Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes tikam Boon Tat Street: Tertuduh kata 'biar dia mati' di depan orang ramai

"Saya sudah tua, saya tidak takut masuk penjara." Ini adalah antara kata-kata yang diungkapkan oleh Tan Nam Seng tiga tahun lalu selepas dia menikam menantunya sebanyak tiga kali di Boon Tat Street, mahkamah diberitahu pada Khamis (20 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Kes tikam Boon Tat Street: Tertuduh kata 'biar dia mati' di depan orang ramai

Tan Nam Seng yang terlibat dalam kes tikaman di Boon Tat Street. (Gambar fail: Robin Choo/TODAY)

Diterbitkan : 20 Aug 2020 09:09PM Dikemas Kini : 20 Aug 2020 10:45PM

SINGAPURA: "Saya sudah tua, saya tidak takut masuk penjara." Ini adalah antara kata-kata yang diungkapkan oleh Tan Nam Seng tiga tahun lalu selepas dia menikam menantunya sebanyak tiga kali di Boon Tat Street, mahkamah diberitahu pada Khamis (20 Ogos).

Kejadian yang mendapat liputan meluas itu berlaku pada 10 Julai 2017 di hadapan khalayak ramai ketika waktu sibuk makan tengah hari di kawasan tengah bandar CBD.

Mahkamah diberitahu bahawa setelah Spencer Sanjay Shamlal Tuppani, 38, rebah di luar sebuah restoran, kakitangannya bergegas untuk membantunya, tetapi Tan menolak mereka dan berkata: “Ini menantu saya. Jangan bantu dia. Biarkan dia mati. "

Dia juga memberitahu orang yang lalu di situ supaya jangan dekat, sambil menambah, "Dia datang ke sini untuk mati" dan "Saya mahu bunuh dia".

Butiran kejadian itu didedahkan apabila Tan, 72, mengaku bersalah pada Khamis atas satu dakwaan melakukan kesalahan pembunuhan yang dapat disalahkan (culpable homicide) yang tidak setara dengan pembunuhan.

Tuppani berkahwin dengan anak perempuan Tan, Shyller Tan pada 2005 dan kemudian menyertai perniagaan keluarga Tan.

PERNIAGAAN KELUARGA, RUMAHTANGGA JADI ISU

Mahkamah diberitahu bahawa Tan marah dengan Tuppani kerana dia berasa menantunya telah menganiaya anak perempuannya, dan dia yakin bahawa Tuppani juga akan menipunya dalam perniagaannya.

Pada 2016, Tuppani mencadangkan mereka menjual perniagaan keluarga itu kepada syarikat yang lebih besar, GKE Corporation, dan memujuk Tan serta beberapa pemegang saham lain untuk menyerahkan saham mereka kepadanya untuk meningkatkan bahagian kepentingannya menjelang penjualan tersebut.

Tuppani dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat baru itu, namun Tan mendapati bahawa dia hanya akan menerima S$450,000 dari penjualan saham-sahamnya, iaitu lebih rendah daripada yang dia jangkakan.

Hubungan mereka semakin tegang pada April 2017 apabila dia mendapat tahu bahawa Tuppani, yang mempunyai tiga anak dengan Cik Tan, menjalin hubungan sulit dan mempunyai dua anak daripada hubungan itu.

Tan hilang sabar pada 4 Julai 2017, apabila Tuppani menggantung jawatan seorang lagi anak perempuan Tan, Sherry Tan, dalam syarikat keluarganya ekoran pertikaian antara Sherry Tan dengan pembantu peribadi Tuppani.

Keesokan harinya, Tan mengatur untuk bertemu Tuppani untuk membincangkan penggantungan Cik Sherry Tan, namun Tuppani membatalkan pertemuan itu, dengan mengatakan dia mempunyai urusan perniagaan lain dan tidak mengaturkan semula pertemuan itu.

Fikiran Tan amat terganggu kerana tingkah laku Tuppani hingga dia tidak dapat tidur malam. Dia berasa Tuppani dengan sengaja mengelakkannya dan tidak menghormatinya.

KEJADIAN TIKAMAN

Dalam perjalanan ke pejabat syarikatnya di Cecil Court pada 10 Julai 2017, Tan ternampak Tuppani sedang makan bersama rakan-rakannya di sebuah kedai kopi berdekatan di 121 Telok Ayer Street.

Tan menuju ke ruang dapur pejabatnya untuk mencari pisau dan menyimpannya dalam beg sandangnya lalu berjalan ke kedai kopi itu.

Apabila ternampak Tan, Tuppani menegurnya "Pa".

Tan lalu bersemuka dengan Tuppani dan berkata dalam bahasa Hokkien: "Kamu memang keterlalulan."

Sebelum Tuppani sempat menjawab, Tan mengeluarkan pisau dan menikam Tuppani tiga kali secara bertubi-tubi di bahagian dadanya.

Setelah ditikam, Tuppani lari ke Boon Tat Street lalu rebah di kaki lima di luar restoran A Poke Theory.

Tan menendang mukanya tiga kali dengan sekuat-kuatnya sebelum meletakkan pisaunya berukuran 22 sentimeter di atas sebuah meja di sebelahnya. Dia kemudian duduk di kerusi untuk menanti polis tiba.

Tan sedang duduk dengan tenang apabila pegawai polis tiba. Sebelum mereka mula bercakap dengannya, Tan menunjuk ke arah pisau itu dan menantunya yang terbaring pada jarak 5m daripadanya dan berkata: "Di situ pisaunya... Di situ menantu saya."

Dia kemudian mengaku menikam Tuppani.

GANGGUAN KEMURUNGAN BERAT

Seorang pakar psikiatri dari Institut Kesihatan Mental (IMH) kemudian mendapati bahawa Tan mengalami masalah kemurungan berat ketika melakukan kesalahan tersebut.

Dr Jason Lee Kim Huat, seorang konsultan bersekutu di Jabatan Umum dan Psikiatri Forensik IMH, menyenaraikan beberapa faktor yang "mempengaruhi kawalan dan penilaiannya" dan "amat menjejas pertimbangan mentalnya" bagi pembunuhan itu.

Tan akan dijatuhi hukuman pada satu tarikh kemudian.

Dia mungkin dipenjara seumur hidup, atau hingga 20 tahun kerana melakukan pembunuhan yang dapat disalahkan dengan niat menyebabkan kematian. 

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan