Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesemua negara akan terjejas oleh perang perdagangan, kata PM Lee

Kesemua negara, besar atau kecil, akan terjejas sekiranya perang dagang tercetus, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam satu wawancara bertulis dengan media Australia.

Anggaran Waktu Membaca:
Kesemua negara akan terjejas oleh perang perdagangan, kata PM Lee

Gambar fail: ATHIT PERAWONGMETHA/REUTERS

Diterbitkan : 15 Mar 2018 11:39PM Dikemas Kini : 15 Mar 2018 11:43PM

SINGAPURA: Kesemua negara, besar atau kecil, akan terjejas sekiranya perang dagang tercetus, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam satu wawancara bertulis dengan media Australia.

PM Lee yang sedang mengadakan lawatan rasmi ke Sydney hingga Ahad ini (18 Mac) menjawab pertanyaan-pertanyaan tentang pandangannya mengenai keputusan Amerika Syarikat minggu lalu untuk mengenakan tarif ke atas keluli dan aluminium untuk melindungi pengilang Amerika.

Dalam jawapan bertulisnya yang dikeluarkan hari ini (15 Mac), PM Lee berkata jelas bahawa pentadbiran Presiden Trump mengambil "pendekatan yang jauh berbeza" terhadap perdagangan dan Singapura turut terkesan.

"Menjangkaui kesan langsungnya, langkah-langkah perdagangan sedemikian mewujudkan satu duluan dan negara-negara lain akan tertekan untuk membalas," katanya. "Sekiranya kepercayaan itu rosak dan perang dagang balas-membalas tercetus, kesemua negara, besar atau kecil, akan terjejas."

Singapura sebagai sebuah negara kecil dengan ekonomi terbuka "sangat yakin" dengan perdagangan bebas dan "sistem perdagangan berbilang pihak yang terbuka dan berdasarkan peraturan", kata PM Lee.

Beliau menambah bahawa negara ini lantas gembira dengan Perjanjian Perkongsian Menyeluruh dan Progresif bagi Rentas Pasifik (CPTPP) yang ditandangani baru-baru ini. Ia adalah versi baru Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) yang tidak disertai Amerika Syarikat.

Apabila ditanya sama ada beliau berpandangan bahawa Amerika Syarikat lambat-laun akan menyertai perjanjian perdagangan bebas itu, PM Lee berkata: "Pintu sentiasa terbuka bagi AS, China dan negara-negara lain untuk menyertai (perjanjian ini) apabila mereka bersedia untuk mematuhi piawaian CPTPP. Saya berharap AS akan menyertainya satu hari nanti, meskipun saya secara realistik, tidak menjangkakan ia berlaku dalam masa yang terdekat."

Dalam wawacaranya dengan FairFax Media dan The Australian, PM Lee juga ditanya tentang sokongan Singapura terhadap inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera oleh China (BRI) dan sama ada beliau berpandangan bahawa Australia patut turut serta.

BRI yang bertujuan untuk memudahkan perdagangan dan pertukaran pelaburan antara China dengan negara-negara lain adalah rancangan strategik menyeluruh yang "positif", kata PM Lee.

Namun, PM Lee menambah bahawa negara-negara harus melihat projek-projek BRI berdasarkan kualiti tersendiri menilai sama ada ia akan memanfaatkan negara-negara itu dengan menyertainya.

SERANGAN PENGGANAS BOLEH DATANGKAN "KESAN YANG RUMIT DI MERATA ASIA TENGGARA"

PM Lee juga ditanya tentang keselamatan serantau dan kemungkinan "kemasukan" militan ISIS yang terpaksa pula ke Asia Tenggara selepas dihalau keluar dari Syria dan Iraq.

ISIS "menyasarkan propagandanya ke Asia Tenggara", kata PM Lee sambil menarik perhatian tentang beberapa video propaganda kumpulan pengganas itu yang menampilkan militan Asia Tenggara termasuk seorang rakyat Singapura.

"Bahaya serangan pengganas yang berjaya bukan sahaja menjejas nyawa dan tubuh tetapi juga fabrik sosial," kata PM Lee. "Sebahagian besar daripada negara-negara Asia Tenggara berbilang kaum dan agama. Kerosakan ke atas kepercayaan sosial dan hubungan silang kaum susah untuk dipulihkan."

"Ia boleh mendatangkan kesan yang rumit di merata Asia Tenggara termasuk Singapura meskipun kami tidak diserang."

HUBUNGAN SINGAPURA-AUSTRALIA "KUKUH, BERBAGAI-BAGAI ASPEK"

PM Lee juga menyebut tentang hubungan yang "kukuh dan berbagai-bagai aspek" antara Australia dengan Singapura.

Beliau menarik perhatian kepada hubungan pertahanan dua hala yang "mendalam" dengan tentera kedua-dua negara menjalankan latihan secara "kerap". Singapura juga akan melaburkan sehingga A$2.25 bilion (S$2.32 bilion) untuk membangunkan bersama kawasan latihan dan kemudahan-kemudahan di Queensland.

Dari segi kerjasama ekonomi pula, PM Lee menyifatkan kedua-dua negara seperti "rakan kongsi yang berfikiran serupa". Beliau menarik perhatian kepada Perjanjian Dagangan Bebas Singapura-Australia yang dikemas kini serta komitmen kedua-dua negara kepada CPTPP.

Apabila ditanya apa yang perlu dilakukan Singapura dan Australia untuk bersama meleraikan ketegangan di Laut China Selatan agar rantau ini lebih stabil, PM Lee berkata: "Sebagai negara-negara yang tidak membuat tuntutan, tidak mungkin Australia ataupun Singapura dapat menghuraikan masalah Laut China Selatan."

Namun, PM Lee menarik perhatian bahawa ketegangan di Laut China Selatan "sedikit sebanyak sudah reda" sepanjang tahun lalu dan perbincangan yang kerap antara ASEAN dengan China sudahpun menghasilkan sekitaran yang lebih kondusif bagi dialog dan kerjasama.

Dalam lawatannya ke Australia, PM Lee akan menghadiri Sidang Pemimpin-Pemimpin Singapura-Australia iaitu sebuah mesyuarat tahunan di bawah Kerjasama Strategik Menyeluruh Singapura-Australia. Beliau juga akan menghadiri Sidang Khas ASEAN-Australia dari 17 Mac hingga 18 Mac dan mengadakan perjumpaan dengan rakyat Singapura di Sydney.

PM Lee dan Perdana Menteri Australia Michael Turnbull juga dijangka akan berbincang tentang isu-isu termasuk kemajuan kerjasama itu, perkembangan serantau dan jawatan pengerusi Singapura di ASEAN. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan