Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesemua pengunjung, warga S'pura dan PR, perlu jalani ujian COVID-19 sebaik tiba di sini

Kementerian Kesihatan (MOH) akan melaksanakan langkah sekatan sempadan lebih ketat bagi menangani risiko kes import COVID-19, termasuk ujian semasa ketibaan bagi para pengunjung.

Anggaran Waktu Membaca:
Kesemua pengunjung, warga S'pura dan PR, perlu jalani ujian COVID-19 sebaik tiba di sini

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 16 Jan 2021 11:07PM Dikemas Kini : 16 Jan 2021 11:09PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) akan melaksanakan langkah sekatan sempadan lebih ketat bagi menangani risiko kes import COVID-19, termasuk ujian semasa ketibaan bagi para pengunjung.

Mulai pukul 11.59 malam pada 24 Jan, kesemua pengunjung termasuk rakyat Singapura dan penduduk tetap, perlu menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) COVID-19 sebaik tiba di Singapura, menurut MOH dalam satu kenyataan media pada Sabtu (16 Jan).

Syarat-syarat sedia ada untuk menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), termasuk ujian PCR di penghujung tempoh SHN akan diteruskan, menurut MOH.

Bagi memudahkan proses ujian, para pengunjung "sangat digalakkan" supaya membuat pendaftaran dan prabayar ujian PCR COVID-19 itu sebelum mereka berlepas untuk ke Singapura, menurut MOH.

Buat masa ini, para pengunjung yang bukan rakyat Singapura atau penduduk tetap yang mempunyai sejarah perjalanan baru-baru ini ke negara atau wilayah berisiko tinggi perlu menjalani ujian PCR dalam tempoh 72 jam sebelum mereka berlepas ke Singapura.

Mereka kemudian akan diuji pada penghujung tempoh SHN.

MOH menyatakan langkah-langkah baru itu akan dilaksanakan menyusuli kemunculan jenis baru COVID-19 dan situasi COVID-19 yang semakin buruk di seluruh dunia.

LANGKAH TAMBAHAN BAGI PENGUNJUNG DARI BRITAIN, AFRIKA SELATAN

Selain itu, mulai pukul 11.59 malam pada 18 Jan, kesemua rakyat Singapura dan penduduk tetap yang pulang dari Britain dan Afrika Selatan perlu menjalani pengasingan diri tambahan selama tujuh hari di tempat kediaman masing-masing, diikuti dengan SHN selama 14 hari di kemudahan khusus.

Mereka akan diuji pada penghujung tempoh SHN, seperti syarat sedia ada, dan sekali lagi selepas mereka selesai menjalani tempoh pengasingan diri selama tujuh hari, menurut MOH.

Langkah berjaga-jaga tambahan ini tertakluk kepada para pengunjung yang sedang menjalani SHN dan ia akan dikuatkuasakan hingga notis selanjutnya.

Pihak berkuasa Singapura sebelum ini mengehadkan kemasukan dan persinggahan bagi kesemua pemegang pas jangka panjang dan jangka pendek dengan sejarah perjalanan baru-baru ini ke Britain dan Afrika Selatan, kerana bimbang dengan jenis baru virus COVID-19 yang lebih mudah merebak dan sedang menular di negara-negara itu.

PERLINDUNGAN INSURANS

Mulai pukul 11.59 malam pada 31 Jan, para pengunjung yang memohon masuk ke Singapura melalui Pas Perjalanan Udara (ATP) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) perlu mempunyai insurans perjalanan bagi rawatan perubatan berkaitan COVID-19 dan kos rawatan di hospital di Singapura, dengan perlindungan minimum S$30,000.

"Insurans perjalanan itu akan bantu mereka untuk membayar kos rawatan perubatan di Singapura. Para pengunjung boleh membeli insurans perjalanan dari syarikat-syarikat insurans yang berpangkalan di Singapura atau di luar negara," menurut MOH.

Buat masa ini, para pengunjung jangka pendek yang masuk ke Singapura di bawah skim ATP dan RGL perlu menanggung sepenuhnya kos rawatan perubatan, jika mereka disyaki dijangkiti virus itu atau memerlukan rawatan perubatan bagi COVID-19 semasa berada di Singapura.

"Sedang situasi global berkembang, kami akan terus menyesuaikan langkah sempadan kami untuk menangani risiko import dan jangkitan dalam masyarakat," menurut MOH.

"Kementerian Kesihatan juga akan terus menyemak data dan bukti bagi sebarang jenis virus baru dan mengemas kini langkah berkenaan sewajarnya."

Sebarang perubahan pada langkah sempadan akan dikemas kini pada laman SafeTravel.

Para pengunjung dinasihati untuk melungsuri laman itu mendapatkan maklumat mengenai langkah sempadan terkini sebelum melakukan perjalanan ke Singapura dan bersedia tertakluk kepada langkah sempadan pada waktu itu sebaik tiba di sini, termasuk bayaran penginapan di kemudahan SHN khusus, ujian dan rawatan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan