Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes saman bekas pemandu terhadap SBS Transit dibawa ke Mahkamah Tinggi

Hakim memutuskan tuntutan saman bekas pemandu SBS Transit atas pertikaian gaji, kerja lembur dan hari rehat,  boleh menjejas ramai pekerja lantas layak didengarkan di Mahkamah Tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Kes saman bekas pemandu terhadap SBS Transit dibawa ke Mahkamah Tinggi

Peguam M Ravi dengan beberapa pemandu dalam kes saman terhadap SBS Transit (Gambar: Facebook/M Ravi)

Diterbitkan : 10 Jun 2021 06:53PM Dikemas Kini : 10 Jun 2021 06:58PM

SINGAPURA: Seorang hakim meluluskan permohonan seorang bekas pemandu bas agar kesnya terhadap SBS Transit atas dakwaan amalan kerja tidak adil - termasuk waktu kerja yang panjang dan gaji lembur tidak dibayar - dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Audrey Lim berkata dalam keputusan tertulis yang dikeluarkan pada Khamis (10 Jun) bahawa kes tersebut membangkitkan banyak persoalan undang-undang yang penting hingga wajar dipindahkan ke mahkamah yang lebih tinggi dari Mahkamah Majistret.

Meskipun kes itu diajukan oleh seorang pemandu bas, Encik Chua Qwong Meng, 12 pemandu lain dikaitkan dengannya. Encik Chua mendakwa kesemua 13 tuntutan yang dibuat melibatkan sekitar S$720,000, merangkumi bayaran kerja lembur belum dibayar serta pertikaian berhubung jumlah maksimum hari kerja berturut-turut yang dibenarkan.

Kes itu bukan sahaja menjejas pemandu bas dalam kes itu, tetapi golongan pekerja yang lebih luas termasuk pekerja sektor pengangkutan awam, kata hakim.

Peguam M Ravi mewakili Encik Chua dan 12 pemandu bas yang lain, sementara SBS Transit diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh Peguam Kanan Davinder Singh.

Encik Chua bekerja di SBS Transit dari April 2017 hingga awal 2020. Beliau membuat tuntutan samannya terhadap syarikat tersebut kerana melanggar kontrak dan peruntukan di bawah Akta Pekerjaan pada 20 Sep 2019.

Empat pemandu bas lain memulakan prosiding serupa di Mahkamah Majistret pada hari yang sama, dan lapan pemandu lain melancarkan saman mereka sendiri kemudian.

Kesemuanya 13 pemandu bas menuntut saman terhadap SBS Transit atas apa yang disifatkan oleh hakim pada dasarnya adalah perkara yang sama berkaitan dengan pekerjaan mereka.

Mereka adalah: Encik Chua, Encik Lee Chye Chong, Encik Chian Poh Seng, Encik Fung Chean Seng, Encik Tan Ting Hock Robin, Encik Thiyagu Balan, Encik Gan Kim Kiam, Encik Huzainal Hussein, Encik Lim You Onn, Encik Chiew Yi Yee, Encik Meerah Mohamed Halideen, Encik Razak Hasim dan Encik Mohamad Sani Din.

Pada 4 Mac tahun lalu satu persetujuan dicapai bagi kes Encik Chua didengar sebagai kes ujian, dengan 12 tuntutan yang lain ditangguhkan sementara menunggu penentuan kes Encik Chua.

DAKWAAN ENCIK CHUA

Encik Chua mendakwa bahawa SBS Transit melanggar Akta Pekerjaan dengan tidak memberinya satu hari rehat setiap minggu. Amalan pekerjaannya juga didakwa melanggar kadar gaji yang ditetapkan oleh Kementerian Tenaga Manusia yang perlu dibayar majikan bagi pekerjaan yang dilakukan pada hari rehat.

Encik Chua juga mendakwa bahawa beliau dibayar kadar lebih rendah bagi kerja lembur, dan syarikat itu tidak membayarnya dengan kadar yang ditetapkan untuk bekerja pada hari rehat.

Akibatnya, beliau bekerja melebihi waktu kerja yang ditetapkan dalam sehari atau seminggu. Beliau juga mendakwa bahawa syarikat itu tidak membayarnya elaun yang dipersetujui untuk kerja yang dilakukan pada syif malam.

SBS Transit menyangkal dakwaan itu dan menegaskan bahawa pihaknya telah mematuhi kewajipan kontrak dan undang-undang, peraturan atau undang-undang mengenai waktu bekerja, gaji lembur dan hari rehat.

Syarikat itu mendakwa ia telah memberi pampasan kepada Encik Chua selaras dengan kontrak pekerjaannya, yang bermula pada 2017, serta undang-undang dan garis panduan Kementerian Tenaga Manusia.

HUJAH ENCIK RAVI DAN ENCIK SINGH

Encik Ravi berhujah agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana melibatkan persoalan undang-undang yang penting dan merupakan satu kes ujian.

Beliau berkata soalan undang-undang - yang merangkumi bagaimana "hari rehat" ditafsirkan dan sama ada seseorang pekerja boleh bekerja selama 12 hari berturut-turut dalam tempoh 14 hari - akan menjejas bukan sahaja plaintif tetapi juga seluruh sektor pekerjaan di Singapura.

13 tuntutan itu berjumlah S$720,000, yang melebihi had di mahkamah daerah, katanya.

Encik Singh membantah agar kes itu didengarkan di Mahkamah Tinggi, sambil mendakwa penyalahgunaan proses pengadilan dan menegaskan tidak ada masalah hukum yang penting.

Beliau berhujah bahawa isu yang ditimbulkan bukan sesuatu yang sukar atau rumit. Mahkamah Negara secara kerap menangani pertikaian melibatkan tafsiran perjanjian kerja dan peruntukan Akta Pekerjaan, tambahnya.

Beliau berkata Encik Chua belum menunjukkan bukti yang boleh dipercayai bahawa ganti rugi dalam samannya akan melebihi S$250,000, had bidang kuasa mahkamah daerah.

Hakim Lim berkata persoalan undang-undang yang penting tidak semestinya rumit atau sulit, dan hanya kerana Mahkamah Negara pernah menangani pertikaian pekerjaan tidak bererti mungkin tidak ada persoalan penting dari sudut undang-undang dalam peruntukan Akta Pekerjaan.

Beliau mendapati bahawa persoalan undang-undang dalam kes ini adalah penting yang menjejas golongan pekerja yang lebih luas, sambil menekankan 12 pemandu lain yang mengemukakan tuntutan serupa.

"Akta Pekerjaan memperuntukkan hari rehat yang diwajibkan dan had tempoh kerja (antara perkara lain) untuk melindungi hak pekerja," katanya.

"Persoalan sama ada ini boleh 'diketepikan' dalam kes di mana pekerja dianggap menyediakan khidmat penting, yang sepintas lalu mungkin tidak kelihatan seperti persoalan yang sukar, penting kerana ia menjejas kumpulan pekerja yang lebih besar pada umumnya," kata hakim.

Kes itu akan berpotensi menjejas bagaimana kontrak tersebut disusun dari segi pemberian hari cuti, mengira gaji lembur dan menentukan waktu kerja, tambahnya.

Kes akan didengar lagi pada tarikh yang ditentukan kelak.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan