Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes tuntutan SBS Transit: Pemandu bas lantik Lim Tean sebagai peguam baru

Tiga belas pemandu bas yang membuat tuntutan mahkamah terhadap SBS Transit atas dakwaan amalan pekerjaan yang tidak adil melantik Lim Tean sebagai peguam mereka, menggantikan peguam sebelum ini, iaitu M Ravi.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes tuntutan SBS Transit: Pemandu bas lantik Lim Tean sebagai peguam baru

Gambar fail Lim Tean. (Gambar: Kane Cunico)

Diterbitkan : 24 Nov 2021 04:39PM Dikemas Kini : 24 Nov 2021 04:44PM

SINGAPURA: Tiga belas pemandu bas yang membuat tuntutan mahkamah terhadap SBS Transit atas dakwaan amalan pekerjaan yang tidak adil melantik Lim Tean sebagai peguam mereka, menggantikan peguam sebelum ini, iaitu M Ravi.

Dalam satu kenyataan media hari ini (24 Nov), plaintif utama Encik Chua Qwong Meng berkata beliau bersama para pemandu lain sudahpun melantik Encik Lim dari Carson Law Chambers untuk mewakili mereka.

"Kami berterima kasih kepada Encik Lim kerana bersetuju mengambil kes kami dengan notis yang begitu singkat, meski mengendalikan banyak kes lain. Beliau juga bersetuju untuk mengambil kes kami dengan tidak meminta sebarang bayaran," kata Encik Chua.

Beliau menambah Encik Lim adalah seorang "peguam dan pemimpin politik yang terkenal" yang terlibat dalam beberapa kes undang-undang berprofil tinggi dalam tahun-tahun lalu dan para pemandu yakin beliau dapat membela kes mereka dengan berkesan di mahkamah dan membantu mereka mencapai keputusan yang diinginkan.

Para pemandu bas menggugurkan M Ravi sebagai peguam mereka pada Isnin (22 Nov), sambil berkata mereka "sangat malu" dengan kelakuannya terhadap hakim dan peguam bela Davinder Singh pada hari pertama perbicaraan.

Encik Ravi memanggil Encik Singh "seorang badut". Para pemandu berkata Encik Ravi "langsung tidak mempunyai alasan atau justifikasi" untuk berbuat demikian.

Mereka berkata mereka tidak menerima sama sekali kelakuan Encik Ravi dan sangat terkejut dengan perbuatannya, sambil menambah bahawa beliau "mengecewakan kami dan menjejas teruk kes kami."

Menurut para pemandu, Encik Ravi sudahpun dibayar lebih S$55,000 yang berjaya diraih "menerusi sikap murah hati orang ramai yang menyokong kami."

Hari ini, Encik Lim mengesahkan kepada Mediacorp bahawa beliau akan mengendalikan kes para pemandu berkenaan.

Dalam satu catatan di Facebook, Encik Lim berkata kes itu melibatkan "isu undang-undang yang mempunyai kesan yang sangat besar bukan sahaja terhadap kepentingan ekonomi pemandu SBS Transit, tetapi kepada ramai pekerja-pekerja lain di Singapura".

Beliau berjanji akan melakukan yang "terbaik" untuk anak-anak guamnya agar kepentingan mereka dilindungi, sambil menambah bahawa "kejayaan dalam kes ini akan membawa manfaat kepada ribuan pekerja di Singapura".

Encik Ravi, yang lazimnya aktif di Facebook, sejauh ini belum membuat sebarang catatan sejak beliau memuat naik video mengenai pegawai bawahan Encik Singh pada Isnin (22 Nov).

Encik Chua, yang bekerja dengan SBS Transit antara April 2017 dengan awal 2020, mendakwa SBS Transit melanggar Akta Pekerjaan dengan tidak memberikannya hari berehat setiap minggu dan beliau juga tidak diberi gaji mencukupi bagi kerja-kerja lembur.

Beliau memfailkan tuntutan mahkamah ke atas SBS Transit pada September 2019. Walaupun kes itu difailkan oleh Encik Chua, lagi 12 pemandu bas dikaitkan dengan kes tersebut, dengan Encik Chua mendakwa kesemua 13 tuntutan mahkamah itu melibatkan sekitar S$720,000.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan