Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes tebusan di Sembawang: Iskandah Suhaimi dipenjara 2 tahun

Seorang penagih dadah berusia 40 tahun dijatuhi hukuman penjara dua tahun hari ini (20 Mac) kerana menahan anak teman wanitanya yang berusia dua tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes tebusan di Sembawang: Iskandah Suhaimi dipenjara 2 tahun

Polis di luar sebuah flat di Sembawang di mana Iskandah menguncikan dirinya dan budak dua tahun. (Gambar: Alicia Tantriady)

Diterbitkan : 20 Mar 2018 11:00PM Dikemas Kini : 20 Mar 2018 11:04PM

SINGAPURA: Seorang penagih dadah berusia 40 tahun dijatuhi hukuman penjara dua tahun hari ini (20 Mac) kerana menahan anak teman wanitanya yang berusia dua tahun di sebuah flat di Sembawang pada tahun 2016. Insiden itu berlarutan selama 17 jam.

Muhammad Iskandah Suhaimi disabit kesalahan ke atas empat pertuduhan pada bulan November lalu - kerana menculik, memiliki dan mengambil dadah methamphetamine serta memilik senjata buku lima besi atau 'knuckleduster'.

Secara keseluruhan, hari ini dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dikenakan enam kali rotan.

Mahkamah Daerah diberitahu, sekitar pukul 4.00 petang pada 27 September 2016, Iskandah menyuruh teman wanitanya - ibu budak lelaki dua tahun berkenaan - membeli sekotak rokok.

Wanita berusia 33 tahun itu kemudian keluar bersama anaknya tetapi Iskandah merenggut budak lelaki berkenaan dan menariknya masuk ke dalam rumah sebelum mengunci pintu.

Beberapa minggu sebelum itu, Iskandah merampas kunci rumah temanitanya itu yang terletak di tingkat lima, Timbalan Pendakwa Raya Stephanie Koh memberitahu mahkamah. Nama wanita itu dan anaknya tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah.

Wanita itu kemudian meminta bantuan ibunya, yang datang ke rumah tersebut untuk memujuk Iskandah supaya melepaskan cucunya. Iskandah bagaimanapun enggan mengalah dan menyarankan agar mereka membuat "pertukaran".

Dia mahu teman wanitanya memasuki rumah itu sendirian sebagai ganti kepada budak tersebut. Bimbang jika Iskandah memukulnya seperti sebelum ini, wanita itu enggan memasuki rumah tersebut. Nenek budak itu kemudian menghubungi polis sekitar pukul 6.45 petang.

Pakar-pakar runding dari Unit Rundingan Krisis dikerahkan namun usaha mereka untuk melepaskan budak berkenaan gagal.

"Tertuduh bertindak agresif, tidak sabar dan amat terganggu" dan polis enggan menurut tuntutannya, kata pendakwa.

Pada satu masa, Iskandah mengambil dadah methamphetamine di depan pegawai polis semasa masih berada dalam rumah bersama budak berkenaan.

"Perbuatan itu dilihat sebagai menghina kuasa polis," tambah pendakwa.

Sekitar tengah hari keesokan harinya, apabila Iskandah hendak ke tandas, sepasukan Komand Operasi Khas (SOC) memecah masuk ke dalam flat tersebut menerusi tingkap. Mereka menyelamatkan budak berusia dua tahun itu, yang tidur pada sebahagian besar proses rundingan berlangsung, kata pendakwa.

Iskandah kemudian mengaku dia menahan budak itu sebagai cagaran, kerana bimbang teman wanitanya akan memaklumkan kepada polis tentang perbuatannya mengambil dadah. Dua sampel air kencing mengesahkan Iskandah mengambil dadah methamphetamine pada hari itu.

Buku lima besi dan sebungkus dadah methamphetamine juga dijumpai di rumah tersebut. Ibu budak lelaki itu mengaku dadah tersebut adalah untuk dikongsi antara dirinya dengan Iskandah. Namun tidak jelas sama ada wanita itu didakwa.

Meminta agar Iskandar dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dikenakan enam sebatan rotan, pihak pendakwa menyifatkan lelaki itu "sebagai berbahaya kepada masyarakat".

Dia didiagnosis dengan skizofrenia paranoia pada bulan Mei 2017, yang mungkin "diburukkan" oleh ketagihan dadah itu, menurut salah satu daripada enam laporan psikiatrik.

Satu lagi laporan menyatakan Iskandah tidak percaya bahawa dia mengalami gangguan mental dan enggan mengambil ubat. "Dia terus mengalami gangguan psikosis, dengan kecelaruan paranoia dan terus putar belit (tentang penggunaan dadahnya)," menurut laporan itu.

Walaupun demikian, meski mengalami gangguan psikiatrik, Iskandah "menyedari perbuatan salah yang dilakukan dan bertindak dalam keadaan sedar sepenuhnya" apabila dia menculik anak teman wanitanya, kata pendakwa raya.

Perbuatannya "disengajakan" - untuk menghalang teman wanitanya daripada "meninggalkannya" dengan menggunakan budak lelaki itu sebagai cagaran, kata pendakwa raya.

Pendakwa raya itu menambah Iskandah "kelihatan seperti tidak boleh dipulihkan", merujuk kepada rekod keganasannya, termasuk disabit kesalahan merogol pada tahun 2009.

Meminta hukumannya diringankan, Iskandah berkata dia tidak mencederakan anak teman wanitanya itu. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan