang dicuri.

Prime South dan sebuah lagi kapal, Prime Sun, memasuki Shell Pulau Bukom untuk menerima minyak gas yang dibeli secara sah dan minyak yang dicuri.

Minyak yang dicuri diambil daripada kakitangan Shell yang bersubahat menerusi aturan yang dibuat pihak-pihak lain dalam sindiket tersebut.

Loji minyak di Pulau Bukom adalah pusat pengeluaran dan eksport terbesar petrokimia di Asia Pasifik.

SINDIKET DIPATAHKAN, SUSPEK DICEKUP

Pihak berkuasa mula melakukan siasatan atas minyak yang disyaki dicuri dari Shell Pulau Bukom selepas menerima laporan polis dari seorang wakil Shell pada 1 Ogos 2017 bahawa syarikat itu kerugian minyak bernilai sekitar S$2.98 juta April tahun itu.

Dang ditangkap bersama beberapa suspek lain. Seorang pengukur dari Veritas Petroleum Services juga menaiki kapal tersebut untuk mengukur jumlah minyak yang dicuri dalam tiga tangki.

Dang kemudian mengaku dibayar antara AS$1,000 hingga AS$2,000 (S$1,360 hingga S$2,720) untuk membantu menerima minyak gas yang dicuri.

Timbalan Pendakwa Raya Christopher Ong, Stephanie Chew dan Kang Jia Hui berkata kesalahan yang dilakukan melibatkan pecah amanah yang hebat, canggih dan terancang.

Jenayah itu juga dilakukan sepanjang tempoh masa yang panjang "melibatkan elemen rentas sempadan kerana melibatkan kapal-kapal asing", menurut pihak pendakwa.

"Kesalahan-kesalahan ini berpotensi mencemar nama baik Singapura sebagai sebuah hab perkapalan," menurut pihak pendakwa.

"Singapura adalah pelabuhan perkapalan terunggul di dunia selain pelabuhan yang paling sibuk, dengan industri maritim merupakan satu pemacu utama ekonomi negara."

Dang adalah ketua pegawai, iaitu pegawai kedua paling berkuasa selain kapten kapal, dan dibayar untuk membantu melakukan jenayah, kata para pendakwa.

Namun pihak pendakwa akur bahawa kebertanggungjawapan Dang adalah agak rendah berbanding pesalah-pesalah lain dalam jenayah itu.

Dang hanya menerima arahan daripada kapten dua kapal Vietnam, yang perbicaraannya belum dimulakan. Pihak pendakwa juga akur dang bekerjasama dalam siasatan dan mengaku bersalah dari awal.

- CNA/TQ/tq

Top