Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes terhadap 2 pendakwa ditangguh; Parti Liyani belum putuskan untuk gugur kes

Ketua Hakim pada Khamis (1 Okt) memberikan Cik Parti Liyani tempoh selama dua minggu untuk menimbangkan semula permohonannya bagi siasatan terhadap dakwaan salah laku oleh dua pendakwa bagi kesnya setelah beliau meluahkan keraguan untuk meneruskan tindakan tersebut. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kes terhadap 2 pendakwa ditangguh; Parti Liyani belum putuskan untuk gugur kes

Cik Parti Liyani tiba di Mahkamah Negara bersama peguam bela Anil Balchandani pada 8 September. (Gambar: TODAY/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 01 Oct 2020 09:39PM Dikemas Kini : 01 Oct 2020 09:41PM

SINGAPURA: Ketua Hakim pada Khamis (1 Okt) memberikan Cik Parti Liyani tempoh selama dua minggu untuk menimbangkan semula permohonannya bagi siasatan terhadap dakwaan salah laku oleh dua pendakwa bagi kesnya setelah beliau meluahkan keraguan untuk meneruskan tindakan tersebut.

Cik Parti, yang bekerja sebagai pembantu rumah kepada bekas pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong, memohon menerusi peguamnya, Anil Balchandani, supaya tribunal disiplin ditubuhkan untuk meneliti kes tersebut.

Beliau menuduh dua Timbalan Pendakwa Raya, Tan Yanying dan Tan Wee Hao, atas salah laku ketika menangani perbicaraan kesnya.

Cik Parti disabit kesalahan pada Mac 2019 oleh mahkamah rendah kerana mencuri barangan bernilai S$34,000 daripada Encik Liew dan keluarganya.

Bagaimanapun, hakim Mahkamah Tinggi menggugurkan sabitan itu pada 4 September lalu, menggariskan beberapa isu berhubung dapatan sabitan serta cara bagaimana kes itu ditangani.

Encik Balchandani berkata semasa perbicaraan di dewan mahkamah pada Khamis Cik Parti "agak terkesan dengan peristiwa-peristiwa bulan lalu".

"Beliau menarik perhatian saya tentang perkara yang paling utama dalam benak fikiran anak guamnya adalah hakikat bahawa beliau belum pulang ke Indonesia sepanjang empat tahun lalu dan beliau tentu sekali mahu pulang secepat mungkin," kata Ketua Hakim dalam menjelaskan keputusannya untuk menangguhkan kes tersebut.

Oleh demikian, Cik Parti pada awalnya menimbangkan untuk menarik balik permohonannya bagi menyiasat kelakuan para pendakwa berkenaan.

Sungguhpun demikian, beliau "dengan jelas percaya bahawa DPP harus menjawab tuduhan yang dibangkitkan dalam afidavitnya dan sama sekali agak berbelah bagi antara berbagai pertimbangan yang saling bersaing," kata Ketua Hakim.

Peguam Cik Parti meminta penangguhan selama dua minggu untuk anak guamnya membuat keputusan muktamad tentang sama ada beliau berhasrat untuk meneruskan dengan kes itu ataupun tidak.

PARA PENDAKWA TIDAK BANTAH SIASATAN

Semasa perbicaraan, peguam kanan untuk Pejabat Peguam Negara Kristy Tan mengatakan bahawa pihak pendakwa tidak akan keberatan untuk meminta perkara itu dirujuk kepada mahkamah disiplin untuk disiasat.

Beliau berkata ini akan "memberi mereka peluang untuk membentangkan catatan mereka tentang apa yang berlaku dan menjelaskan diri mereka sepenuhnya".

Selain permohonan Cik Parti, Ketua Hakim Sundaresh Menon juga mendengar permohonan oleh pihak pendakwa yang meminta izin untuk campur tangan.

Menurut dokumen mahkamah yang sebelumnya diperolehi oleh CNA, pihak pendakwa memohon bagi peguam mereka, Timbalan Peguam Negara Hri Kumar Nair dan Peguam Kanan Jeyendran Jeyapal serta Jocelyn Teo untuk hadir semasa perbicaraan.

Mereka juga meminta izin untuk mengemukakan di mahkamah beberapa dokumen termasuk nota bukti daripada rayuan Cik Parti, petikan daripada perbicaraan mahkamah rendah serta nota bukti daripada Encik Liew dan isterinya.

Ketua Hakim Menon meluluskan permohonan itu, sambil mengatakan beliau lebih suka bahan-bahan "yang dianggap wajar sebagai relevan" dikemukakan di mahkamah.

Sekiranya kes itu dirujuk kepada tribunal berkenaan dan salah laku didapati berlaku, para pendakwa boleh menghadapi hukuman seperti teguran, digugurkan daripada senarai peguam, dilarang memohon sijil amali sehingga lima tahun atau harus membayar denda sehingga S$20,000. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan