Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes saman AHTC, PRPTC ke atas AP Parti Pekerja dibicarakan Jumaat

Tindakan guaman sivil oleh dua majlis bandaran ke atas Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) berhubung dakwaan pembayaran tidak wajar akan didengar di mahkamah bermula Jumaat (5 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Kes saman AHTC, PRPTC ke atas AP Parti Pekerja dibicarakan Jumaat

AP Aljunied Low Thia Kiang, Pritam Singh dan Sylvia Low (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 04 Oct 2018 10:58AM Dikemas Kini : 04 Oct 2018 11:14AM

SINGAPURA: Tindakan guaman sivil oleh dua majlis bandaran ke atas Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) berhubung dakwaan pembayaran tidak wajar akan didengar di mahkamah bermula Jumaat (5 Okt).

Tindakan guaman difailkan oleh Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) dan Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol (PRPTC) terhadap tiga AP WP: Encik Low Thia Khiang, Cik Sylvia Lim dan Encik Pritam Singh.

Selain daripada tiga pemimpin WP, para defendan lain ialah: anggota AHTC Encik Chua Zhi Hon, Encik Kenneth Foo Seck Guan, dan Cik How Weng Fan; bekas ejen pengurusan majlis bandaran itu, FM Solutions and Services (FMSS) serta pemiliknya, Encik Danny Loh, yang meninggal dunia pada tahun 2016.

Kes-kes tersebut akan didengarkan secara bersama di Mahkamah Tinggi dan prosiding dijadual berlangsung bermula 5 Oktober hingga 2 November.

Tindakan guaman AHTC difailkan oleh panel bebas yang dilantik majlis bandaran tersebut menyusuli laporan oleh auditor KPMG pada Oktober 2016, yang mengetengahkan "kelemahan ketara" dalam pentadbiran AHTC.

Pada September 2017 PRPTC menyatakan pihaknya sudah memulakan prosiding mahkamah terhadap tiga AP WP yang sama dalam kes yang mempunyai fakta serta keadaan serupa dengan AHTC.

Pihaknya membuat tuntutan dan pelepasan bayaran bagi Majlis Bandaran Punggol East (PETC) yang sebelumnya ditadbir WP selepas pilihan raya kecil 2013.

JIKA DIDAKWA: MUNGKIN MUFLIS, HILANG KERUSI?

Dalam satu kenyataan media bersama pada Julai 2017, ketiga-tiga AP WP tersebut menafikan kesemua dakwaan yang dikenakan. Mereka mendakwa sudah melakukan yang terbaik dan "tidak meraih faedah walau sesen" daripada pelantikan FMSS.

Panel bebas yang bertindak bagi AHTC sebelum ini menyatakan ia sedang menuntut pampasan S$33 juta atas pembayaran tidak wajar yang dibuat kepada syarikat itu.

Jika kalah dalam kes ini, para defendan berkemungkinan perlu membayar pampasan, tang akan ditentukan oleh mahkamah.

Menurut cendekiawan undang-undang di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) Eugene Tan, AHTC "berkemungkinan pertimbangkan pilihan lain untuk menguatkuasakan keputusan mahkamah" jika ketiga-tiga AP WP tidak dapat membayar sebarang ganti rugi.

Jika tiada pilihan lain, Prof Madya Tan berkata "berkemungkinan" AHTC akan mulakan prosiding muflis ke atas mereka. Bagaimanapun tambahnya, ini tidak menjamin AHTC akan mendapat balik kesemua jumlah yang dituntut.

Di bawah Perlembagaan Singapura, seseorang tidak boleh menjadi AP jika tidak dilepaskan daripada status muflis.

"Jika mereka sedang menyandang jawatan AP apabila Mahkamah Tinggi mengisytiharkan mereka muflis, kerusi parlimen mereka akan dilucutkan serta merta," kata Prof Madya Tan. Mereka juga tidak boleh bertanding dalam sebarang pilihan raya selagi tidak dilepaskan daripada status muflis.

Pada 2017 mantan ketua WP Encik Low memberitahu para wartawan: "Ada di kalangan anda risau (tentang) apa yang akan berlaku jika kami kehilangan kerusi Parlimen. Saya janjikan kepada anda, (jika kami) kehilangan kerusi Parlimen, akan ada orang lain, dan generasi baru Parti Pekerja yang bersedia untuk tampil berkhidmat untuk warga Singapura, jadi saya tidak risau." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan