Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesan perang perdagangan AS-China terhadap Singapura

S'pura mungkin mencatat kemerosotan GDP 0.8 peratusan mata tahun ini jika perang dagang besar-besaran berlaku, menurut pakar ekonomi

Anggaran Waktu Membaca:
Kesan perang perdagangan AS-China terhadap Singapura

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 06 Jul 2018 10:32AM Dikemas Kini : 06 Jul 2018 10:34AM

SINGAPURA: Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang semakin meningkat akan meninggalkan kesan terhadap Singapura, menurut para pengamat ekonomi. Namun, mereka berbeza pendapat tentang sejauh mana kesannya ke atas Singapura.

Penguatkuasaan tarif sebanyak 25 peratus ke atas 818 kategori barangan China bernilai AS$34 bilion (S$46 bilion) dijadualkan pada tengah hari ini (6 Jul) di China. Beijing menyatakan bahawa ia akan bertindak balas sebaik saja langkah-langkah itu dikuatkuasakan dengan mengenakan tarif ke atas nilai sejajar barangan Amerika, termasuk kenderaan dan produk-produk pertanian.

Pentadbiran Trump juga merancang mengenakan cukai ke atas kumpulan kedua barangan China bernilai AS$16 bilion (S$22 bilion) apabila ia selesai menjalankan semakan lanjut.

Para pakar ekonomi menyuarakan keprihatinan mengenai tindak balas China yang boleh mengakibatkan konflik perdagangan bertukar menjadi satu perang perdagangan habis-habisan. Sekiranya kesemua tarif berkuatkuasa, aliran perdagangan global dan pasaran kewangan akan terjejas.

Justeru, Singapura yang bergantung kepada perdagangan akan turut terjejas walaupun ia bukan sasaran langsung tarif berkenaan.

Singapura mungkin akan mengalami kadar pertumbuhan yang lebih lembap 2.9 peratus berbanding 3.1 peratus, tahun ini. Bagi tahun 2019, kesannya mungkin lebih teruk dengan ekonomi mencatat pertumbuhan lebih perlahan 1.7 peratus iaitu kemerosotan sebanyak 0.7 peratusan mata berbanding ramalan awal pakar ekonomi Asia Sian Fenner dari Oxford Economics.

Secara keseluruhan, Singapura mungkin kerugian $3.4 bilion GDP sekiranya berlaku perang dagangan besar-besaran. Singapura mungkin negara yang paling teruk terjejas di kalangan negara-negara di rantau ini, menghadapi risiko kemerosotan 0.8 peratusan mata tahun ini dan 1.5 peratusan mata tahun depan, menurut DBS. Bagaimanapun, kesannya kekal pada kadar minimum buat masa sekarang.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing sebelum ini berkata bahawa pelaksanaan tarif sedemikian antara Amerika dengan China mempunyai kesan negatif yang "terbatas" sekitar 0.1 peratus ke atas Singapura memandangkan ia hanya menjejas "sebahagian kecil" eksport negara.

Sementara itu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan pada Rabu (4 Jul) bahawa ekonomi negara kemungkinan besar kekal berkembang secara mantap tahun ini walaupun di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang meningkat.

Ramalan GDP buat keseluruhan tahun ini dianggarkan pada sekitar 2.5 peratus sehingga 3.5 peratus, kekal tidak berubah daripada ramalan yang diumumkan pada Mei lalu.

Sumber : CNA/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan