Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes warga M'sia terlepas tali gantung: M Ravi berkeras tidak akan minta maaf kepada AGC

Peguam hak asasi manusia M Ravi berkata beliau tidak akan meminta maaf kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) seperti yang diminta dan sebaliknya akan menuntut pernyataan maaf daripada pendakwa raya bagi pihak anak guamnya Gobi Avedian dan keluarganya.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes warga M'sia terlepas tali gantung: M Ravi berkeras tidak akan minta maaf kepada AGC

Peguam M Ravi (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 22 Oct 2020 12:29AM Dikemas Kini : 22 Oct 2020 12:33AM

SINGAPURA: Peguam hak asasi manusia M Ravi berkata beliau tidak akan meminta maaf kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) seperti yang diminta dan sebaliknya akan menuntut pernyataan maaf daripada pendakwa raya bagi pihak anak guamnya Gobi Avedian dan keluarganya.

Dalam surat yang dikirimkan kepada AGC pada Rabu (21 Okt) - yang salinannya diberikan kepada Mediacorp - Encik Ravi berkata bahawa anak guamnya Gobi, yang sebelum ini dijatuhkan hukuman mati atas tuduhan mengedar dadah, mengarahkannya supaya menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada para pendakwa raya atas "penderitaan" yang dilalui Gobi disebabkan oleh tingkah laku para pendakwa.

Tidak kira sama ada terdapat permohonan maaf, surat itu, yang ditujukan kepada Timbalan Peguam Negara, Hri Kumar, juga menyatakan bahawa Gobi dan keluarganya memberikan arahan agar tindakan guaman diambil terhadap Encik Kumar, Peguam Negara Lucien Wong dan para pendakwa raya yang terlibat dalam kesnya.

Warga Malaysia berusia 32 tahun itu terlepas tali gantung pada Isnin setelah Mahkamah Rayuan menyemak keputusan untuk menjatuhkan hukuman mati dan mengembalikan hukuman asal Mahkamah Tinggi iaitu hukuman penjara selama 15 tahun dan 10 sebatan.

Pada hari yang sama, Encik Ravi diwawancara oleh laman sosio-politik The Online Citizen dan berkata, antara lain, bahawa pihak pendakwa "terlalu bersemangat" dalam menangani kes anak guamnya.

Pada lewat Isnin, AGC menjawab dengan menegaskan bahawa dakwaan Encik Ravi "tidak benar sama sekali" dan bahawa beliau "cuba memberikan gambaran yang salah tentang keputusan oleh Mahkamah Rayuan".

AGC juga mengirimkan sepucuk surat kepada Encik Ravi pada Selasa, yang menuntutnya meminta maaf dan tanpa bersyarat menarik balik tuduhan yang dilemparkannya terhadap pihak pendakwa dalam wawancara secara rakaman video itu, yang dimuat naik ke laman Facebook TOC.

Encik Ravi berkata dalam suratnya kepada AGC bahawa permintaan untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataan beliau "bukan sahaja secara terang tanpa asas, tetapi juga menghinanya".

Ini kerana AGC "mengabaikan terang-terangan" nyawa Gobi, dengan nyawanya diselamatkan oleh Encik Ravi pada saat-saat akhir, menurut surat itu.

Dalam surat itu, Encik Ravi juga menolak tuduhan AGC bahawa komen yang dibuatnya adalah palsu dan beliau sudah melanggar peraturan profesional undang-undang.


Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan