Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesan beg plastik guna sekali terhadap alam sekitar 'lebih rendah' berbanding beg kertas, kapas di S'pura

Para saintis daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mendapati bahawa beg plastik guna sekali "mempunyai kesan lebih rendah terhadap alam sekitar" berbanding penggunaan beg kertas atau beg kapas pelbagai guna. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kesan beg plastik guna sekali terhadap alam sekitar 'lebih rendah' berbanding beg kertas, kapas di S'pura

Anggota pasukan kajian dari NTU. (Gambar: NTU)

Diterbitkan : 14 Oct 2020 08:23PM Dikemas Kini : 15 Oct 2020 12:00AM

SINGAPURA: Para saintis daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mendapati bahawa beg plastik guna sekali "mempunyai kesan lebih rendah terhadap alam sekitar" berbanding penggunaan beg kertas atau beg kapas pelbagai guna.

Namun, kajian itu dijalankan dengan kaveat (notis rasmi) bahawa dapatan tersebut hanya terpakai di Singapura dan mungkin kota-kota serupa, di mana pembakaran adalah sebahagian daripada struktur pengurusan sisa negara ini.

Dalam kajian itu, para saintis menjalankan analisis ke atas kitaran hidup lima jenis beg untuk menilai kesan sekitaran yang terkait dengan pengeluaran, pengedaran, pengangkutan, pengumpulan sampah, rawatan dan pelupusan akhir hayatnya.

Kajian tersebut mendapati bahawa beg plastik yang boleh digunakan semula, diperbuat daripada plastik bukan tenunan polipropilena, adalah "pilihan yang paling mesra alam", diikuti dengan beg plastik guna sekali, menurut NTU dalam satu kenyataan media.

Menggunakan beg plastik "mungkin merupakan pilihan terbaik yang ada sekarang" di bandar-bandar seperti Singapura, kata Penolong Profesor Grzegorz Lisak, Pengarah Pusat Tebus Guna Sisa & Sumber di Institut Sekitaran dan Air Nanyang (NEWRI), yang menerajui kajian tersebut.

“Mesej utama kami adalah beg plastik guna semula adalah pilihan terbaik jika ia digunakan sebanyak kali mungkin - lebih 50 kali secara lebih tepat lagi," tambah beliau.

"Bagaimanapun satu kesimpulan yang mengejutkan adalah dalam model kami, dalam kes guna sekali, beg plastik, jika dirawat dengan baik sesudahnya, kurang berbahaya terhadap sekitaran berbanding jenis beg lain dalam kajian ini."

Para saintis itu mendapati bahawa potensi pemanasan bumi daripada beg kertas kraf guna sekali adalah lebih 80 kali ganda daripada beg plastik yang boleh digunakan semula. Beg plastik guna sekali dan beg kapas guna semula yang sudahpun digunakan semula sebanyak 50 kali didapati mempunyai potensi pemanasan bumi 10 kali lebih banyak daripada beg plastik guna semula yang digunakan semula sebanyak 50 kali.

Berdasarkan kajian itu, beg plastik guna semula perlu digunakan empat kali untuk mengimbangi pelepasan yang setara dengan penciptaan beg plastik guna sekali.

Beg kapas dan beg kertas kraf mempunyai kesan lebih besar terhadap alam sekitar kerana "sumbanganya yang lebih besar terhadap pemanasan bumi" dan "potensi ekoketoksikan dalam pengeluarannya", kajian itu menunjukkan.

Proses pengeluaran beg kapas dan beg kertas kraf yang menggunakan "sejumlah besar air dan sumber semula jadi" harus dipersalahkan atas kesan negatif terhadap alam sekitar, menurut dapatan kajian itu.

Berdasarkan statistik Singapura pada 2018, pengurangan pada penggunaan beg runcit plastik guna sekali sebanyak separuh boleh mencegah lebih 10 juta pelepasan setara 10 juta kg-CO2 dalam setahun, kata Penolong Profesor Lisak. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan