Images
  • Heng Swee Keat Budget forum
    Menteri Kewangan Heng Swee Keat dalam forum Ask The Minister, 21 Feb 2021. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Ketidaksamarataan di S'pura catat rekod terendah disebabkan skim-skim sokongan

SINGAPURA: Ketidaksamarataan pendapatan di Singapura merosot ke paras terendah dalam tahun 2020 disebabkan "pemindahan besar" dan skim-skim yang cenderung ke arah menyokong kumpulan-kumpulan bergaji rendah.

Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat hari ini (21 Feb).

Bercakap semasa rancangan Ask The Finance Menteri (Tanya Menteri Kewangan) di CNA, Encik Heng berkata selepas pemindahan pemerintah, koefisien Gini Singapura mencatat 0.375 dalam tahun 2020, merosot daripada 0.398 pada tahun 2019.

Ini adalah prestasi terbaik Singapura sejak Pemerintah mula menjejaki datanya pada 2000, tambah beliau.

"Apabila kami mengukur tahap ketidaksamarataan tahun lalu, ia mencatat paras paling rendah dalam sejarah. Ini disebabkan pemindahan besar yang dibuat kerana skim kita cenderung ke arah menyokong kumpulan-kumpulan bergaji rendah," kata Encik Heng dalam forum pasca-Belanjawan, di mana beliau menjawab soalan-soalan daripada rakyat Singapura.

Pada 8 Februari, Jabatan Statistik Singapura menyatakan keluarga Singapura menerima purata S$6,308 bagi setiap anggota daripada pelbagai skim Pemerintah pada 2020, yang jauh lebih tinggi berbanding S$4,684 yang diterima setahun sebelumnya.

Menjawab pertanyaan yang diajukan hari ini tentang bagaimana beliau merancang untuk mengurangkan kesan kenaikan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan berkata, Pakej Jaminan S$6 bilion, yang diperkenalkan semasa Belanjawan 2021, akan menyediakan "banyak sokongan" bagi isi rumah.

"Bagi keluarga-keluarga di bawah paras 20 peratus ia sama seperti tidak membayar kenaikan GST selama 10 tahun dan bagi keluarga biasa, lima tahun," tambah beliau.

Semasa Belanjawan 2018, Pemerintah mengumumkan bahawa ia merancang untuk menaikkan kadar GST daripada tujuh kepada sembilan peratus.

Bagaimanapun, Encik Heng berkata dalam Belanjawan tahun lalu, kadar GST tidak akan dinaikkan pada 2021, disebabkan kesan COVID-19 pada ekonomi.

Dalam Belanjawan tahun ini pula, Encik Heng berkata kenaikan itu akan dilaksanakan antara tahun 2022 dengan 2025, "dan "lebih awal dari lambat"
 bergantung kepada unjuran ekonomi.

"GST seringkali dilihat sebagai cukai yang regresif. Namun hakikatnya, jika kita melihat kepada imbangan keseluruhannya daripada apa yang dibayar oleh masyarakat dan apa yang mereka raih, kita sudah menjadikannya sistem yang progresif," ujar Encik Heng.

Di Singapura, keluarga dalam lingkungan 20 peratus ke atas membayar 56 peratus cukai tetapi meraih 11 peratus manfaat. Dalam masa yang sama, keluarga-keluarga dalam lingkungan 20 peratus paling rendah membayar sembilan peratus cukai tetapi meraih 27 peratus manfaat, tambah beliau.

"Anda boleh lihat bagaimana ia cenderung ke arah mereka yang berpendapatan lebih baik membayar lebih cukai dan menerima kurang manfaat. Mereka yang berpendapatan rendah membayar kadar cukai yang rendah tetapi meraih banyak manfaat. Malah, ramai pekerja kita tidak perlu membayar cukai pendapatan," kata Encik Heng.

"Sistem kita direka selama bertahun-tahun untuk cenderung ke arah menyediakan lebih banyak sokongan kepada mereka yang lebih memerlukan."

HARAP DAPAT IMBANGI BELANJAWAN DALAM 4-5 TAHUN

Dalam pembentangan Belanjawan pada 16 Februari lalu, Encik Heng mengumumkan bahawa semua keluarga yang layak akan menerima bayaran khas sekali sahaja antara S$120 dengan S$200 tahun ini, sebagai sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga bernilai S$900 juta bagi rakyat Singapura.

Pakej itu termasuk lanjutan rebat bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC), tokokan S$200 ke dalam akaun pendidikan yang relevan bagi setiap anak di bawah usia 21 tahun dan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai S$100 untuk semua isi rumah Singapura.

Rakyat Singapura berpendapatan rendah dan pertengahan juga akan menerima tambahan bayaran tunai sekali sahaja sebanyak S$200 di bawah skim Baucar GST.

Encik Heng juga mengumumkan bahawa Pemerintah akan menggunakan rizab bagi tahun kedua berturut-turut, dan menjangkakan defisit S$11 bilion bagi Belanjawan 2021.

Dalam responsnya kepada pertanyaan tentang defisit itu, Encik Heng berkata sekarang adalah "tempoh yang sangat sangat tertekan", sedang dunia mengalami kemelesetan teruk dan laluan ke arah pemulihan bergantung kepada keadaan pandemik COVID-19.

"Tapi saya rasa dengan vaksinasi dan kemajuan yang kita capai, saya rasa ada harapan kita dapat pulih dalam tahun 2021 dan malah menjangkauinya. Itu pun akan mengambil masa untuk kita pulih sepenuhnya. Sekalipun demikian, apa kami harapkan dalam tempoh empat atau lima tahun mendatang adalah kami masih dapat mencapai belanjawan seimbang dalam penggal pemerintah ini," tambah beliau.

"Jika ekonomi pulih seperti yang kita jangkakan, maka saya rasa kita dapat capai belanjawan seimbang. Ini kerana bukan sahaja kita sudah menggunakan rizab bagi dua tahun berturut-turut tetapi juga jumlahnya besar. Jadi kita perlu betul-betul fikirkan tentang bagaimana untuk mengekalkan rizab kita."

- CNA/NK/nk

Top