Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesempitan kewangan sebab utama 14% NSF AWOL

Sepanjang tempoh lima tahun lalu, sekitar 14 peratus anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) yang didakwa tidak hadir tanpa kebenaran (AWOL) menyebut kesempitan kewangan sebagai sebab utama mereka berbuat demikian.

Anggaran Waktu Membaca:
Kesempitan kewangan sebab utama 14% NSF AWOL

Menteri Negara Kanan Pertahanan, Dr Maliki Osman, di Parlimen pada 10 Sep.

Diterbitkan : 10 Sep 2018 05:03PM Dikemas Kini : 10 Sep 2018 05:07PM

SINGAPURA: Sepanjang tempoh lima tahun lalu, sekitar 14 peratus anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) yang didakwa tidak hadir tanpa kebenaran (AWOL) menyebut kesempitan kewangan sebagai sebab utama mereka berbuat demikian.

Jumlah itu sama dengan sekitar 28 pesalah AWOL yang didakwa di Mahkamah Tentera setiap tahun, kata Menteri Negara Kanan Pertahanan Dr Mohamad Maliki Osman di Parlimen hari ini (10 Sep).

Dr Maliki berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leon Perera mengenai NSF Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang memerlukan bantuan kewangan.

"AWOL adalah satu kesalahan serius. Oleh itu, SAF akan terus mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap para anggota perkhidmatan negara yang melakukan kesalahan AWOL," kata Dr Maliki.

Beliau bagaimanapun berkata bahawa SAF cuba memahami keadaan yang dihadapi oleh para anggota NSF, sambil menarik perhatian bahawa jumlah NSF yang menerima bantuan kewangan tetapi masih melakukan kesalahan AWOL adalah "amat kecil".

Daripada jumlah kes yang dilaporkan pada 2017, hanya seorang anggota perkhidmatan negara didapati AWOL meskipun mendapat bantuan kewangan, menurut Dr Maliki.

Beliau berkata secara purata, 120 NSF menerima Bantuan Kewangan Sementara (TFA) setiap tahun. TFA merupakan bantuan kewangan bulanan yang disediakan selagi seseorang NSF itu menjalani Perkhidmatan Negara sepenuh masa.

Jumlah bantuan yang diberikan adalah antara kurang S$100 dengan beberapa ribu dolar setiap bulan selama kira-kira lapan bulan, tambah Dr Maliki.

"Kriteria kelayakan TFA dan kuantum yang disediakan adalah serupa dengan skim-skim bantuan kewangan awam," kata beliau.

"Saiz keluarga, pendapatan yang diraih dan keperluan perbelanjaan akan ditimbangkan dan sokongan tambahan juga disediakan untuk para keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah dan/atau ahli keluarga yang mempunyai masalah perubatan yang berulang."

Dr Maliki menambah bahawa ketika memproseskan permohonan, para komander akan melakukan temu bual dan lawatan ke rumah bagi memahami keadaan keluarga para NSF itu. Menurut beliau, sekitar 80 peratus permohonan diluluskan setiap tahun.

"Geran TFA diberikan kepada kebanyakan penerima dalam tempoh dua minggu setelah mereka mengemukakan permohonan," kata Dr Maliki.

Selain TFA, Dr Maliki mengongsi bahawa para pegawai pemerintah dan ketua jabatan juga boleh memberikan bantuan kewangan segera melalui Geran Luar Jangkaan sehingga S$500 yang diberikan sekali sahaja atau Geran Kebajikan bagi jumlah dana yang lebih tinggi.

"Skim-skim ini sudahpun memberi manfaat kepada lebih 50 NSF setiap tahun," tambah beliau.

Apabila Encik Perera bertanya sama ada Dr Maliki boleh menerangkan mengenai para NSF yang didakwa meraih pendapatan daripada pekerjaan luar, Dr Maliki berkata bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai perinciannya.

"Mengenai para NSF yang meraih pendapatan daripada sesuatu pekerjaan, mereka tahu bahawa mereka tidak sepatutnya berbuat demikian," kata beliau.

"Tetapi apabila mereka memulakan tempoh perkhidmatan, kami memaklumkan NSF bahawa jika mereka memerlukan bantuan kewangan, mereka boleh meminta bantuan daripada para pegawai pemerintah, OC (pegawai yang memerintah) dan komander pada bila-bila masa saja."

Sungguhpun demikian, Dr Maliki berkata bahawa bantuan kewangan bukan saja disediakan oleh SAF.

"Terdapat pelbagai lagi tempat-tempat rujukan... mungkin sekolah-sekolah, hospital-hospital atau masyarakat," tambah beliau. "Oleh itu, kami akan menelitinya dan membantu mereka." 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan