Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketidaksamarataan pendapatan di S'pura cecah paras terendah dalam tempoh hampir 20 tahun

Ketidaksamarataan pendapatan keluarga di Singapura mencecah paras terendah dalam tempoh hampir 20 tahun, dengan pendapatan mediannya meningkat kepada S$9,425, menurut perangkaan yang dikeluarkan pada Khamis (20 Feb) oleh Jabatan Statistik Singapura (SingStat).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Feb 2020 03:37PM Dikemas Kini : 21 Feb 2020 12:22AM

SINGAPURA: Ketidaksamarataan pendapatan keluarga di Singapura mencecah paras terendah dalam tempoh hampir 20 tahun, dengan pendapatan mediannya meningkat kepada S$9,425, menurut perangkaan yang dikeluarkan pada Khamis (20 Feb) oleh Jabatan Statistik Singapura (SingStat).

Laporan Trend-Trend Utama dalam Pendapatan Keluarga 2019 SingStat menunjukkan bahawa koefisien Gini, berdasarkan pendapatan keluarga daripada gaji bagi setiap keluarga adalah 0.452 pada tahun lalu berbanding 0.458 pada 2018. Nilai ini adalah yang paling rendah sejak 2001.

Koefisien Gini mengukur ketidaksamarataan pendapatan berdasarkan skala antara sifar hingga satu, dengan sifar melambangkan kesamarataan pendapatan secara keseluruhannya dan satu pula menggambarkan ketidaksamarataan pendapatan secara keseluruhan.

Bagi mengukur ketidaksamarataan itu, Singapura menggunakan skala Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang diubah suai, yang juga digunakan oleh Suruhanjaya Eropah serta negara-negara lain seperti Britain dan Australia.

SingStat menarik perhatian bahawa pekali itu akan terus jatuh kepada 0.398 jika ia disesuaikan dengan bayaran pindahan Pemerintah - termasuk skim-skim seperti Kredit Daya Kerja dan Kredit GST.

Menurut SingStat, ia mencerminkan "kesan pengagihan semula bayaran pindahan Pemerintah".

Ia melaporkan keluarga penduduk tempatan, termasuk mereka yang tidak mempunyai sebarang anggota keluarga yang bekerja, yang menerima purata S$4,682 bagi setiap anggota menerusi pelbagai skim Pemerintah tahun lalu.

"Para keluarga penduduk tempatan yang menetap di flat satu dan dua bilik HDB secara purata menerima S$10,548 bagi setiap anggota keluarga, iaitu lebih seganda daripada bayaran pindahan pemerintah yang diterima oleh penduduk keluarga penduduk tempatan yang menetap di kediaman lain," menurut SingStat dalam kenyataannya.

PENDAPATAN MEDIAN KELUARGA MENINGKAT

Laporan SingStat itu turut mendedahkan bahawa pendapatan median keluarga yang bekerja dalam kalangan keluarga dengan seorang rakyat Singapura atau Penduduk Tetap dan sekurang-kurangnya seorang anggota yang bekerja meningkat 1 peratus dari segi pendapatan sebenar, dari S$9,293 pada 2018 kepada S$9,425 tahun lalu.

"Sepanjang lima tahun lalu, dari 2014 hingga 2019, median pendapatan bulanan bagi keluarga penduduk yang bekerja sudah meningkat sebanyak 13 peratus secara kumulatif, atau 2.5 peratus setiap tahun dari segi nilai sebenar," menurut SingStat.

Mengambil kira saiz keluarga, pendapatan median keluarga setiap bulan daripada gaji setiap anggota keluarga meningkat dari S$2,792 pada 2018 kepada S$2,925 tahun lalu, iaitu pertumbuhan sebanyak 4.3 peratus.

Antara 2014 dengan 2019, pendapatan median bulanan bagi setiap anggota keluarga meningkat sebanyak 22.2 peratus secara kumulatif, iaitu pertumbuhan 4.1 peratus setiap tahun dari segi nilai sebenar.

Sementara itu, keluarga penduduk tempatan yang bekerja bagi semua kumpulan pendapatan secara purata menyaksikan pertumbuhan sebenar pada pendapatan keluarga bagi setiap anggota keluarga tahun lalu, sejajar dengan trend sepanjang lima tahun lalu.

Keluarga dalam persentil pertama hingga persentil ke-90 mencatat pertumbuhan antara 3.5 dengan 5.6 peratus, manakala mereka yang berada dalam kumpulan 10 peratus teratas meraih pertumbuhan sebanyak 0.4 peratus.

Antara 2014 dengan 2019, keluarga dalam persentil pertama hingga persentil ke-90 mencatat pertumbuhan antara 3.9 dengan 4.5 peratus setiap tahun, manakala mereka yang berada dalam kumpulan 10 peratus teratas menyaksikan pertumbuhan sebanyak 2.5 peratus setiap tahun.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan