Images
  • Sporean Gunung Pulai
    Clarice Lum dan Dominick Tan Chang Xiang dijumpai 8 Feb 2018. (Gambar: Facebook/Polis Johor)

Kes rakyat S'pura hilang di Gunung Pulai: Bertahan makan kerepek kentang, minum air sungai

PONTIAN, JOHOR: Dua rakyat Singapura yang hilang selama lebih tiga hari semasa mendaki Gunung Pulai bertahan dengan memakan makanan yang dibawa bersama mereka serta meminum air sungai.

Demikian menurut doktor yang merawat mereka hari ini (8 Feb).

Doktor tersebut, yang hanya ingin dikenali sebagai Dr Ahmad, merawat Dominick Tan dan Clarice Lum Jie sebaik sahaja mereka tiba di Hospital Pontian sejurus selepas diselamatkan awal hari ini.

Menurut Dr Ahmad, pasangan itu memberitahu beliau bahawa mereka memakan kerepek kentang dan snek berkhasiat (nutrition bar) sementara menanti diselamatkan.

Beliau juga memeriksa sama ada pasangan itu mengalami masalah kekurangan air, tulang patah dan kekurangan khasiat, namun tidak menemui sebarang simptom.

Mereka kemudian dibenarkan pulang antara pukul 2.00 petang dengan 2.30 petang tadi.

Bercakap kepada media empat jam selepas pasangan itu diselamatkan, lelaki yang dipercayai bapa saudara Cik Lum namun enggan dikenal pasti berkata: "Mereka (pasangan itu) dapat meminum air sungai."

Seorang lagi wakil keluarga yang dikatakan bapa Encik Tan namun enggan mendedahkan namanya memberitahu wartawan, pasangan itu hanya membawa makanan yang mencukupi bagi pendakian setengah hari.

ANGGOTA KELUARGA LAHIR TERIMA KASIH KEPADA PEGAWAI, RELAWAN

Dua saudara pasangan itu turut melahirkan penghargaan atas bantuan yang dihulurkan oleh pihak berkuasa Malaysia dan para sukarelawan dari kedua-dua negara.

Bapa saudara Cik Lum mengucapkan terima kasih khusus buat Ketua Polis Johor, Mohd Khalil Kader Mohd, kerana meluluskan penggunaan helikopter untuk membantu mereka mencari dan menyelamatkan pasangan tersebut.

"Selain ketua polis Johor, kami ingin berterima kasih kepada Bomba, Konsulat Singapura di Johor Baru...semua pihak saling berganding bahu," kata beliau.

"Kumpulan dari Malaysia dan Singapura menyediakan layanan (yang baik) dan bantuan," tambah beliau.

Bapa Encik Tan menambah: "Ucapan terima kasih khas buat para sukarelawan yang turun padang tanpa sebarang paksaan."

Beliau juga memberi penghargaan kepada media yang membuat liputan dan menimbulkan kesedaran tentang anggota keluarganya yang hilang dan ini membuat ramai yang tampil menyumbang masa mereka secara sukarela untuk membantu mencari pasangan tersebut.

Walau bagaimanapun, apabila ditanya wartawan sama ada pasangan itu adalah kekasih, beliau menjawab: "Saya rasa soalan awak tidak elok. Mereka berkawan, itu yang boleh saya katakan. Saya rasa kami tidak akan menjawab soalan seperti ini."

Mengulas bagaimana pasangan itu hilang, lelaki yang dipercayai bapa saudara Cik Lum berkata: "Bagaimana mereka boleh hilang? Tiada siapa yang tahu. Jika anda tahu jawapannya, sila maklumkan kepada saya."

LAPORAN BERKAITAN: 

- CNA/NK/nk

Top